Rabu, 29 Mei 2013

Catatan buat sahabat kanti (untuk kalangan IPS saja)

Tags

HA sedang berdiri di luar kedai itu ketika saya datang.
Pandangannya ke arah langit malam. Bulan bercahaya begitu indahnya. Untuk beberapa ketika, saya melihat ke arah bulan terang itu.

Bulan kuletakkan kau di antara ujung pohon dan awan
tenanglah kau di sini.

Saya teringat bait-bait puisi Sketsa Anak Kecil Baha Zain. Antara sajak yang saya sukai.

Matahari kuletakkan kau di horizon
Bulan kuletakkan kau di antara ujung pohon dan awan

tenanglah kau disini


Matahari esok kulukis kau berwarna hijau
tapi bulan sekiranya esok malam akan hujan

kusediakan kau warna hitam
kerana kau tak gembira
dan aku penyedih abadi - Baha Zain

Ya, sekiranya esok malam akan hujan, kusediakan kau warna hitam, kerana kau tak gembira.


Sang bulan sesungguhnya kelihatan amat cantik ketika itu. Tetapi kami sedang tidak bergembira.
Sebabnya seorang rakan kami, rakan seperjuangan, tiba-tiba mengambil keputusan untuk berundur dan tidak mahu lagi dilantik memegang apa-apa jawatan.
Mahu tidak mahu kami terpaksa menerimanya.Menerima hakikat bahawasanya rakan kami itu ingin bebas dari sebarang belenggu tanggungjawab yang mengikatnya.
Persatuan kami itu, IPS namanya, kini telah memasuki usia 23 tahun, suatu waktu yang agak lama dan sepatutnya mematangkan kami.
Memang sejak ditubuhkan, persatuan yang kecil itu telah  melalui ranjau demi ranjau, dan Alhamdulillah, kami berjaya melaluinya.
Mungkin tidak banyak yang dapat dibanggakan. Walaupun IPS telah melahirkan ramai penulis baru dan sedikit banyak memberikan sumbangan terhadap perkembangan sejarah sastera  di negeri ini.

IPS memang memerlukan kebangkitan semula, penjenamaan baru dan membangun potensi baru supaya terus relevan dalam arena kesusasteraan di negeri ini. Bagaimanapun, di tengah bangkitnya semangat untuk memajukan persatuan itu, tidak semena-mena kami agak tersentak kerana seorang rakan memutuskan untuk hinggap di dahan.

Ibaratkan burung yang terbang, ada seekor dua ekor yang terpaksa hinggap di dahan , mungkin kerana patah sayap atau kakinya tercedera atau ada ada bulunya yang tercabut atau barangkali melihat dahan yang lebih rimbun, dan buahnya lebat pula.

Tetapi itulah resam sebuah perjalanan. Kami terpaksa menerima hakikat bahawa sekarang masanya untuk bermula lagi.

Saya mengajak supaya kita mula lagi di garis putih. Segala yang lalu itu jangan dikenang lagi. Sebaliknya tumpukan perhatian ke hadapan. Fokus. Sebelum memulakan lagi larian hingga ke garisan penamat.

Persaingan bukan saja dengan orang lain malah marilah bersaing dan berlumba dengan diri sendiri. Kadang-kadang kita kalah, bukan oleh pihak lain atau orang lain tetap kita kalah oleh diri kita sendiri.

Itulah sebabnya apabila rakan-rakan berbicara mengenai perjuangan, saya fikir antara perjuangan yang paling besar dalam diri kita ialah perjuangan melawan diri sendiri perjuangan mengalahkan nafsu amarah kita, perjuangan memadam dendam kita, perjuangan melawan sikap ego dalam diri kita, dan sebagainya. perjuangan kita bukan sekadar untuk mencari kemuliaan melainkan juga untuk mendapatkan keredhaanNya.

Kami meninggalkan bulan yang cantik itu, masuk ke dalam ke dalam kedai mamak lalu memesan minuman.

Setelah  memikir-mikirkan lebih jauh, keputusan rakan kami itu dapatlah kami mengerti, dan memaafkan. Kami juga menyedari terdapat kesilapan dan kekeliruan di pihak kami. Apa yang menjadi agak mendukacitakan pada malam itu, apabila kami cuba mendefinasikan semula makna persahabatan.


Apakah yang dinamakan sahabat itu. Saya ingat Pak Tenas Effendi budayawan Melayu Riau. Beliau mengatakan persahabatan yang dicara ialah sahabat kanti.
 Apa yang dikatakan sahabat kanti itu? Sahabat Kanti menurut Pak Tenas ialah kawan semangkuk sepiring makan, kawan sebantal seketiduran, kawan sebaya sepermainan.

Sahabat Kanti itu `bagai kuku dengan daging, bagai air dengan tebing, bagai ikan dengan air'. Sungguh hebat sekali gambaran yang diberikan mengenai Sahabat Kanti ini. Kawan yang ke hulu sama ke hulu, ke hilir sama ke hilir, satu sakit dua terasa.

Apa yang dikatakan Sahabat Kanti ialah `yang tahan berpahit-pahit, yang koyak tampal menampal, kalau condong sokong-menyokong'. Betapa hebatnya `sakit tidak disebut, mati tidak diungkit, salah tidak ditimbang, hutang tidak dibayar.

Sahabat Kanti `bagai seibu seayah kandung, bagai kulit dengan isi, bagai lukah dalam air, itulah kawan yang dicari'. Kawan yang dicari ialah kawan sempit kawan berlapang,gentingnya tidak memutus,simpul tidak terungkai lagi.

Kita mula lagi, kata saya kepada HA. Saya merasakan semangat juang kali ini agak berbeza. Walaupun menghadapi cabaran, tetapi minat orang khususnya penulis dan peminat sastera terhadap IPS semakin pula hebat.

Ramai yang mengisi borang dan memperbaharui keahlian mereka. Tetap IPS bang, saya menerima sms dari seorang yang lama mendiamkan diri. Ramai kawan yang menelefon, ramai penulis yang datang memohon keahlian, ramai  yang menghantar emel dan menyatakan sokongan dan dukungan terhadap perjuangan kami.

Cuma kami khuatir dengan sambutan yang membanggakan. Bimbang kami terbuai, lalu terlalai.

Malam itu kami sempat melihat bulan di antara hujung pohon dan awan.
Betapa cantiknya.