Jumaat, 21 Jun 2013

BANAN ATAU BAANAN, DAN MASALAH KRONIK DI DAERAH KAMI

Tags

BANAN ATAU BAANAN, DAN MASALAH KRONIK  DI DAERAH KAMI
-keluhan seorang teman sekampung

Ia disebut `banan' dalam bahasa Bajausama. Masyarakat Iranun menyebutnya dengan nama `baanan'. Tapi sebutlah, `banan atau baanan', maksudnya tetap sama dan masalah yang dibawanya juga tetap sama. Masalah yang telah dihadapi oleh sebahagian besar masyarakat sejak bertahun-tahun, mungkin sejak berpuluh tahun lamanya, bukan saja di daerah kami mungkin juga di tempat lain.
Sebelum pergi lebih jauh, barangkali ada baiknya kita jelaskan apa yang dinamakan `banan atau baanan' itu. `Banan atau baanan' ertinya kelompok, kumpulan atau gerombolan. Di Kota Belud, ia biasanya dihubungkan dengan kumpulan haiwan liar atau binatang ternakan seperti kerbau dan sapi, kuda  atau kambing. `Banan atau baanan' juga boleh digunakan, secara hiperbola, untuk merujuk gerombolan manusia dan sebagainya.
Tapi ada apa dengan  `banan atau baanan?' Di Kota Belud, inilah masalah yang sehingga kini masih belum dapat diatasi. Masalah `banan atau baanan', binatang ternakan yang dibiarkan hidup berkeliaran, tanpa penjagaan dari pemiliknya. Sebenarnya masalah ternakan berkeliaran ini bukan setakat di daerah Kota Belud saja malah di daerah-daerah lain juga.
`Banan Baanan' itu bergerak secara berkumpulan. Meragut rumput di tepi jalan, tidur di atas jalan raya,mengganggu lalu lintas, dan kerana banan atau baanan itu tidak berakal, mereka membuang kotoran di mana-mana.
Orang-orang di kampung kami mengeluh kerana `banan atau baanan', kebanyakannya `banan' sapi itu, turut mengganggu kesejahteraan mereka. Petani tidak dapat mengerjakan tanah atau menanam tanam-tanaman atau sayuran tanpa memasang pagar atau dawai berduri. Mereka terpaksa berbelanja lebih untuk memastikan tanaman mereka tidak diragut atau dimusnahkan oleh `banan atau baanan' sapi itu. Kehadiran `banan atau baanan' sapi itu, menyebabkan kos meningkat.
Bahkan ada diantara orang kampung mengalami kerugian selepas tanam-tanaman mereka dimusnahkan oleh banan binatang ternakan yang dibiarkan berkeliaran oleh si empunya. Orang-orang kampung kini semakin jarang menanam ubi, pisang,nenas, tebu dan sebagainya kerana ancaman `banan atau baanan' itu.
Milik siapakah `banan atau baanan' sapi atau kerbau itu? Ia bukanlah milik orang dari daerah atau planet lain melainkan ia adalah milik pemilik pemilik sapi yang terdiri dari orang-orang kampung di tempat kami juga. Dengan kata lain, pemilik sapi-sapi itu adalah orang kampung, bukan taukeh-taukeh dari kota.
Jadi dimana letak masalahnya? Sapi-sapi itu mempunyai pemilik dan tuan punya. Pemilik pemilik `banan atau baanan' sapi itulah yang sepatutnya bertanggungjawab. Sejak sekian lama, `banan atau baanan' sapi itu menjadi punca masalah di kota kami. Di KB, sapi dan lembu, maknanya sama.
Padahal menurut ipar saya, Sharif K, Kota Belud yang dikenali sebagai sebuah daerah pertanian, sebenarnya berpotensi untuk menjadi pengeluar ternakan terbesar di Sabah. Sepatutnya, pemimpin-pemimpin yang mempunyai kuasa mengambil tindakan menguatkuasakan undang-undang atau jika belum ada peraturan atau undang yang boleh digunakan secara menyeluruh, maka pihak berkuasa dengan kerjasama tokoh-tokoh masyarakat hendaklah menggubal peraturan atau undang-undang yang mencakup semua kawasan  dan bukan setakat kawasan perkadaran majlis daerah saja.
Bahkan menurut Sharif K, beliau pernah mengutarakan masalah `banan atau baanan' sapi itu beserta dengan kaedah penyelesaiannya. Beliau mencadangkan agar sapi-sapi atau `banan' sapi itu, ia disebut `banan atau baanan' kerana jumlahnya banyak dikumpulkan di satu kawasan padang ragut dan diuruskan secara profesional dan komersil. Pemilik-pemilik sapi itu boleh mengambil peranan dan mereka boleh menubuhkan satu koperasi yang tugasnya adalah untuk menguruskan, memelihara dan memasarkan sapi-sapi itu untuk keperluan komersil.
Jika pemimpin bertegas sudah tentu masalah itu dapat ditangani dengan bijaksana. Masyarakat masih bersedia mengikut nasihat yang diberikan oleh pemimpin mereka.Yang penting ada kebijaksanaan, kesaksamaan dan ketegasan dalam mengambil keputusan. Penguatkuasaan  peraturan dan undang-undang perlu dilaksanakan dengan adil, tanpa pilih kasih.
`Banan atau baanan' sapi di daerah kami  sebenarnya sudah menjadi masalah kronik. Masalah itu sudah berlarutan sejak sekian lama. Malahan bukan saja di kampung-kampung, malahan di kawasan pekan , kita masih boleh melihat dan menjumpai sapi-sapi. Ia bukan saja menjejaskan imej daerah di mata pelancong malahan turut menjejaskan pendapatan orang kampung malahan turut mendatangkan sakit kepala di kalangan pemimpin.
Masalah itu harus segera diatasi. Masalah `banan atau baanan' itu harus dicarikan jalan penyelesaiannya.
Sebelum kita terpijak kotoran sapi atau bermimpi di pijak pijak sapi kerana kita tidak hanya suka telur mata sapi tanpa tahu menguruskan sapi, `banan atau baanan sapi'.