ALIJUS, BERDIKARI SEJAK KECIL
WAJAHNYA sering terpampang di surat khabar. Bukan saja kerana tugasnya sebagai Pengarah Jabatan Perancang Bandar DBKK, tetapi beliau juga adalah Setiausaha Agung Persatuan Bola sepak Sabah (SAFA) dan sering menjadi pengurus pasukan Sabah dalam sukan bola sepak. Beliau juga sering mendapat amanah dan tangggungjawab sebagai Pegawai Pengurus Pilihanraya dalam pilihanraya umum di Kota Kinabalu. Orangnya bersahaja. Mudah mesra dan sering senyum di sebalik ketegasan beliau sebagai seorang pemimpin.
Alijus bin Sipil @ Mohd Ali bin Haji Shuib dilahirkan di Kampung Tomis, Tamparuli pada 12 April 1963. Beliau mendapat pendidikan awal dari darjah 1 hingga darjah 5 di Sekolah Rendah Don Bosco di Bundu Tuhan Ranau pada tahun 1969 hingga 1974. Beliau menduduki bangku darjah enam di SRK Bongol pada tahun 1975. Selepas itu, Alijus dianugerahkan biasiswa Yayasan Sabah untuk melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim Jitra Kedah. pada 1976 hingga 1980. Selepas tamat sekolah menengah, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari tahun 1981 hingga 1986. Ketika itu kampus UTM terletak di Jalan Gurney Kuala Lumpur. Alijus sempat mengikuti kuliah selama empat tahun di UTM Jalan Gurney, sebelum berpindah di kampusnya sekarang di Skudai , dimana mereka adalah angkatan pertama yang belajar di Skudai sebaik-baik ia dirasmikan.
Selepas menamatkan pengajian di universiti dan berjaya mendapat ijazah Sarjana Muda dengan pengkhususan Perancangan Bandar dan Wilayah, Alijus bekerja di Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah di Kota Kinabalu dari tahun 1987-1988. Beliau kemudian ditukarkan ke Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah Tawau dari tahun 1989 hingga 2000. Sejak tahun 2001 beliau kembali bertugas di Kota Kinabalu. Kini beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Perancangan Bandar di Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Di tengah-tengah kesibukannya sebagai pegawai kanan kerajaan, beliau sempat melanjutkan pelajaran sehingga memperolehi Sarjana Pengurusan Pentadbiran tanah dari UTM pada tahun 2008.
Selain tugas hakikinya, Alijus kini adalah Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) dan kerap menjadi pengurus pasukan Sabah.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang untuk menemubual beliau di pejabatnya di DBKK pagi kelmarin untuk berkongsi pengalaman beliau ketika zaman persekolahan hingga sekarang.
UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan? Lahir dimana?
ALIJUS: Saya dilahirkan di Kampung Tomis Tamparuli. Ayah saya, Haji Sipil @ Haji Shuib Wakar bertugas sebagai guru besar sekolah di sana. Tempat itu terletak berdekatan Jalan Ranau, Batu 24. Tempat asal ayah sebenarnya di Kampung Bantayan Tamparuli. Ibu saya pula berasal dari Kampung Mangkaladoi. Jika diikut, kami Dusun Lotud tetapi kami terbiasa dengan dialek Dusun Ranau. Itulah ceritanya. Sebagai seorang pendidik, beliau pernah bertugas di SK Tamis, SK Tiung Tirugusan, SK Bongol, Jalan Ranau dan sebagainya.
UB: Berapa adik beradik? Tuan anak keberapa?
ALIJUS: Saya anak ketiga. Kalau satu bapa satu mama, kami enam orang adik beradik. Selepas ayah bercerai dengan ibu, adik tiri lain mama, kami ada lima orang. Kalau adik tiri lain bapa, ada dua orang. Jadi kami semua 13 orang semuanya. Kami terdiri satu keluarga yang besar dan rapat antara satu sama lain. Kami juga mendirikan Tabung Kebajikan Haji Sipil. Saya dilantik sebagai pengerusinya. Kalau dulu, saya melihat perpisahan antara ayah dan ibu saya sebagai perpecahan, kini ia menjadi satu kelebihan. Perasaan kekeluargaan di antara kami tinggi, dan ini kami sangat mensyukurinya.
UB: Di mana tuan bersekolah dahulu?
ALIJUS: Dulu saya dihantar bersekolah di Sekolah Rendah Don Bosco Bundu Tuhan. Sebuah sekolah Mission. Ketika itu keluarga masih belum memeluk agama Islam. Saya bersekolah di sana dari darjah satu hingga darjah 5. Kemudian, bapa saya menyekolahkan saya di SRK Bongol dalam darjah enam, iaitu tempatnya mengajar.
UB: Bagaimana keadaan pada masa itu?
ALIJUS: Dulu kami jalan kaki dari sekolah. Turun bukit, naik bukit untuk ke sekolah, yang pada masa itu tidak ada pengangkutan.
UB: Mungkin ada pengalaman menarik yang boleh dikongsikan?
ALIJUS: Ketika bersekolah di sekolah Don Bosco, itulah pengalaman pertama berjauhan dari keluarga. Umur saya waktu itu masih lima tahun. Bersekolah di bawah jagaan `sister'. Keluarga kami ketika itu masih beragama Kristian. Masa kecil saya belajar berdikari, berdisiplin, hidup sendiri. Cuci kain sendiri, ambil kayu api dan sebagainya.
UB: Oh begitu. Bila keluarga tuan memeluk agama Islam?
ALIJUS: Saya masih ingat ketika itu ada majlis pengislaman beramai-ramai.Tahun 1975. Sebenarnya saya banyak mendalami agama Islam ketika bersekolah di Semenanjung.
UB: Selepas tamat darjah enam?
ALIJUS: Saya bersekolah di SRK Bongol dalam darjah enam. Selepas tamat darjah enam, saya berjauhan dengan keluarga sekali lagi. Saya bersyukur banyak-banyak kerana pada ketika berjauhan dengan keluarga itu, banya mengajar saya berdikari, berdisiplin dan dapat merasakan betapa berharganya nilai-nilai kekeluargaan.
Ketika itu saya mendapat keputusan yang agak cemerlang dalam peperiksaan darjah Enam. Kerana itu, saya ditawarkan biasiswa Yayasan Sabah untuk belajar di sekolah menengah di Semenanjung Malaysia.Pada masa itu, Yayasan Sabah menghantar ramai pelajar Sabah terutamanya dari luar bandar untuk belajar di Semenanjung. Saya ditempatkan di Sekolah Menengah Abdul Halim Jitra Kedah, sebuah sekolah yang terkenal ketika itu. Antara lepasan sekolah itu ialah Dato Seri Dr Shahidan Kassim, mantan Menteri Besar Perlis, kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
UB: Apa pengalaman menarik ketika bersekolah di Jitra?
ALIJUS: Banyak yang menarik. Sebagai seorang pelajar dari kampung terpencil di Sabah ketika itu, terasa jurangnya. Dulu memang biasa, kita dikatakan tinggal di atas pokok. Dia orang main-main sebenarnya. Jadi sebagai anak kampung, saya mahu membuktikan bahawa saya boleh bersaing dengan mereka. Di peringkat awal, memang saya agak ketinggalan tetapi pada tahun ketiga hingga tahun kelima berada di sekolah itu, saya tersenarai dalam top ten, sepuluh pelajar terbaik. Saya dapat buktikan bahawa kita juga boleh bersaing dengan mereka. Mereka hormati kita. Tidak ada rasa prejudis. Mula-mula ada juga pelajar yang prejudis mengatakan kami pelajar dari Sabah dan Sarawak, pelajar yang lemah.Sebaliknya kami dapat buktikan bahawa kami juga boleh menjadi yang terbaik. Kita mahu buktikan bahawa kita juga boleh buat. Selepas itu, saya dilantik jadi Ketua darjah, pengawas dan sebagainya.
UB: Mungkin ada rakan sekolah yang masih diingati? Antaranya?
ALIJUS: Antaranya Datuk Sobhi Djauddin seorang ahli korporat yang terkenal, Awang Atim Jaini, dari Sabah, kalau tak silap kini pengusaha restoran dan ramai lagi.
UB: Berbalik kepada penghantaran pelajar Sabah ke Semenanjung oleh Yayasan Sabah. Mungkin tuan boleh komen mengenai program itu? Saya fikir ia program yang sangat baik.
ALIJUS: Saya harap pihak Yayasan Sabah akan menghantar lebih ramai pelajar Sabah yang cemerlang terutamanya dari sekolah luar bandar ke sekolah-sekolah terbaik di negara ini. Program penghantaran pelajar itu banyak manfaatnya. Bahkan ramai di antara pelajar dari Sabah yang dulu dihantar belajar di Semenanjung berjaya dalam kerjaya mereka. Sebagai contoh, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman, pernah mengikuti penghantaran pelajar itu. Dato Seri Jenar Lamdah, juga pernah menjadi pelajar Yayasan Sabah. Program ini memang baik dan wajar diteruskan seperti dulu. Kita lihat sekarang pelajar yang dihantar tidak seramai dahulu.Itupun hanya terbatas di sekolah-sekolah tertentu, tidak seperti dulu.
UB: Berapa lama sekolah di Sultan Abdul Halim, tuan?
ALIJUS: Saya belajar di sekolah itu dari tingkatan satu hingga lima. Kemudian saya melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Ketika itu kampusnya terletak di Jalan Gurney. Saya sempat kuliah di sana selama empat tahun sebelum kampus UTM berpindah ke Skudai Johor. Kami adalah angkatan pelajar pertama yang kuliah di kampus itu ketika ia mula dibuka.
UB: Tahun berapa sekolah di sana?
ALIJUS: Tahun 1981 hingga 1986.
UB: Aktif dalam persatuan mahasiswa?
ALIJUS: Kami bergiat dalam persatuan mahasiswa pada ketika itu. Tapi saya rasa tidak juga agresif seperti sekarang. Suasana ketika itu mungkin lain. Ketika itu saya aktif dalam persatuan mahasiswa sabah di UTM. Saya ingat Allahyarham Dr Datu Bandira Datu Alang, aktif di USM Pulau Pinang dan Juril Haji Sudin di Universiti Malaysia. Kami sezaman dengan mereka.
UB: Selepas tamat universiti, tuan bertugas dimana?
ALIJUS: Selepas mendapat ijazah sarjana muda Perancangan Bandar dan Wilayah, saya diterima bekerja di Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah di Kota Kinabalu pada tahun 1987 hingga 1988.
UB: Kemudian tuan ditugaskan kemana?
ALIJUS: Saya ditugaskan di Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah di Tawau sejak tahun 1989 hingga 2000. Saya menyaksikan bagaimana Tawau ketika itu membangun dengan pesat. Semporna, Kunak, Lahad Datu dan sebagainya. Ketika itu, banyak idea.Masih muda lagi. Saya berkhidmat di Tawau, ketika itu Presiden Majlis Perbandaran Tawau ialah Datuk Abdul Ghani Rashid, kemudian Datuk Majin Ajing, Datuk Sari Suhut, Datuk Aziz Rashid Zainudin. Pada masa itu, Datuk Salsidu Haji Ibrahim masih bertugas sebagai Pegawai Daerah Semporna, begitu juga Datuk Michael Emban, masih pegawai daerah di Lahad Datu.
UB: Selepas tahun 2000, tuan bertugas dimana?
ALIJUS: Tahun 2001, saya berpindah ke Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah di Kota Kinabalu. Saya harus merakamkan rasa terima kasih kepada Datuk Haji Abdul Ghani Rashid,mantan Mayor DBKK kerana beliaulah yang membawa saya bertugas di DBKK.
UB: Jadi bermakna, ketika dilantik Pegawai Pengurus Pilihanraya Kecil Likas (PRK) 2000, tuan baru kembali bertugas di KK?
ALIJUS: Ya. Ketika itu saya dinamakan oleh Datuk Haji Ghani untuk menjadi Pegawai Pengurus Pilihanraya kecil Likas. Kemudian PRK Gaya. Selepas itu dalam PRU ke 11, ke 12 dan PRU ke-13, baru-baru ini saya dilantik sebagai Pegawai Pengurus di KK.
UB: Bagaimana pula terlibat dengan Persatuan Bola sepak Sabah (SAFA)?
ALIJUS: Saya mula terlibat dengan Safa keyika bertugas di Tawau. saya menjadi bendahari Safa Zon Tawau. Kemudian sebaik pindah ke Kota Kinabalu, saya menjadi Pengerusi Safa Bandaraya. Apabila berlaku rombakan, pada tahun 2009, saya dilantik sebagai Setiausaha Agung Safa.
Kemudian saya banyak terlibat sebagai pengurus pasukan bolasepak Piala Presiden 2006, 2007, 2008. Pengurus pasukan bolasepak Sukma Sabah dalam Sukma di Kedah, Melaka dan Terengganu, dimana kita menjadi johan dan sebagainya.
UB: Mungkin tuan pernah jadi pemain bola sewaktu sekolah dulu?
ALIJUS: Sebenarnya dulu, saya aktif dalam sukan hoki. Saya pernah hampir terpilih mewakili negeri Kedah dalam sukan hoki. Tapi dalam bolasepak, saya banyak terlibat dalam aspek pengurusan.
UB: Kalau boleh tahu, apa cita-cita tuan dulu?
ALIJUS: Saya bercita-cita menjadi seorang akauntan. Saya suka pelajaran akaun tapi tidak berpeluang sebaliknya saya belajar perancanga bandar.
UB: Apakah tuan terlibat dalam politik juga?
ALIJUS: Saya adalah ahli biasa UMNO Cawangan King Fisher. Sebagai pegawai kerajaan , saya hanya jadi ahli biasa saja.Saya beri sumbangan seagai ahli biasa. Pada masa akan datang, cita-cita dalam politik memang ada.
UB: Mungkin ada pesan atau kata hikmat yang boleh jadi panduan?
ALIJUS: Saya ini `simple'. Apa juga perkara yang kita hadapi hari ini, kita hadapi dengan kesungguhan.Kita kena bersedia hadapi baik dan buruknya, kita kena hadapi.Jangan putus asa.Kita cari jalan penyelesaian yang terbaik. Pasti ada jalan. Ini bukan saja baik dalam pengurusan, dalam masyarakat, dalam keluarga.
Sabtu, 26 Oktober 2013
ALIJUS HAJI SIPIL, BERDIKARI SEJAK KECIL
✔
abd naddin
Diterbitkan 7:34 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)