MEMBURU BUKU DI KOTA JAKARTA
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com
abdnaddin@yahoo.com
KALAU mahu cari buku lama, kita ke Pasar Senen.
Di tingkat 4, Pasar Senen yang terletak di Jakarta Pusat itu, banyak buku-buku lama yang dijual di sana. Buku-buku bekas, tapi tidak kurang juga buku baru, yang boleh ditawar harganya. Bagi pemburu buku, Pasar Senen perlu dimasukkan dalam senarai tempat yang perlu dikunjungi.
Dari Hotel Sofyan di Jalan Cut Meutia No.9, kami menaiki teksi Blue bird untuk ke pasaraya yang terkenal itu.
Tapi kami datang terlalu awal. Pasaraya itu baru dibuka. Selepas minum di gerai, kami terus naik tangga dan mendapati banyak kedai masih ditutup. Namun ramai sudah penjual buku yang membuka buku-buku dagangan mereka.
Di sini, makin lama usia sesebuah buku, makin mahal harganya. Pelbagai jenis buku boleh didapati di tingkat 4 yang mempunyai ruangan yang agak luas itu. Apa saja jenis buku yang kita perlukan, biasanya boleh diperolehi di Pasar Senen.
Saya membeli beberapa buah buku, antara buku mengenai pemikiran Ibnu Rusydi, kisah Haji Bahari yang menunaikan ibadah haji di Mekah menggunakan jalan darat dari Indonesia, dan beberapa buku yang lain.
Bagaimanapun, beberapa judul buku sejarah tidak ditemui di Pasar Senen. Barangkali sukar untuk mencari buku di antara timbunan buku yang banyak itu.
Pak Ali menyuguhkan sebuah buku tebal, buku mengenai perjuangan Tuanku Rao, seorang panglima perang yang terkenal dalam Perang Paderi di Sumatera.
Tetapi harganya agak mahal. Sebuah buku itu harganya Rp 1,000,000 atau kira-kira RM300.
Hawa agak panas. Akhirnya Haji Hussain Kasau mengajak saya dan Hasyuda Abadi ke Toko Buku Gramedia di Jalan Matraman.
Haji Hussain sering membawa kami memburu buku-buku. Kami bertiga pernah ke Kota Pontianak mencari buku sambil berkunjung ke Makan Daeng Menambun sebelum ini. Kali ini, kami benar-benar menikmati perjalanan selama tiga hari, tiba malam 29 Jun hdan pulang petang 2 Julai sambil melupakan kesibukan di tempat kerja. Sebelum berangkat , kami sudah berniat untuk ke Gramedia.
Kebetulan ketika kami sampai ke Gramedia, ada jualan murah. Banyak buku dijual setengah harga atau ada potongan harga yang menggiurkan.
Industri buku di Indonesia mungkin lebih maju berbanding Malaysia. Di sana selain buku-buku sastera, bahasa, sejarah, agama, karya-karya terjemahan pengarang-pengarang besar dunia juga terdapat di rak buku.
Kami agak lama di Gramedia Matraman. Dari tengahari hingga ke petang. Masing-masing mencari buku yang digemari. Saya membeli buku Sapardi Djoko Damono yang terbaru, Memoar Seorang Anak Kampung karya Ahmad Syafii Maarif, Buku Riwayat Hidup Hamka yang ditulis oleh anaknya, buku perjalanan Agustinus Wibowo "Garis Batas dan Titik Nol", Travel in Love karya wartawan Cina yang mengelilingi negeri Cina, buku Langit Pertama Langit Kedua Martin Alieda, Amba Laksmi Pamuntjak, Kumpulan Cerpen Oka Rosmini, Nh Dini, buku-buku terjemahan, novel, majalah dan sebagainya.
Hampir Rp1 juta habis sebelum kami memutuskan untuk pulang ke hotel. Selepas itu, sebelah petangnya kami ke Kedai Lentera di Jalan Sawo Manila, No.10 Jati Padang, Pasar Minggu Jakarta Selatan.
Senja tiba ketika kami memesan makanan sambil berbual dengan Ketua Perkumpulan Lentera Timur, Tengku Dhani Iqbal. Kedai Lentera yang dikendali intelektual muda itu juga mengendali media online, radio online, menjual buku selain layanan katering dan sebagainya.
Ken Miryam Vivekananda Fadlil, lulusan bahasa dan sastera Indonesia memasak dan membuat minuman untuk kami. Bung Hussain, sasterawan dan wartawan yang mempunyai pengalaman luas dan memainkan peranan penting dalam perjalanan sejarah bangsa, agak seronok berada di kedai Lentera.
Beliau tertarik dengan konsep perkumpulan itu dalam merangsang budaya ilmu dan kesedaran sejarah di kalangan masyarakat. Selain diskusi sastera, bahasa dan sejarah yang sering diadakan di Lentera, filem-filem terbaik juga turut diputarkan dan diperbincangkan. Beberapa waktu sebelum kami datang, filem-filem Seniman Agung P.Ramlee jugap pernah ditayangkan di sana.
"Saya suka suasana begini," kata Haji Hussain, sambil menambah suasana sebegitu menjadikan dia lebih muda dan bersemangat. Wartawan dan sasterawan veteran ini kenal baik engan banyak seniman besar di Indonesia.
Di sana kami memborong banyak buku. Saya membeli beberapa siri majalah prisma, buku mengenai permasalahan Sempadan Entikong dan Nunukan, Buku mengenai sejarah Perjuangan Masyarakat Islam di Mindanao dan beberapa buku karya pengarang-pengarang besar di Indonesia.
Di sini kami juga sempat bertemu dengan Sadat Haji Latif, mahasiswa dari Mindanao yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah di Universitas Negeri Syarif Hidayatullah, Jakarta.
Keesokan harinya kami ke Toko Buku Gunung Agung di Kwitang. Terpaksa menukar wang kerana kami kehabisan matawang rupiah. Banyak buku baru yang rasanya mahu diborong untuk dibawa pulang. Tapi bajet agak terbatas dan terpaksa menahan diri. Di sini saya berjumpa, banyak buku yang sudah lama diidamkan. Dalam senarai buku yang saya mahu beli, hanya satu yang kehabisan stok. Stones into Schools yang mengisahkan kegigihan Greg Mortinson membangunkan sekolah-sekolah di pedalaman Pakistan.
Ada beberapa buah buku mengenai Dahlan Iskan, mantan wartawan yang kini menjadi Menteri dalam Kabinet Indonesia. Saya juga membeli buku tulisannya mengenai Karmaka Surjaudaja bertajuk Tidak Ada Yang Tidak Bisa, sebuah buku yang cukup menginspirasikan.
Selain itu, saya sempat membeli beberapa buah buku untuk rakan-rakan penulis, karya-karya oleh Chairil Anwar, Amir Hamzah, buku terjemahan dan buku-buku karya penulis baru di Indonesia.
Dari Toko Buku Gunung Agung itu, kami ke Taman Ismail Marzuki (TIM). Di sana juga terdapat banyak buku dijual di kedai buku yang diusahakan oleh Jose Rizal Manua, salah seorang seniman dan tokoh teater di Indonesia.
Kebetulan Bang Yos tidak ada ketika kami datang. Hanya isterinya, ibu Nungki yang melayan kami dengan amat baik. Kami sempat juga berkenalan dengan seorang pelukis, Ugo Haryono M.Sn, yang merupakan Dosen Institut Kesenian Jakarta (IKJ).
Cuma kami tidak sempat menonton teater Ratna Sarumpaet yang akan dipentaskan kerana terpaksa pulang keesokan harinya.
Di Kedai buku ini juga, terdapat banyak buku-buku pengarang Malaysia. Malah Haji Hussain menemui sebuah buku antologi puisi Gema Lembah Kinabalu yang memuatkan karya-karyanya. Malah Novel Bagaton karya Amil Jaya juga ada dijual di sini.
Saya memilih untuk membeli buku mengenai Mochtar Lubis, wartawan yang saya kagumi selain buku-buku mengenai kewartawanan.
Selepas itu, kami ke Atrium Senen. Sempat menikmati Es Teler, atau ais buah-buahan sebelum singgah ke Toko Buku Gramedia yang terdapat di sana.
Saya hanya menemankan Hasyuda membeli beg dan saya mencari sedikit cenderamata untuk dibawa pulang.
Tidak ada tujuan lain. Perjalanan kami ke Jakarta kali ini semata-mata untuk mencari buku.
-Jendela Sabah Disember 2013
1 comments so far
jika Anda penggemar sejarah, sedikit penghayal, menyukai aksi laga - terutama silat dan sedikit menyukai filsafat, coba baca Novel Nagabumi. :)