SAUDARA CUBA BAYANGKAN!
Hari ini mati seorang nelayan, kata penyair Jamdin B. Esok seorang petani, lusa seorang penoreh.
Saudara cuba bayangkan tragedi demi tragedi yang terjadi dalam kehidupan ini, seperti yang digambarkan dalam puisi yang sangat menarik ini.
Nelayan mati hari ini. Petani pula mati hari esok. Penoreh mati lusa. Kematian yang berturut-turut ini mungkin hanya terjadi dalam logika puisi. Walaupun dalam pengucapan yang bersaha, kita tidak mungkin dapat memahami puisi ini sepenuhnya jika kita menggunakan makna kamus dalam menterjemah makna puisi ini.
Dalam puisi "Kematian Kekasih Bumi" yang terpilih memenangi Hadiah Karya Sastera 1971 itu, penyair menceritakan bagaimana kematian nelayan, dan diikuti kematian petani dan penoreh itu, adalah kematian yang tidak lagi memiliki harapan.
Puisi ini bercerita dengan penderitaan masyarakat yang miskin dalam sebuah era yang hanya berselang lapan tahun dari tahun 1963, tarikh pembentukan Malaysia.
Zaman itu digambarkan sebagai sebuah zaman yang penuh kemelesetan. Ketika itu kerajaan baru saja memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi mencari solusi untuk kemajuan dan pembangunan untuk kesejahteraan masyarakat yang lebih menyeluruh.
Namun apa yang dinyatakan penyair dalam puisinya itu, nelayan, dan petani dan penoreh itu mati `bersama dengan sebuah harapan kering'. Mereka mati dalam keputusasaan kerana tidak lagi punya harapan, dan mereka meninggalkan meninggalkan semua kekasih manakala ibu-ibu tua menangis kehilangan sebuah harta.
Apakah harta yang hilang itu? Penyair menyatakan ibu-ibu tua yang menangis itu kehilangan sebuah harta iaitu matinya kekasih bumi.
Saudara boleh mencari makna apakah yang terkandung dalam diksi matinya kekasih bumi itu. Siapa yang dikatakan kekash bumi itu. Bagi penyair kekasih bumi itu, tidak lain adalah tiga golongan yang dinyatakan itu iaitu nelayan, petani dan penoreh.
Pada waktu itu, awal 70-an, nelayan mati tanpa sempat merasa pukat tunda. Petani mati tanpa sempat memakan hasil padi dua musim, dan penoreh pula mati tanpa dapat menikmati kelapa sawit kerana mereka telah tua.
Masih relevankah puisi ini sekarang? Saudara cuba renungkan. Nelayan kecil kita khususnya di pinggir pantai masih juga ditakuk lama. Sementara bot-bot nelayan yang besar dan menangkap ikan menggunakan pukat tunda, manakala ladang kelapa sawit kebanyakkannya bukan milik bumiputera?
Ibu-ibu tua menangis kerana zaman mereka yang telah tua itu digambarkan oleh penyair `dengan kapas putih papan reput, pembungkus tulang-tulang kering, daging beberapa kat hanya, dengan zat sagu dan ikan kering".
Apa yang memberikan semangat di sebalik melankolia puisi ini ialah apabila penyair mengatakan 'Tapi ceritamu belum selesai'.
Kata penyair, ia akan dituntut oleh seorang wali, dengan darah dan isi bersama kami anak-anak buahnya.
Perjuangan itu akan diteruskan untuk membina kehidupan yang sejahtera walaupun "Zaman kematianmu telah membunuh sebuah sejarah, yang belum selesai ceritanya, masih berunggun di hati wali,akan menutup cerita ini dengan sebuah mimpi dengan sebuah hati, dari setiap peribumi
Puisi ini memberi makna dan pengertian yang mendalam kepada seorang insan khususnya yanmemperjuangkan nasib sebuah bangsa yang tumpas dan tertindas, kata Prof Inon Shahruddin Abdul Rahman, yang pernah mengkaji puisi ini.
Puisi ini mempunyai nilai kemasyarakatan yang tinggi kerana ia menggarap realiti penderitan masyarakat peribumi di negeri ini pada era pra kemerdekaan meskipun ia mungkin bercerita mengenai peristiwa kematian ayahnya sendiri.
Saudara mungkin setuju bahawa kita memang masih memerlukan seorang wali untuk meneruskan perjuangan kekasih bumi.
Rabu, 26 Februari 2014
saudara cuba bayangkan!
✔
abd naddin
Diterbitkan 9:55 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)