CIKGU RAMLIE AR, SEMAKIN AKTIF SELEPAS BERSARA
BANYAK kisah menarik jika berbual dengan Cikgu Ramlie Jusoh atau dikenali dengan nama pena Ramlie AR dalam dunia penulisan. Beliau pernah membayar ansuran motosikal setiap bulan dengan menulis sebuah puisi. Dengan honorarium sebanyak RM15.00 satu puisi, beliau membeli motosikal dengan ansuran bulanan sebanyak RM15.00 sebulan. Pernah bekerja di sektor perbankan, sebelum bekerja sebagai wartawan daerah untuk akhbar Utusan Melayu di Kuala Terengganu selama setahun. Bagaimanapun, jalan takdir membawanya ke Sabah. Beliau menumpang kapal selama enam hari tujuh malam mengharung gelombang sebelum tiba di Kota Kinabalu, yang mengubah jalan hidupnya secara total. Cita-cita waktu kecilnya jadi askar, tetapi beliau ditakdirkan menjadi seorang pendidik.
CIKGU RAMLIE JUSOH lahir pada 28 Ogos 1948 di Kampung Pulau Manis, Kuala Terengganu.Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Serada sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh. Selepas tamat sekolah menengah, beliau sempat bekerja selama tiga bulan di Bank Bumiputera Kuala Lumpur sebelum pulang ke Kuala Terengganu untuk menjadi stringer Utusan Melayu. Bagaimanapun kerana tidak mahu dikahwinkan selepas ditunangkan secara senyap-senyap oleh neneknya, beliau membawa diri ke Singapura. Menumpang di rumah Aimi Jarr selama sebulan. Sebulan kemudian, beliau menempuh perjalanan selama enam hari tujuh malam merentas lautan sebelum tiba di Kota Kinabalu pada 1972.
Sebelum mendapat pekerjaan tetap, beliau menginap di Islamic Hotel selama satu bulan dengan sewa sepuluh ringgit sehari. Nasibnya baik apabila pada satu hari ternampak gambar bekas gurunya di surat khabar. Hasil pertemuan dengan bekas gurunya, Datuk Abdul Aziz Ismail, yang ketika itu menjadi Pengarah Pelajaran Sabah, beliau ditawarkan bekerja sebagai guru sementara di Kudat.
Lapan bulan kemudian, beliau diterima memasuki Maktab Perguruan Gaya. Selepas tamat maktab pada tahun 1974, beliau ditempatkan mengajar di SMK Abd Rahim Kudat dari tahun 1975 hingga 1979. Pada tahun 1980 hingga 1984, beliau kembali ke Semenanjung untuk berkhidmat di Sekolah Menengah Padang Midin Terengganu.
Kemudian cikgu Ramlie kembali lagi ke Sabah. Kali ini beliau mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Marudu pada tahun 1985 hingga 2000. Pada tahun 2000 hingga 2001 beliau mengajar di SMK Langkon. Selepas itu, pada tahun 2002 beliau bertugas di SMK Pinggan-Pinggan Pitas hingga bersara pada tahun 2004.
Beliau mendirikan rumah tangga dengan Puan Aminah Baudi, ratu lontar lembing Sabah pada tahun 1976 dan dikurniakan empat cahaya mata.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual di salah sebuah hotel terkemuka di Lawas Sarawak ketika sama-sama menyertai Kembara Bahasa 2014.Ikuti petikan temubual yang diadakan bersama beliau berkaitan pengalaman masa kecil, berkhidmat sebagai guru sehingga bersara dari dunia pendidikan.
UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang cikgu?
CIKGU RAMLIE JUSOH: Saya dilahirkan di Kampung Pulau Manis Kuala Terengganu pada 28 Ogos 1948. Saya bersekolah rendah di Sekolah Rendah Serada, di Kuala Terengganu. Kemudian selepas menduduki peperiksaan darjah enam, saya lulus dengan baik iaitu nombor tujuh di seluruh Terengganu. Kemudian saya terpilih melanjutkan pelajaran di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh.
UB: Setahu saya, STAR adalah salah sebuah sekolah berprestij pada masa itu. Berapa ramai yang terpilih ke sekolah itu?
CIKGU RAMLIE: Pada masa itu, kami ditempatkan ke sekolah berdasarkan keputusan. Jadi selepas terpilih untuk bersekolah ke STAR, kami berpakat untuk ke Ipoh. Sebelas orang semuanya. Antaranya Hassan Busu, pesara guru, Muhamad bin Jusoh, pernah bertugas di Petronas, Jain Awang, bekas guru kini masih mengajar di sebuah sekolah tahfiz terkenal di Terengganu yang menggabungkan agama dan sains, Bidin Musa, penghulu, dan yang lain , saya tak ingat lagi nama mereka. Kami naik kereta Ford.Bayangkan 11 orang kanak-kanak bersesak sesak dengan beg masing-masing naik kereta untuk ke Ipoh. Saya sudah lupa berapa tambang, tapi yang menguruskannya ialah pakcik Jusoh, ayah kepada rakan kami, Muhamad Jusoh.
UB: Siapa rakan sekolah cikgu di STAR pada masa itu?
CIKGU RAMLIE: Antaranya, Datuk Seri Isahak Yeop Sahar, mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato Sri Lokman Jasan, mantan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Sri Hood Siraj, Profesor Ismail Abdullah dan lain-lain.
UB: Selepas tamat sekolah, cikgu kerja di mana?
CIKGU RAMLIE: Saya pernah kerja di Bank Bumiputera di Kuala Lumpur selama tiga bulan. Kemudian kerana tidak selesa dengan kehidupan di Kuala Lumpur, saya pulang ke Kuala Terengganu dan jadi stringer Utusan Melayu, selama hampir setahun.
Saya tulis rencana dalam majalah filem, puisi dalam majalah. Jika rencana tersiar dalam majalah filem, bayarannya ialah dua tiket percuma untuk menonton filem keluaran Show Brothers. Jadi boleh tengok wayang dua kali. Jika puisi tersiar di Berita Minggu, dapat honorarium sebanyak RM30.00. Dengan duit bayaran puisi itu, saya mampu beli motosikal 90 cc. Bayaran muka RM300, manakala bayaran bulan hanya RM15.00 sebulan. Honorarium satu puisi, cukup untuk bayaran ansuran motorsikal selama sebulan. Pada masa itu, akhir tahun 60-an dan awal 70-an, bayaran untuk sebuah puisi agak lumayan.
UB: Rupanya cikgu dah lama tulis puisi. Bagaimana timbul minat cikgu terhadap puisi?
CIKGU: Ada dua tekad dalam kehidupan saya pada waktu dulu. Pertama cari emak saya yang meninggalkan sewaktu masih kecil dan kedua belajar puisi dari T Alias Taib, seorang penyair terkenal Terengganu. Saya sempat tinggal di rumahnya di Bukit Besi selama dua minggu. Waktu itu, allahyarham masih bujang.
UB: Apakah cikgu terlibat dalam penubuhan Pelita?
CIKGU RAMLIE: Pelita ditubuhkan oleh Datuk Rashid Ngah. Saya salah seorang jawatankuasa pusat. Pengerusi Biro Kreatif. Waktu itu Pelita agak aktif.
UB: Mengapa cikgu pindah dari Kuala Terengganu?
CIKGU RAMLIE: Sebenarnya saya ditunangkan secara senyap-senyap oleh nenek. Saya tidak berani membantah kerana saya sangat sayangkan nenek saya. Dia yang memelihara saya. Saya ditunangkan dengan seorang saudara yang saya sudah anggap adik. Akhirnya saya pergi ke Singapura. Tinggal sebulan di rumah Aimi Jarr. Apabila datang kapal laut, Rajah Brooke, saya ikut belayar ke Sabah, menempuh perjalanan enam hari tujuh malam. Bertolak waktu Maghrib di Singapura dan sampai di Kota Kinabalu pada waktu subuh.
UB: Ada orang yang cikgu kenal di Sabah pada waktu itu?
CIKGU RAMLIE: Ada beberapa orang yang saya kenal iaitu belia Sabah yang ikut lawatan Belia Asia. Saya mengenal mereka ketika bersama dalam kapal sakura maru. Saya naik dari Johor Bahru ke Pelabuhan Kelang dan kemudian turun di Pulau Pinang. Bagaimanapun, saya tidak ikut ke Jepun. Antaranya Awang Shor, Arwah Taufeck Haji Asneh, Arwah OKK Haji Yahya Ahmadshah, Halil Haji Noor Muhamad.
UB: Sesampainya di Kota Kinabalu, cikgu menuju kemana?
CIKGU RAMLIE: Sampai di KK waktu Subuh kira-kira jam 5.00 pagi. Tapi tunggu hari siang, baru turun kapal. Kemudian saya cari hotel. Menginap di Islamic Hotel selama sebulan dengan sewa sebanyak RM10 ringgit satu malam.
UB: Kerja apa?
CIKGU RAMLIE: Saya tidak tahu apa mahu buat. Saya ke Sabah, bukan tujuan untuk cari kerja. Satu hari ketika membaca suratkhabar, saya ternampak gambar Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Aziz Ismail, bekas pengetua saya di STAR. Kemudian saya datang berjumpa dengannya. Dia cadangkan saya jadi guru sementara. Dia tawarkan saya di tiga tempat iaitu Sekolah St Martin Tambunan, SM Arshad Kota Belud dan SM St Peter Kudat. Saya pilih tempat yang paling jauh iaitu Kudat. Masa itu, masih belum ada bekalan air.Air masih warna kuning. Kalau cuci baju warna putih terpaksa basuh pakai air hujan. Lagi pula Kudat terletak di tepi laut.
UB: Jadi akhirnya cikgu pilih Kudat? Bagaimana keadaan jalan raya pada masa itu?
CIKGU RAMLIE: Keadaan jalan raya tidaklah sebaik sekarang. Kami berangkat dari Kota Kinabalu jam 9.30 pagi dan sampaidi Kudat jam 5.30 petang. Singgah di Kota Belud untuk makan tengah hari. Semua penumpang turun makan. Ada sebuah kedai India Muslim, kedai Muhamad Barooq. Di situlah kami makan. Sampai di Kudat, dengan berbekal surat lantikan, saya ke St Peter dan ditugaskan sebagai guru bahasa Melayu.
UB: Berapa gaji guru pada waktu itu?
CIKGU RAMLIE: Gaji guru sementara pada masa itu ialah RM87.50. Memang agak kecil jika dibandingkan dengan sekarang.
UB: Harga barang?
CIKGU RAMLIE: Harga barang masih rumah. Tapi harga kasut Adidas agak mahal iaitu RM75.00.
UB: Mahalnya?
CIKGU RAMLIE: Pada bulan kedua, di Kudat, saya sudah jadi goal keeper pasukan Kudat. Pasukan kami menang Piala Tamu Besar Bandau. Kami menang melawan Bandau, saya dapat menyelamatkan tendangan penalti. Sebelum itu, pada sebelah paginya, Kudat mengalahkan Kota Belud manakala Bandau mengalahkan Pitas. Jam 2.00 petang kami bermain. Saya dapat `save' tendangan penalti. Kerana itu, saya tidak payah bayar kasut. Dapat kasut percuma. Padahal sebelum itu, setiap pemain bayar ansuran 15 ringgit sebulan kepada pengurus pasukan, arwah pakcik Maidin Jabatan Air. Orangnya memang bagus. Bayangkan harga kasut Adidas RM75.00. kalau 10 orang pemain, sudah RM750. Atas usaha arwah pakcik Maidin, beliau membeli kasut dan kami membayar ansuran 15 sebulan kepadanya. Namun kerana saya berjaya menyelamatkan tendangan penalti, saya dapat kasut percuma.
UB: Berapa lama jadi guru sementara?
CIKGU RAMLIE: Pada bulan Ogos tahun itu, ada temuduga maktab. Tapi saya tidak dapat panggilan. Tapi saya terus jumpa pengarah. Beliau arahkan Datuk Mohd Nor Long untuk membantu menguruskan.Akhirnya saya diterima masuk ke Maktab Gaya dengan nombor pendaftaran 37/73.
UB: Siapa rakan semaktab yang cikgu masih ingat?
CIKGU RAMLIE: Antaranya Saidin Satong, Norjam Endingan, Rajim Laup. Ini rakan seangkatan. Junior saya pula ialah Dr Liddy salun, Masjidah Haji Suhaimi dan ramai lagi.
UB: Selepas tamat maktab, cikgu ditempatkan dimana?
CIKGU RAMLIE: Saya ditempatkan di SMK Abdul Rahim Kudat dari tahun 1975 hingga 1979. Pada tahun 1980 hingga 1984, saya balik ke Terengganu dan mengajar di SM Padang Midin.
UB: Selepas itu?
CIKGU RAMLIE: Selepas arwah nenek meninggal, saya kembali semula ke Sabah. Orang rumah saya, Puan Aminah Baudi orang Kota Marudu, anak Baudi Ungot,bekas Ahli Parlimen di Bandau. Saya mengajar d SMK Kota Marudu pada tahun 1985 hingga 2000. Tahun 2000 hingga 2001, saya mengajar di SMK Langkon manakala pada 2002 hingga 2004, saya mengajar di SMK Pinggan-Pinggan Pitas. Saya bersara tahun 2004.
UB: Siapa antara murid cikgu yang berjaya?
CIKGU RAMLIE: Antaranya Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri, Timbalan Menteri Pertahanan, Mursalim Tanjul, Madiyem Layapan, sekarang Pegawai Daerah, Ribah Masampun, Pegawai di Jabatan Penerangan, Jaliha Jaman dan ramai lagi. Ramai juga yang jadi guru.
UB: Apa pengalaman menarik sepanjang bertugas di Sabah?
CIKGU RAMLIE: Saya pernah merasai pengalaman sewaktu bertugas sejak zaman pemerintahan USNO lagi. Saya pernah menjadi penulis ucapan Tun Mustapha. Waktu itu, saya dapat saguhati sebanyak RM300. Agak Lumayan. Gaji guru pada masa itu ialah sekitar RM310.
UB: Ada lagi pengalaman menarik bersama arwah Tun Mustapha?
CIKGU RAMLIE: Waktu kami menuntut di Maktab Perguruan Gaya, kami dipanggil di rumahnya di Kampung Tanjung Aru. Kami dipanggil untuk membuat persembahan padura atau paduan suara. Saya mencipta lagu dengan diiringi pasukan kombo Polis Diraja Malaysia. Semua anggota kumpulan diberi RM10 sebagai saguhati. Masa itu, elaun maktab hanya RM30 sebulan. Jadi wang RM10 itu sangatlah bernilai. Kemudian dia tanya siapa pencipta lagu. Dia beri lagi RM15 kepada saya kerana mencipta lagu.
Waktu itu, rambut saya panjang, Saya sembunyikan di belakang songkok, tapi entah kenapa, ketika berpusing itu, beliau ternampak rambut saya. Dia minta saya buka songkok. Dalam hati saya,habislah, kerana waktu itu belia dilarang berambut panjang, boleh ditangkap polis. Dia tanya, polis tak tangkap? Saya kata belum lagi polis nampak. Beliau berikan lagi 15 ringgit untuk potong rambut. Jadi malam itu saya dapat 40 ringgit.
UB: Cikgu gunting rambut selepas itu?
CIKGU RAMLIE: Keesokan harinya setelah potong rambut, saya datang semula beritahu beliau bahawa saya sudah potong rambut. Saya beritahu pengawal, saya mahu jumpa Tun untuk beritahu saya sudah potong rambut. Saya diiringi pengawal untuk berjumpa dengan beliau.Ketika itu beliau sedang sarapan. Diajaknya saya ikut sarapan. Makan ikan salmon salai, yang di stim balik. Bayangkan betapa kekoknya.
Satu lagi peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah apabila beliau tahu kami mahu melancarkan mogok untuk meminta kenaikan elaun maktab. Ketika sampai ke pengetahuannya, beliau sendiri datang ke Maktab, kami dipanggil. Iaitu saya dan Aziz , anak imam Nasroh. Akhirnya kami tak jadi buat mogok.Beliau katakan semua persoalan boleh diatasi dengan rundingan, katanya. Guru tidak boleh tidak bagus, katanya.
UB: Berapa elaun pelatih maktab waktu itu?
CIKGU RAMLIE: RM30 ringgit saja. Tapi saya tidak pernah kekurangan wang. Masa itu satu puisi dibayar RM15. saya buat soalan kuiz untuk radio dibawah kelolaan Abd Karim Sadijo, saya dibayar RM15. Satu bulan saya ada RM30. Selain itu, saya selalu ke USIA, bantu Emin Madi, kadang-kadang untuk menolong memilih puisi yang disiarkan. Saya selitkan juga puisi saya. Jadi ketika di Maktab, saya tidak pernah kekeringan duit. Sastera banyak membantu.
UB: Apa cita-cita cikgu sebelum jadi guru?
CIKGU RAMLIE: Saya sebenarya bercita-cita jadi askar. Saya sudah menjalani temuduga. Lulus temuduga pertama di Port Dickson. Kemudian dipanggil untuk saringan kedua di Kuala Lumpur. Hanya 50 orang yang terpilih masa itu. Selepas itu, kami dimaklumkan akan dihubungi kemudian jika lulus.
Tidak lama kemudian saya dapat surat untuk sukat uniform. Selepas itu, saya tunggu keputusan lanjut. Sesudah menunggu lama, surat tidak datang juga. Saya fikir saya tidak lulus jadi pegawai askar.Ini menyebabkan saya agak kecewa kerana hasrat jadi askar tidak tercapai. Cerita sebenarnya terbongkar 27 tahun kemudian. Ketika balik ke Terengganu, saya singgah di Kedai Manir...
UB: Kawasan Ustaz Harun Taib? (mantan Ketua Dewan Ulama Pas)
CIKGU RAMLIE: Saya pernah main bola dengan arwah. Beliau main pertahanan.
UB: Teruskan cerita tadi?
CIKGU RAMLIE: Ketika singgah kedai Manir, saya ternampak seorang tua, namanya Ismail. Dulu dia posmen. Bila saya tanya, sama beliau masih ingat, saya, dia menggeleng. Saya ingatkan bahawa saya cucu hajah Minah, kalau di kampung disebut haji minah. di kampung. Terus dia katakan, dia masih ingat lagi nenek saya. Kemudian dia beritahu, dia diupah 10 riyal atau 10 ringgit untuk buang kalau ada surat saya dari askar. Barulah saya tahu rupanya dulu saya lulus temuduga askar. Tapi nenek upah orang buang surat kerana dia tak mahu cucunya masuk askar.
Kalau saya masuk askar, saya seangkatan dengan Maznan Nordin, yang tulis Kanang anak langkau.
Saya bersyukur juga kerana tidak jadi askar. Kerana dugaan hidup askar masa itu penuh pancaroba.
UB: Apa cabaran cikgu sewaktu mula mengajar di Kudat dulu?
CIKGU RAMLIE: Sewaktu mula mengajar saya berhadapan dengan masalah komitmen ibu bapa yang kurang terhadap pelajaran. Kesedaran ibu bapa mengenai pentingnya pendidikan masih kurang. Selain itu, ada sentimen anti semenanjung yang disebabkan oleh sikap segelintir orang yang merosakkan citra orang semenanjung pada masa itu.
Di sekolah dulu saya terkenal sebagai seorang guru yang garang. Kalau orang menyanyi lagu Negaraku, dengan tidak betul, saya tidak suka.
UB: Murid-murid tentu ingat cikgu?
CIKGU RAMLIE: Satu masa ketika sedang duduk menunggu di Lapangan Terbang, seseorang datang beri salam dan memeluk saya. Saya ingatkan siapa, walaupun saya pasti dia murid saya. Saya katakan tentu dia ingat saya kerana saya garang di sekolah.Beliau katakan kalau bukan kerana kegarangan saya itu mungkin dia tidak menjadi seseorang seperti sekarang. Waktu itu dia bertugas jadi pegawai bank di WP Labuan. Sekarang beliau sudah jadi Timbalan Menteri.
UB: Bagaimana cikgu melihat keadaan pendidikan sekarang?
CIKGU RAMLIE: Saya nampak pendidikan sekarang kurang dari segi pembinaan insan. Kita lihat juga sikap segelintir guru. Bila duduk kedai kopi, ceritanya berkisar mengenai kereta baru, rumah baru dan sebagainya. Padahal baru setahun mengajar. Sekarang, mudah dapat kereta. Hanya tunjuk slip gaji tiga bulan, boleh buat pinjaman di bank. Kalau dulu, saya anak tiga baru memiliki kereta. Keadaan jauh berubah.
UB: Apa kegiatan cikgu selepas bersara?
CIKGU RAMLIE: Saya bertani, menanam pisang, menternak lembu dan ayam kampung. Aktif dalam persatuan kebajikan daerah, juvana, masjid dan sebagainya. Membimbing menulis bakat baru secara talian, membimbing bengkel penulisan dan sebagainya. Saya fikir dapat berehat selepas bersara tetapi rupanya tidak. Malah semakin aktif lagi .Selepas bersara, semakin banyak menerima jemputan untuk membimbing bengkel, menyertai pelbagai kegiatan seni dan sastera dan bahasa kerana ini menjadi minat saya. Saya akan terus berbakti selagi diperlukan.
Jumaat, 31 Oktober 2014
CIKGU RAMLIE AR, SEMAKIN AKTIF SELEPAS BERSARA
✔
abd naddin
Diterbitkan 11:17 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)