ANAK-ANAK YANG TERLANTAR ITU
BUKAN kerana saya tidak mahu bermurah hati. Tetapi ketika kita dikerumuni anak-anak itu tiba-tiba saja saya diserang rasa takut.Apalah ertinya seringgit atau dua ringgit yang kita sumbangkan berbanding dengan penderitaan kanak-kanak itu.Entahkan makan entahkan tidak. Saya sendiri tidak sempat bertanya apa lauk mereka hari ini?.Sudahkah mereka makan? Dimana orang tua mereka? Dimana mereka tinggal dan sebagainya.
Berbanding dengan beberapa tahun lalu ketika saya berkunjung ke Lahad Datu, daerah di pantai Timur Sabah, jumlah mereka tidaklah seramai seperti sekarang. Saya tidak lagi percaya bahawa penyebab mereka terdampar di bandar ini adalah kerana perahu mereka pecah. Kalau betul perahu mereka pecah dihempas gelombang sudah pastilah jumlahnya banyak kerana jumlah orang-orang yang tidak mempunyai identiti itu sangat ramai.
Mereka adalah pengembara di laut, yang tidak mengenal perbatasan negara. Mereka hanya bergantung kepada ombak dan angin untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi. Kehidupan mereka adalah lautan. Rezeki mereka datang dari lautan.
Apakah mereka tidak berhak untuk hidup di tanah daratan. Isu ini menimbulkan persoalan dan perdebatan. Kerana jumlah anak-anak yang tidak memiliki kad mykad itu ramai,pihak berkuasa agak kewalahan menangani isu berkaitan orang-orang yang tidak bernegara ini.
Mereka bukan warganegara kerana tidak memiliki dokumen pengenalan. Padahal selama ratusan tahun mereka hidup di laut samada di kawasan perairan atau di batas sempadan. Mereka hidup pindah randah . Kerana kebanyakan mereka buta aksara, tentulah mereka tidak mempunyai kesedaran mengenai keperluan terhadap dokumen surat lahir atau kad pengenalan.
Sumber kehidupan mereka adalah hasil-hasil laut, ikan dan hidupan laut. Mereka hanya sekali ke bandar untuk tukar menukar barang. Sepanjang kehidupan mereka dihabiskan dalam perahu.
Seiring dengan kemajuan teknologi perikanan, kawasan wilayah kehidupan mereka terancam dengan kehadiran nelayan pukat tunda yang memusnahkan habitat kehidupan mereka. Tetapi banyak lagi sebab mengapa mereka terpaksa turun ke bandar untuk mencari makanan demi untuk melangsungkan kehidupan. Jumlah mereka ramai. Oleh kerana tidak ada sumber kehidupan yang tertentu, jadilah mereka orang-orang yang terlantar.
Kerajaan haruslah mencari solusi untuk menyelesaikan permasalahan orang-orang jalanan ini. Ada di antara mereka menjadi peminta dan pengemis. Jika kita memberhentikan kereta pada suatu perhentian, mereka dengan cepat merubung kita.
Biasanya saya tidak keberatan untuk mengeluarkan seringgit dua. Tetapi jumlah yang mengekori saya itu agak ramai. Sementara duit yang ada di poket saya tidaklah banyak.
Saya melihat wajah mereka satu persatu, Sungguh, mereka adalah orang-orang yang patut diatur dan dikasihani. Saya teringat seorang tua peminta, kudung tangannya, di ibu negeri yang selalu mendoakan sesiapa saja yang memberi sedekah kepadanya dengan doa panjang umur. Biar jumlahnya sedikit, dia tetap berdoa. Walaupun ia dihalau penguatkuasa, tetapi ia tetap mendoakan mereka.
Saya melihat wajah mereka sekali lagi. Timbul rasa kasihan. Tetapi kemudian saya mengurungkan niat apabila tiba-tiba ternampak mereka memegang wisel di tangan mereka.
Untuk apa wisel itu dibunyikan? Saya jadi takut lalu pergi.
Selasa, 4 November 2014
ANAK-ANAK YANG TERLANTAR ITU
✔
abd naddin
Diterbitkan 11:22 PG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)