berjalan ikut cara itik atau ikut cara ayam?
Cuba perhatikan cara itik melintas jalan, kata Tuan Asmara ketika kami duduk di restorannya yang berhawa dingin di Kampung Air pada satu pagi awal minggu ini.
"Itik berjalan perlahan-lahan, terangguk-angguk ketika melintas jalan. Sebab itu, itik jarang sekali dilanggar kenderaan. Jika melintas, itik juga gemar berjalan secara berkumpulan," katanya.
Cuba bandingkan dengan ayam pula, katanya. Ayam selalu melintas jalan dengan berlari pantas, kadang tidak tentu arah, kadang-kadang terburu-buru. Oleh sebab itu, ayam selalu terlanggar oleh kenderaan yang bergerak laju. Ayam selalu menjadi mangsa kerana ia selalu tidak berhati-hati ketika melintas jalan. Suka berlari menyebabkan ia terlanggar mati.
Itik pula, entah kerana berjalan terangguk-angguk, seperti orang yang selalu mengiyakan apa saja yang dikatakan, jarang sekali ditimpa maut di jalan raya.
Hati-hatilah melintas jalan. Sebanyak 30 peratus jumlah kemalangan di Sabah adalah disebabkan oleh haiwan yang berada di tengah jalan atau melintas jalan. Bagi mereka yang suka membawa kereta dengan kecepatan yang tinggi, dinasihati supaya selalu berhati-hati terutamanya di waktu malam.
Kadang-kadang ketika pemandu membawa kereta, tiba-tiba saja segerombolan kerbau melintas jalan. Banyak sudah peristiwa kemalangan yang disebabkan oleh kerbau yang melintas, malah ada diantaranya membawa maut.
Ada juga yang maut kerana mengelak daripada terlanggar kambing atau anjing. Ada juga yang kemalangan kerana mengelak terlanggar lembu atau kuda.
Saya juga melihat ada orang yang memecut kereta mereka dengan laju apabila ternampak biawak atau ular di tengah jalan raya. Kadang-kadang haiwan berbahaya ini terlanggar tidak sengaja tapi ada juga telanggar ular kerana menyangka yang melingkar itu hanyalah tayar.
Pernah juga satu ketika, kami terlanggar kucing. Kucing adalah satu haiwan yang dianggap membawa petaka jika terlanggar dengan sengaja atau tidak sengaja. Saya ingat pada masa itu, kami terpaksa berhenti meminjam cangkul dari rumah orang yang berdekatan untuk menguburkan kucing yang mati terlanggar itu dengan baju yang kami pakai. Konon ia menunjukkan bahawa perbuatan itu tidaklah disengajakan sehingga pakaian kami sanggup dikorbankan. Itu hanyalah sebahagian pantang larang dan adat resam sesetengah etnik di negeri ini.
Pokoknya, hati-hatilah melintas jalan. Perkara yang kita perkatakan ini hanyalah melibatkan haiwan. Bayangkan kalau orang yang melintas jalan. Sudah berapa banyak kes kemalangan yang melibatkan orang-orang yang melintas jalan?
Namun saya tertarik dengan kata-kata Tuan Asmara. Saya terfikir falsafah di sebalik kata-katanya. Katanya itik jarang terlanggar kerana melintas jalan dengan perlahan, sementara ayam melintas jalan dengan berlari. Itu sebabnya selalu menjadi mangsa kerana berjalan tidak beraturan, malah bertempiaran, sehingga pemandu tidak sempat mengelak untuk menyelamatkannya.
Bayangkan pula kalau kerbau yang melintas jalan. Kalau lembu atau kuda, kalau ular atau biawak, kalau kambing atau anjing yang melintas jalan.
Bayangkan pula kalau yang melintas jalan itu gajah atau harimau? Apapun melintaslah dengan berhati-hati. Bagi pemandu jangan selalu membawa laju. Tapi tujuan utama kita adalah tetap berada di jalan yang lurus, ketika orang lain melakukan kecurangan, kata Bernard Shaw. Entah mana yang baik, sama ada melintas seperti itik atau seperti ayam? Tapi kita sentiasa ada pilihan.
Ahad, 23 November 2014
ikut cara itik atau ikut cara ayam
✔
abd naddin
Diterbitkan 1:13 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)