Isnin, 22 Disember 2014

BUDAYA MELAYU MASIH KENTAL DI PANGKAL PINANG

Tags



BUDAYA MELAYU MASIH KENTAL DI PANGKAL PINANG

Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

AGENDA hari kedua kunjungan budaya ke Pangkal Pinang adalah pertemuan dengan Lembaga Adat Melayu Provinsi Kepulauan Bangka Belitung untuk mengenali lebih dekat masyarakat Melayu Bangka.

Sebelum itu, kami sempat singgah di sebuah warung di Jalan Kapten Suraiman.Warung Yu' May yang menjual makanan khas Bangka. Saya memesan Lempah Kuning. Makanan ini mirip dengan makanan orang di Sabah iaitu ikan rebus dengan kunyit.

Sambil menunggu makanan disediakan, saya membaca sepintas lalu suratkhabar Babel Pos, salah satu suratkhabar yang terbit di Pangkal Pinang. Berita muka depan menyiarkan gambar tiga kapal asing yang ditenggelamkan kerana mencuri ikan di perairan Indonesia.

Penenggelaman kapal itu dilakukan di perairan Pulau Anambas , Riau dan kesemua kapal itu tidak memiliki kebenaran untuk menangkap ikan di Indonesia dan setelah melalui proses mahkamah , kapal -kapal itu ditenggelamkan dan kelasi kapal dipulangkan ke Vietnam.

Presiden Jokowi mengakui bahawa langkah itu menunjukkan Indonesia tidak main-main dalam urusan "illegal fishing"

"Di darat, di laut dan di udara wilayah Indonesia adalah kedaulatan Republik Indonesia, tiap jengkal wilayahnya adalah kehormatan bangsa ini, " kata Jokowi sambil menambah bahawa bangsa ini lahir dari sikap patria, sikap mencintai tanah air tanpa syarat. ".

Selepas menikmati makanan yang enak itu, nyaman menurut istilah di Pangkal Pinang, kami bergerak ke Muzium Timah Indonesia. Pulau Bangka Belitung terkenal kerana hasil timahnya dan merupakan pengeluar timah kedua terbesar di dunia.

Sejarah timah di Bangka bermula pada tahun 1709 apabila timah pertama kali digali di Sungai Mabat. Sejarah juga mencatatkan bahawa Sultan Palembang, Badaruddin 1 kembali dari pengasingan di Johor. Beliau membawa serta keluarga bangsawan Siantan, Enche Wan Akup. Inilah yang mengawali perlombongan timah secara besar-besaran di Bangka dimana ribuan buruh dari China didatangkan setiap tahun untuk melombong timah.

Banyak kisah dan kesan sejarah dipamerkan di muzium timah itu. Satu pengalaman yang cukup berharga dapat menghayati sejarah perlombongan timah yang ada kaitannya dengan beberapa konflik sejarah di dunia Melayu.

Selain muzium, salah satu tempat yang pasti dikunjungi dalam setiap perjalanan adalah kedai buku. Kami kemudian bergerak lagi ke Toko Buku Gramedia yang terletak di Jalan Melintas No.40 Rangkui. Saya membeli beberapa buku sejarah dan biografi. Malangnya saya tidak menemui buku-buku berkaitan Melayu Bangka, adat dan budayanya yang masih dijual di kedai buku.

Setelah berehat sekejap, kami berangkat ke Kampung Melayu Kampak, Kelurahan Tuatunu Indah untuk bertemu dengan Pak Ibnu Hadjar, Ketua Kumpulan Seni Melayu Warisan Budaya. Beliaujuga salah seorang tokoh penting Lembaga Adat Melayu, Provinci Kepulauan Bangka Belitung. Nama gelarnya adalah Datuk Sri Pangeran Duta Astana RDO Dr Ibnu Hadjar Emha.

Kami sampai di rumahnya kita-kira 4.30 petang. Beliau sudah menunggu sambil dikelilingi anak-anak buahnya yang baru saja selesai menjalani latihan tarian. Saya dipersilakan duduk dan tidak lama kemudian beliau mempersilakan anak-anak didiknya itu untuk mempersembahkan tarian sambut tamu untuk saya seorang. Disusuli kemudian dengan tarian rudad, satu kesenian bernafaskan Islam.

Pak Ibnu Hadjar rasa gembira dengan kunjungan ini. Sepatutnya Enche, kadang-kadang beliau membahasakan Datu, berada lebih lama di Bangka supaya dapat merangkai jalinan budaya Melayu serantau.

Beliau juga menjelaskan mengenai adat dan budaya Melayu Bangka.Bahkan Pak Ibnu Hajar sedang menyiapkan sebuah buku mengenai Adat Perkahwinan Orang Melayu Bangka. Juga sedikit mengenai bahasa Melayu Bangka. Lawang bermaksud pintu,cikar adalah bahasa Melayu tua untuk cantik. Basikal pula disebut kerito (kereta) dalam bahasa Melayu Bangka.

Banyak hal yang menarik. Pak Ibnu adalah tokoh yang tak henti-hentinya menumpahkan rasa cinta terhadap adat dan budaya Melayu iaitu sejak tahun 1986 lagi. Selain mengadakan sanggar tari, beliau juga membiasakan mereka dengan adat dan etika Melayu. Saya sendiri merasa terharu apabila setiap orang datang menyalami saya ketika memohon untuk beredar. Alangkah indahnya budaya Melayu.

Beliau menceritakan mengenai Festival Kampung Katak yang memaparkan banyak khazanah kebudayaan Melayu dan kebudayaan masyarakat lain yang baru saja berlangsung dengan jayanya.

Penduduk Bangka berjumlah lebih sejuta orang.Kira-kira 80 peratus daripadanya terdiri daripada masyarakat Melayu, kata Pak Ibnu Hadjar.Beliau memberitahu masyarakat Melayu Bangka masih teguh dan tetap memelihara adat dan budaya Melayu.

Beliau mengimpikan agar satu masa kelak, dunia Melayu di Nusantara dapat diperkukuhkan lagi jalinan kerjasama dan persaudaraannya. Saling kunjung-mengunjungi sambil mempersembahkan kekayaan seni dan budaya supaya hubungan dapat dijalin dengan lebih akrab lagi.

Tidak terasa hari sudah lewat petang.Kami meminta diri sebelum azan maghrib berkumandang dan meninggalkan banyak kenangan di Pangkal Pinang.