SEJENAK DI KAMPUNG ORANG SAWANG DI GANTUNG, BELITUNG
SEBENARNYA rasa ingin tahulah yang membawa saya ke kampung orang laut itu. Kampung Seberang, Gantung, Belitung Timur, Indonesia kira-kira 11 km dari Manggar.
Lalu dimana letaknya Belitung? Belitung adalah sebuah pulau yang terletak Laut Jawa di sebelah Pantai Timur Sumatera. Ia sebuah pulau yang terkenal kerana hasil timah dan lada hitam.
Majoriti penduduk di pulau itu terdiri dari orang Melayu Belitong. Tidak pasti mana ejaan yang sebenar, belitong atau belitung kerana kedua-duanya digunakan. Bagaimanapun ejaan Belitung digunakan dengan lebih meluas. Selain Melayu, terdapat juga orang Bugis, Sunda dan Cina yang datang ke pulau itu untuk bekerja di lombong timah di zaman penjajahan Belanda lagi.
Sebelum Perjanjian Inggeris-Belanda di meterai pada 1824, pulau Belitung dikuasai oleh British yang datang menjajah pulau itu pada 1812. Selepas kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 1945, Pulau Belitung berkembang dari tingkat kabupaten hingga mengalami pembangunan pesat dan kini bersama Pulau Bangka membentuk Propinsi Kepulauan Bangka-Belitung pada 27 Januari 2003.
Pulau Belitung terkenal kerana keindahan dan kecantikan pulau dan pantainya. Sebutlah Tanjung Tinggi, Tanjung Kelayang, Tanjung Bunga, Pulau Lengkuas dan sebagainya.
Namun kehadiran suku orang Laut yang dikenali sebagai Orang Sawang juga menarik perhatian. Dari mana asal usul orang laut ini? Bagaimana bentuk bahasa dan kebudayaan mereka?
Semua ini menimbulkan tandatanya sejak beberapa catatan mengenai orang Sawang diterbitkan. Apakah mereka berasal dari Borneo? Atau mungkinkah mereka berasal dari Mindanao? Apakah mereka keturunan orang-orang dari Tempasuk yang dihantar untuk membantu Sultan Mahmud mengusir Belanda dari Tanjung Pinang pada Mei 1787?
Menurut Prof Yusril Ihza Mahendra, mantan Menteri Kehakiman dan Hak Asasi Manusia Republik Indonesia dalam catatan di blognya mengatakan bahawa Legenda-legenda suku Laut menyebutkan bahawa neek moyanhg mereka adalah dari Pulau Mindanao. Di sekitar Belitung memamg ada sebuah pulau yang bernama Mendanau? Apakah ada hubungannya dengan Mindanao di Filipina? kata Yusril. Katanya, terdapat kesamaan postur tubuh, warna kulit serta bahasa serta berbagai jenis kesenian antara suku laut untuk penduduk asli Mindanao.
Sementara itu, Sobron Aidit, seorang lagi penulis Indonesia yang menetap di Perancis( 1934-2007) dalam Kisah Serba-serbinya menulis "
"Di kampung kami, Belitung, ada sebuah suku (yang) kami namai Sekak. Istilah umumnya suku laut. Sekak selalu berdiam di tepi laut, di sekitar pantai, sungai, dan muara. Bertempat tinggal dalam perahu. Kalaupun punya rumah, biasanya rumah panggung yang tinggi di atas air…."
Katanya, suku ini suka berumah di atas perahu, ke sanake maru antara pulau-pulau sepanjang pesisir Bangka-Belitung dan Tanjung Pinang Riau.
Masyrakat ini dikenal kerana kejujurannya. Kadang-kadang mereka dipanggil sekak, malah ada yang menyebut mereka sebagai lanun. Namun mereka lebih suka dipanggil orang sawang.
"Sawang bererti laut," kata Pak Daud Payuk, sesepuh orang Sawang di Kampung Seberang, Gantung. Menurutnya, nenek moyang mereka berasal dari kepulauan Riau. Bagaimanapun, katanya, orang Sawang terlibat dalam tiga peristiwa perang dengan lanun. Dalam perang pertama dan kedua dimenangi oleh orang Sawang manakala dalam perang ketiga nenek moyangnya mengalami kekalahan dan terpaksa menyingkir ke pulau Belitung ratusan tahun yang lalu.
Ketika ditanya bila kali terakhir mereka diserang lanun, Pak Daud berkata, dia tidak tahu pasti, tetapi nenek moyangnya bercerita lanun yang datang itu tidak membunuh orang sebaliknya hanya merampas emas, timah, kulit tiram dan pinggan porselin.
Jika menurut pendapat Pak Daud, orang sawang bukanberasal dari lanun sebaliknya adalah satu suku yang lari ke Belitung dan sekitar pulau Bangka kerana diserang lanun. Menurut catatan Belanda, orang Sawang sudah ada di Bangka Belitung sekitar tahun 1803 lagi.
Kini terdapat sebanyak 58 ketua keluarga di kampung itu. Penduduknya sekitar 199 orang. Jumlah orang Sawang pun tidak diketahui bilangannya kerana belum ada data yang tepat mengenai mereka. Masih ramai juga masih mengembara antara bangka dan Belitung dan kawasan sekitarnya. Terdapat juga orang Sawang di Mentok,Bangka Barat di Lepar Bangka Selatan dan Belitung, tetapi mereka tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa suku laut lagi sebaliknya berkomunikasi dalam bahasa Melayu Indonesia.
Saya sempat bertanya beberapa perkataan bahasa Melayu dan padanannya dalam bahasa sawang. Didapati bahawa tidak banyak perbezaannya. Misalnya Jendela disebut jenila dalam bahasa sawang, pintu-lawang,sana-puih, perahu-kolek, tidur-tidu, mandi-mangi,jalan-bejalan,rumah-ruma, panas-pelak, sejuk-pesi, badan-nyawa, anjing-koyok, ya-auh, dan banyak lagi contoh lain.
Kalau kita bertanya "Kemana kau?", dalam bahasa sawang "kemana iku?". Jika dahulu,orang Sawang tinggal dalam perahu, makan dalam perahu malah melahirkan anak dalam perahu, kini ramai diantara mereka sudah menetap di darat.
"Tetapi kami ke laut setiap hari untuk menangkap ikan," kata Surianto, 44, lulusan SD Gantung. Katanya, tradisi masyarakat Sawang seperti ritual muang jong, tetap dipertahankan dan diteruskan dari generasi ke generasi.
Muang Jong adalah satu ritual orang Sawang yang dilakukan untuk menghormati laut dengan segala isinya. Kini tradisi Muang Jong yang diadakan setiap bulan Februari di Belitung menjadi salah satu tarikan pelancong ke pulau itu. Sebuah perahu kecil dinamakan jong dibuat dan kemudian peserta ritual itu lelaki perempuan tua muda menyanyi dan mendendangkan syair-syair diringi muzik untuk melepaskan perahu itu ke laut.
Kini tradisi Muang Jong yang diadakan setiap bulan Februari di Belitung Timur menjadi salah satu tarikan pelancong ke pulau itu.
"Agak aneh kalau laut ada, tetapi orang laut tak ada," kata Hariadi bin Kati. Tentu Bupati juga bingung kalau tiada orang laut di pulau Belitung, katanya. Saya lihat betapa mereka amat berminat apabila ditanya mengenai bahasa dan budaya serta adat resam orang Sawang. Mereka mengerumuni kami sambil memberi ulasan mengenai bahasa dan budaya Sawang.
Ketika berkunjung ke Kampung Seberang, Gantung itu saya ditemani Ibu Ana Rosanti, Ketua Bidang Kebudayaan Pariwisata Belitung Timur, Pak GP dan Osykar dari Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Propins Bangka Belitung dan pemandu kami, Dedy Irawan.
Selepas itu,mereka memperlihatkan cara-cara Muang Jong dan kemudian memukul gendang sambil menyanyikan bait-bait syair yang dinyanyikan.
Sebelum berangkat pulang, anak-anak orang Sawang itu menarikan tarian `Jambu Merah' manakala seorang ibu menyanyikan syair-syair dan pantun mengenai kehidupan orang sawang yang tidak dapat dipisahkan dengan laut.
"Datanglah lagi, " kata Dayang Baru. Bulan Februari depan akan diadakan Festival Muang Jong. Masa itu, banyak lagi kebudayaan suku kaum Sawang dipertontonkan.
Orang laut, pulang ke laut, datang ke laut mencari ikan, jangan takut ajal dan maut, itu semua takdir Tuhan.
"Parang parang batang mempaya, buah nangka masak bergantung, bila bapak pulang Malaysia, jangan lupa kami di Gantung," kata pak Daud.
"Asap dupa atas keramat, mari di saji dalam dulang, kami doa dengan selamat, ke Malaysia, selamat pulang," katanya.
Isnin, 22 Disember 2014
SEJENAK DI KAMPUNG ORANG SAWANG DI GANTUNG, BELITUNG
✔
abd naddin
Diterbitkan 1:36 PG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)