Rabu, 19 Ogos 2015

NOOR SALLEH HAJI TAMANONG, LONJAKKAN NAMA KOPERASI DI SABAH

Tags

NOOR SALLEH HAJI TAMANONG, LONJAKKAN NAMA KOPERASI DI SABAH

Kita mesti komited dan ikhlas dalam menjalankan sesuatu kerja. Itulah yang saya selalu tanamkan dalam hidup. Sering tolong orang bawah, jangan sombong, jangan angkuh , itu yang menjadi prinsip hidup saya, kata Noor Salleh Haji Tamanong, mantan Pengurus Besar Koperasi Kakitangan Sawit Kinabalu Sabah Berhad (KKSKSB). Ketika menjadi pengurus besar, beliau berjaya melonjakkan nama koperasi sebagai koperasi ke-12 terbaik daripada 100 koperasi terbaik di Malaysia. Dengan modal hanya sekitar RM12,000, KKSKSB pernah mencatat untung hingga RM60 juta.

Noor Salleh Haji Tamanong lahir di Kudat pada tahun 1958. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Pekan Kudat dari Darjah 1 hingga Darjah 6 (1965-1970) sebelum melanjutkan pelajaran menengah di SMK Kudat dari Tingkatan 1 hingga 3 (1971-1973). Selepas itu, beliau meneruskan persekolahan di SMK Sanzac Kota Kinabalu dalam Tingkatan Empat hingga Lima (1974-1975). Noor Salleh kemudian menduduki Tingkatan Enam di Maktab Adabi Kota Bharu Kelantan (1976-1977) hingga lulus Sijil Tinggi Persekolahan (STP).

Selepas lulus STP, Noor Salleh bekerja di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu sebelum berangkat ke Amerika Syarikat untuk mengikuti pengajian dalam jurusan pengajian perniagaan di Andrew University Michigan (1980-1983).

Sekembalinya ke tanah air, Noor Salleh sempat berkhidmat sebagai guru sandaran di SMK Tenghilan selama lapan bulan sebelum menerima tawaran bekerja di Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) sebagai Pegawai Tenaga Kerja. Selepas LKTNS bertukar nama kepada Sawit Kinabalu, Noor Salleh dilantik sebagai Pengurus. Kemudian beliau dilantik sebagai Pengurus Besar Koperasi Kakitangan Sawit Kinabalu Sabah Berhad(KKSKSB). Ketika menjawat jawatan PPengurus Besar, Noor Salleh berjaya meletakkan KKSKSB di tangga ke 12 daripada 100 koperasi terbaik di Malaysia. Beliau adalah salah seorang pengasas koperasi KKSKSB yang ditubuhkan pada 19 September 1989. Pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung,Pengurus, Pengurus Umum dan Pengurus Besar, Noor Salleh berpengalaman mentadbir koperasi selama kira-kira 25 tahun.

Sepanjang khidmatnya di KKSKSB, beliau berjaya menambah jumlah keanggotaan, jumlah modal saham, aktiviti perniagaan dan banyak lagi yang membawa banyak perubahan positif kepada koperasi itu.Ketika memimpin koperasi, KKSKSB menerima banyak pengiktirafan dan beberapa anugerah pencapaian yang berprestij sama ada di peringkat negeri mahupun di peringkat nasional.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemui Noor Salleh Haji Tamanong di celah-celah kesibukannya melayan tetamu pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Fitri Persatuan Alumni SMK Sanzac yang diadakan di Dewan SK Tanjung Aru, baru-baru ini. Ikuti petikan temubual bersama beliau mengenai pengalamannya sewaktu zaman persekolahan dan ketika memimpin koperasi.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan?

NOOR SALLEH HAJI TAMANONG: Saya dilahirkan di Kudat dalam sebuah keluarga Suluk dan Kagayan pada tahun 1958. Ayah saya, Haji Tamanong Imam Shuaib dan ibu saya bernama Salmah Haji Awang Karim. Saya bersekolah rendah di SRK Pekan Kudat dalam darjah satu hingga darjah enam, dari tahun 1965 hingga 1970. Kemudian saya bersekolah menengah di SMK Kudat dalam Tingkatan 1 hingga tingkatan 3, iaitu dari tahun 1971-1973).Selepas itu, saya pindah sekolah di SMK Sanzac Kota Kinabalu dari tingkatan empat hingga lima dalam tahun 1974 hingga 1975. Kemudian saya masuk tingkatan enam di Maktab Adabi Kota Baru dari tahun 1976 hingga 1977 hingga lulus Sijil Tinggi Persekolahan (STP).

UB: Selepas lulus STP, tuan kerja di mana?

NOOR SALLEH: Selepas STP, saya bekerja di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu. Kemudian, saya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Michigan dalam jurusan Business Management. Saya belajar di salah sebuah universiti yang agak jauh iaitu Andrew University Michigan dalam tahun 1980 hingga 1983.

UB: Tamat universiti, tuan terus dapat kerja di Sawit Kinabalu?

NOOR SALLEH: Sepulang dari Amerika Syarikat, saya sempat berkhidmat sebagai guru sandaran di SMK Tenghilan selama lapan bulan. Tidak lama selepas itu, saya mendapat tawaran bekerja sebagai Pegawai Tenaga Kerja di Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) Selepas LKTNS bertukar nama kepada Sawit Kinabalu, saya dilantik sebagai Pengurus. Kemudian, saya menjadi Pengurus Besar Koperasi Kakitangan Sawit Kinabalu Sabah Berhad(KKSKSB).

UB: Sebenarnya dulu apa cita-cita tuan? Sewaktu masih kanak-kanak, apa cita-cita bila dewasa?

NOOR SALLEH: Dulu semua orang mahu jadi `lawyer'. Ibu bapa mahukan anak mereka berjaya. Bila sudah besar berubah ikut keadaan.

UB: Mungkin sejak masa sekolah, tuan sudah terlatih sebagai pemimpin? Apa jawatan tuan di sekolah dulu?

NOOR SALLEH: Sewaktu di sekolah dahulu, sebenarnya saya agak pendiam. Sungguhpun begitu, saya aktif dalam persatuan, menyandang jawatan sebagai Pengawas Sekolah.

UB: Boleh ingat siapa rakan satu sekolah dahulu?

NOOR SALLEH: Antara rakan saya sewaktu sekolah di Kudat, termasuklah Datuk Dr Haji Janathan Kandok, Pengarah Kastam Sabah, Datuk Bolkiah Haji Ismail, Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur, yang juga ADUN Pitas dan ramai lagi.

Di SMK Sanzac pula, antara rakan saya ialah Datuk Raimi Unggi , yang menjadi Ahli Parlimen Tenom sekarang, Datuk Samsu Baharun Haji Abdul Rahman, mantan Ahli Parlimen Silam, yang kami panggil Basirun, Haji Sinoh Mohamad, Haji Johari Mahul, kedua-duanya ahli korporat, Dr Azalina Ekat, Hajah Asmiah Haji Ajamain, Pengarah DBP Sabah,Hajah Rosnani Haji Asmat, Pengurus Besar di LPPB Sabah. Pengarah Kastam Terengganu, Datuk Hamzah Sundang pula junior saya sewaktu di Sanzac.

UB: Siapa yang banyak memberi semangat untuk belajar lebih tinggi?

NOOR SALLEH: Semangat belajar itu datang sendiri apabila melihat orang-orang yang sudah berjaya seperti Datuk Zulkfli Abdul Hamid yang mendapat biasiswa belajar di di New Zealand di bawah Rancangan Colombo.Kita rasa cemburu bila dengar anak orang-orang besar belajar di universiti di luar negara. Itu yang banyak mendorong saya untuk belajar lebih tinggi lagi.

UB: Bagaimana pula pengalaman sewaktu belajar di Amerika Syarikat?

NOOR SALLEH: Banyak pengalaman sewaktu belajar di US. Ketika belajar di US, saya sudah ada isteri. Saya bawa keluarga ke sana. Duit biasiswa tajaan Yayasan Sabah tidak mencukupi. Jadi untuk menampung kos sara hidup sewaktu di sana,saya terpaksa bekerja tambah pendapatan.

UB: Kerja apa? tentu banyak pengalaman menarik?

NOOR SALLEH: Saya kerja apa saja untuk menambah pendapatan. saya kerja sambilan jadi tukang janitor di supermarket. Kalau hari enam dan hari minggu, saya bekerja mengutip buah epal dan strawberry. Kalau ditanya pengalaman, tidak ada yang menarik sebenarnya. Sewaktu belajar di sana, arwah bapa saya meninggal. Tahun 1983. Ada rasa kecewa, sedih kerana tidak dapat pulang menziarahinya. Itu yang sedihnya. Pengalaman yang sedemikian itu,mendorong saya untuk belajar lebih kuat lagi.

UB: Berbalik kepada pengalaman kerja sambilan di Michigan, boleh tahu berapa gajinya?

NOOR SALLEH: Kalau tidak silap, gajinya sekitar USD4.00 dolar sejam. Lumayan juga kalau dikalikan dengan nilai duit kita. Saya juga pernah jadi tukang potong cheese. Kalau kerja kutip epal, kira bakul. satu bakul dipanggil satu bushell, USD3.00 sejam. Di sana budaya kerja mesti serius. Kita tidak boleh main-main. Tapi semua terpaksa dilakukan kerana duit biasiswa tidak cukup untuk menanggung hidup.

UB: Oh ya, berbalik kepada pengalaman tuan sewaktu berkhidmat di koperasi. saya difahamkan tuan berjaya meletakkan Koperasi Kakitangan Sawit Kinabalu Sabah Berhad (KKSKSB) sebagai antara koperasi terbaik di Malaysia. Boleh cerita sedikit?

NOOR SALLEH: Itu cerita beberapa tahun dahulu. Ketika menjawat sebagai Pengurus Besar, kami berjaya meletakkan KKSKSB ditangga ke-12, daripada 100 koperasi terbaik di Malaysia.

UB: Berapa tahun pengalaman dalam bidang koperasi?

NOOR SALLEH: Saya berpengalaman selama 25 tahun dalam koperasi. Saya bersama dua orang lagi rakan, Haji Salim Mohamad dan Lin Fan Chong terlibat dalam penubuhan Koperasi Kakitangan Sawit Kinabalu Berhad pada 19 September 1989.Mereka memberikan kerjasama dan dorongan supaya memajukan koperasi.

Dalam koperasi, saya pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung,Pengurus, Pengurus Umum dan Pengurus Besar.. Bermula dari modal hanya sebanyak RM12,000, Koperasi Kakitangan Sawit Kinabalu pernah untung hingga 60 juta.

UB: Apa bidang perniagaan yang diceburi koperasi KKSKSB?

NOOR SALLEH: Koperasi Sawit bergiat dalam pembangunan perumahan, stesen minyak.

UB: Boleh tuan beri penerangan sedikit mengenai kepentingan koperasi?

NOOR SALLEH:Kepentingan koperasi dalam masyarakat tidak dinafikan. Secara umum menyatukan semua orang supaya aktif mengadakan aktiviti yang menguntungkan ahli koperasi. Itu yang kami lakukan sehingga menjadikan Koperasi Sawit Kinabalu menjadi koperasi yang menduduki tangga ke-12 dari 100 koperasi terbaik di Malaysia pada waktu saya menjadi pengurus.

UB: Sepanjang terlibat dalam koperasi, mungkin tuan banyak terlibat dalam seminar di peringkat antarabangsa?

NOOR SALLEH: Kalau sebut seminar, saya pernah menghadiri persidangan antarabangsa mengenai koperasi di Quebec Canada, Cape Town, Afrika Selatan, Manchester England,iSingapura dan Thailand. Melalui persidangan seperti itu, kita pelajari idea memajukan koperasi dari luar negara. Selain itu, di Sabah sendiri, saya pernah menjadi Timbalan Yang Di Pertua Angkasa Sabah dari tahun 1981 hingga 1985. Kami sebenarnya adalah pengasas penubuhan angkasa Sabah. Waktu itu, pengerusinya ialah Asit Haji Sedi.

UB: Boleh cerita sedikit mengenai Koperasi Mantan Pelajar SMK Sanzac (Kompas) yang ditubuhkan untuk alumni SMK Sanzac?

NOOR SALLEH: Koperasi ini ditubuhkan pada 31 Januari 2015 untuk kepentingan ahli-ahli yang terdiri dari mantan pelajar SMK Sanzac.Mula-mula dikalangan pelajar tahun 1975. Saya fikir kalau setakat perjumpaan, setakat pertemuan alumni , jumpa untuk reunion, tidak berbaloi. Rasanya lebih baik ada aktiviti. Jadi kita tubuhkan koperasi, ceburi bidang bisnes ,buat sesuatu. Ramai ahli-ahli yang boleh menyumbang buah fikiran.

Koperasi kami dianggotai gabungan profesional. Tidaklah kita mengharapkan 100 peratus bantuan kerajaan. Asalkan semua mantan pelajar dapat disatukan. Tidak mustahil,kita boleh berjaya kerana koperasi dianggotai gabungan profesional.

UB: Apa rahsia kejayaan sesebuah koperasi?

NOOR SALLEH: Rahsia kejayaan sesebuah koperasi terletak pada pengurusan koperasi. Kalau pentadbiran koperasi baik, kalau koperasi dijaga dengan baik, kalau diurus dengan baik, tidak mustahil akan menjadi koperasi yang berjaya.Kalau betul jalannya, saya rasa tiada masalah dalam koperasi. Modal dan pengurusan yang penting.Orang kita, minta maaf saja, selalu cincai dalan urusan kira duit

UB: Akhir sekali, mungkin tuan boleh ceritakan konsep dalam bekerja?

NOOR SALLEH: Kita mesti komited dan ikhlas dalam menjalankan kerja. Itulah yang saya selalu tanamkan dalam hidup. Sering tolong orang bawah, jangan sombong, jangan angkuh , itu yang menjadi prinsip hidup saya.