Rabu, 19 Ogos 2015

SEKADAR CATATAN PERTEMUAN DENGAN IBNU DIN ASSINGKIRI

Tags

SEKADAR CATATAN PERTEMUAN DENGAN IBNU DIN ASSINGKIRI

Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

 

SAMBIL menikmati kopi, percakapan kami pada petang itu berkisar mengenai puisi, sastera maya dan mee segera, program-program sastera yang sepatutnya dibuat untuk memantapkan sastera nasional dan soal-soal sini sana yang berkaitan dunia kepenulisan. Meskipun singkat, pertemuan dengan penulis dari Kedah, Ibnu Din Assingkiri amatah bermakna.

Kami bertiga dalam sembang kopi kapucino pada petang itu. Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah (IPS) Hasyuda Abadi menyempatkan diri untuk bertemu dengan Saudara Ibnu Din yang berkunjung ke Sabah, merasai dingin Kundasang dalam rangka cuti bersama keluarga.

Sebelum ini, pertemuan kami dengan Ibnu Din Assingkiri yang menekuni pengajian bahasa Inggeris tetapi pencinta bahasa dan sastera Melayu ini berlaku di Jitra sewaktu Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM).

Di mana puncak atau kemuncak pertemuan yang berlaku kira-kira setahun lalu itu? Tiba-tiba muncul pertanyaan itu, sekadar untuk mengabsahkan makna sidang kemuncak yang menghimpunkan penulis di seluruh negara. Puncaknya ialah berkarya dan terus berkarya.

Ibnu Din Assingkiri atau nama sebenarnya Sanusi bin Din dilahirkan di Singkir Laut, Kedah pada 1970. Beliau adalah ahli Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI). Beliau bertugas sebagai Eksekutif Kanan Latihan dan Perkembangan Sumber Manusia di syarikat multinasional di Pulau Pinang. Selain menjadi aktivis eSastera, beliau juga adalah ahli Persatuan Karyawan Pulau Pinang. Menulis sejak berada di sekolah menengah, Ibnu Din berkarya dalam genre puisi, cerpen dan apresiasi puisi. Beliau juga bergabung dengan penulis se Nusantara dan menerbitkan beberapa antologi bersama.

Kini beliau sedang menuntut di tahun akhir, Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris di UNITEM (OUM).
Kumpulan puisinya Hingga Ke Negeri Abadi (2012), Jejak-Jejak Di Pantai (2015). Kumpulan cerpennya Fragmen Senja (2014). Antologi puisi bersamanya Senyawa Kata Kita (2012), Jejak Sajak: Sehimpun Puisi Generasi Terkini (2012), Ana - Antologi Puisi eSastera Mengenang Brirasa (2012), E-LOKA: Antologi Penyair eSastera (2012), Lentera Sastra (2013), Januari Catur Tunggal Tanpa Pandang (2014), E-LOKA II: Antologi Penyair eSastera 2014, Segugus Pasrah Buatmu MH370 (2014), Sirah Rasulullah Dalam Puisi Siber (2014) dan MH370 Masih Hilang: Antologi Puisi Telegram (2014). Kumpulan esei bersamanya Bunga Rampai Apresiasi Puisi (2014).

Sebenarnya banyak juga yang dapat dipetik dalam pertemuan singkat itu.Paling utama ialah mengukuhkan ikatan persahabatan dan persaudaraan di kalangan penulis tanahair. Bagaimanapun, sebaik matahari masuk ke dalam lautan dan dapat dilihat dengan indahnya dari jendela Nandos Oceanus, kami bersalaman menanti pertemuan yang lain.

1 comments so far

Tanka #40

Di pintu senja
Enam mata bertemu
Batin sejiwa.
Berjemaah puisi
Tidak pernah selesai.

Oceanus Mall, Kota Kinabalu
24.07.2015