Sabtu, 16 Januari 2016

Prof Kang Kyoung Seok, Pakar Jawi dari Korea

Tags

PROF KANG KYOUNG SEOK RAMAL TULISAN JAWI HANYUT KE TENGAH LAUTAN 30 TAHUN AKAN DATANG


TULISAN JAWI sudah berusia lebih 700 tahun lampau. Tulisan jawi adalah seni penulisan yang berakar umbi dan sebahagian dari khazanah yang perlu dipelihara. Tetapi kini minat terhadap tulisan jawi semakin luntur. Apatah lagi generasi muda tidak lagi mengendahkan tulisan jawi.Jika keadaan ini berterusan, tulisan jawi akan terkubur. “Jika tidak ada usaha-usaha dilakukan untuk memulihkan tulisan jawi, kira-kira 20 atau 30 tahun akan datang, tulisan itu akan dihanyutkan jauh-jauh ke tengah lautan,” kata Pakar Jawi dari Korea Selatan.


PROF KANG KYOUNG SEOK lahir Seoul Korea Selatan pada tahun 1955. Beliau memasuki sekolah rendah dan menengah di Seoul. Selepas itu, beliau melanjutkan pengajian di Hankuk University of Foriegn Studies,dalam jurusan Melayu-Indonesia di Department of Indonesian Studies pada tahun 1974. Selepas itu beliau meneruskan pengajian di peringkat sarjana Graduate School of Intrepretation and Translation Hankuk University of Foreign Studies. Kemudian beliau menjadi pensyarah di Busan University of Foreign Studies dalam jurusan pengajian Melayu Indonesia. Selepas itu, Prof Kyoung Seok menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan memperoleh Ijazah Sarjana yang kedua dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya pada tahun 1987. Lima tahun kemudian, beliau memperoleh doktor falsafah dari universiti yang sama. Beliau pernah menjadi Profesor Tamu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Kini beliau adalah Ketua Jabatan Pengajian Malaysia di Busan University of Foreign Studies, Korea Selatan.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual Prof Kang Kyoung Seok, pakar Jawi yang terkenal dan membuat kajian mengenai tulisan jawi sejak lebih 30 tahun lepas.Ikuti petikan temubual bersama beliau pada satu petang di sebuah hotel di Kota Kinabalu.


UTUSAN BORNEO: Kami sangat berbesar hati kerana Prof sudi menerima pelawaan kami untuk sesi temuramah ini. Boleh ceritakan sedikit latar belakang prof?
PROF KANG KYOUNG SEOK: Saya lahir di Seoul Korea pada tahun 1955. Saya memasuki sekolah rendah dan menengah di Seoul. Selepas itu, ketika memasuki universiti di Hankuk University of Foriegn Studies, saya memilih jurusan Melayu-Indonesia di Department of Indonesian Studies pada tahun 1974.


UB: Mengapa prof memilih pengajian Melayu-Indonesia pada masa itu?
PROF KANG: Ketika itu banyak syarikat-syarikat besar dari Korea berbondong-bondong pergi ke Indonesia untuk membuka kilang di sana khususnya di Tangerang, Bekasi dan sebagainya. Saya berharap setamatnya saya dari universiti, saya akan dapat bekerja di situ. Itu yang menjadi visi saya. Masa depan lebih cerah.
UB: Tetapi selepas itu, prof tidak pula bekerja di Indonesia sebaliknya ke Malaysia.Bagaimana ceritanya?


PROF KANG: Waktu itu saya belum tahu perbezaan bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia. Di Universiti, kami hanya diperkenalkan dengan bahasa Indonesia. Saya banyak terpengaruh dengan bahasa Indonesia, sastera Indonesia. Kemudian seorang pensyarah saya di Universiti Hankuk, memberitahu saya mengenai kewujudan tulisan jawi. Beliau bercerita mengenai keunikan tulisan jawi dan menggalakkan saya mempelajari tulisan jawi. Tetapi ketika saya bertanya mengenainya, beliau sendiri kurang pasti. Beliau tidak mengetahui tulisan jawi secara mendalam. Ini sangat ganjil . Bahasa Indonesia sudah lupa tulisan jawi. Hanya di Malaysia, masih ada tulisan jawi,.Mulai saat itulah saya membina impian untuk mempelajari tulisan jawi. Saya ingin tahu mengenai tulisan jawi tetapipada masa itu, di Korea, tiada bahan rujukan mengenai tulisan jawi.
UB: Selepas itu, dimana Prof menyambung pengajian? Di Malaysia?


PROF KANG: Belum lagi. Selepas tamat ijazah BA dalam pengajian Melayu Indonesia, pada tahun 1978, saya menyambung di Graduate School of Intrepretation and Translation Hankuk University of Foreign Studies. Setelah belajar kira-kira dua setengah tahun, saya lulus sarjana pada tahun 1982. Masa itu belum ada terjemahan dalam bahasa Melayu, jadi saya masuk jurusan penterjemahan bahasa Cina. Menterjemah dari bahasa Inggeris-Cina Korea. Kemudian secara kebetulan, pada tahun itu, Busan University of Foreign Studies membuka Jabatan Pengajian Melayu Indonesia. Secara kebetulan juga, saya seorang sahaja yang memohon untuk jawatan pensyarah di universiti itu. Busan adalah sebuah kota pelabuhan. Jadi saya seorang sahaja yang mengajar bahasa Melayu Indonesia di pusat itu. Saya seorang sahaja yang menjadi ketua jabatan pengajian Melayu Indonesia di Busan. Pasal itu saya ke Busan. Tetapi saya masih ingat, cerita Profesor saya mengenai tulisan jawi. Saya nak mengejar mimpi untuk belajar tulisan jawi di Malaysia. Di Indonesia, tulisan jawi sudah pupus. Di Malaysia juga, tulisan jawi akan mengalami kemerbahayaan dan akan pupus jika mengikut kecenderungan di Indonesia.


UB: Jadi selepas itu Prof ke Malaysia?


PROF KANG: Dalam masa saya mengajar di Busan, saya terus memohon kursus sarjana di Universiti Malaysia. Pada masa yang sama, tahun 1982 saya belajar huruf Arab dari seorang pensyarah jurusan Arab di Jabatan Pengajian Bahasa Arab di Hankuk. Saya belajar mengenal huruf alif ba ta daripada beliau. Secara kebetulan, di Masjid Pusan, ada pendakwah datang dari Pattani, selatan Thailand, seorang bernama Abdul Ghani dan seorang lagi bernama Abdul Rahman.. Secara kebetulan, Abdul Ghani menyimpan sejarah Melayu Pattani dalam tulisan jawi. Semuanya secara kebetulan. Saya pinjam buku itu , saya fotokopi. Melalui buku itulah saya belajar tulisan jawi dengan bantuan Abdul Ghani. Satu minggu satu halaman. Saya mendapat banyak perkara ganjil. Ejaan makan dieja mim alif kaf nun. Sepatutnya,mim alif kaf alif nun. Jadi saya bertanya mana pergi huruf alif di antara kaf dan nun itu. Saya nak tahu.Tapi Abd Ghani tak tahu mengenai sistem tulisan jawi. Beliau hanya mempelajari tulisan jawi dari warisan nenek moyangnya. Untuk mengetahui hal itu, saya mengambil keputusan untuk menyambung pengajian di Malaysia.


Tapi bukan mudah untuk saya masuk ke universiti Malaya. Saya membuat permohonan beberapa kali untuk melanjutkan pengajian. Saya menulis surat dalam bahasa Melayu, tidak ada jawapan. Selang beberapa waktu kemudian, saya menulis surat lagi, kali ini dalam bahasa Inggeris. Tetap tak ada jawapan. Saya tidak putus asa. Saya tulis surat lagi,dalam bahasa mandarin, juga tak ada balasan. Satu hari terlintas di fikiran saya untuk menulis surat menggunakan tulisan jawi. Seminggu dua selepas saya mengirimkan surat permohonan menggunakan tulisan jawi itu, Prof Dr Nik Safiah Karim , waktu itu menjadi dekan menghubungi saya. Katanya, anda boleh datang belajar di Universiti Malaya. Sebelum itu, belum pernah ada orang asing memohon untuk pengajian tulisan jawi peringkat MA dan PHD. Mereka agak terperanjat kerana ada orang Korea mahu belajar Jawi. Tidak ada orang yang sanggup mengajar tulisan jawi kepada orang asing.
Tulisan jawi adalah seni penulisan yang berakar umbi dan sebahagian dari khazanah yang perlu dipelihara .Bila mahu datang? Tanya Dr Nik Safiah.Akhirnya saya terpaksa menghentikan pengajaran bahasa Melayu dan Indonesia di Busan University of Foriegn Studies walaupun pada masa itu terdapat kira-kira 156 pelajar dari tahun satu hingga tahun ketiga kerana setiap tahun terdapat 52 pelajar yang mengambil jurusan itu. Mereka menangis-nangis minta saya jangan pergi. Saya terpaksa menghentikan pengajaran kerana tidak ada pensyarah lain yang mahu mengajar mata pelajaran itu. Saya memilih untuk mengabulkan impian saya . Walaupun terpaksa meletakkan jawatan dan walaupun tak dapat gaji saya berangkat ke Malaysia.Kami bincang bincang dengan isteri , nyonya Kim dan anak anak. Isteri saya adalah penyokong kuat saya untuk belajar Jawi.Kami putuskan lagi penting melanjutkan pelajaran ke Malaysia.
Akhirnya saya dapat menyambung pengajian di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya pada 1984 dan memperoleh Ijazah Sarjana yang kedua dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya pada tahun 1987. Lima tahun kemudian, saya memperoleh doktor falsafah dari universiti yang sama.
UB: Dari Seoul terus terbang ke Kuala Lumpur?


PROF KANG: Kami naik kapal terbang, dari Lapangan Terbang Kimpo Seoul. Dua jam kemudian kami transit di Taipei. Dari Taipei, tiga jam setengah kemudian pesawat sampai di Kota Kinabalu. 29 Ogos 1984. Waktu itu hujan turun. Ingatan saya masih segar. Inilah Malaysia. Jadi sebenarnya pertama kali melihat Malaysia melalui Kota Kinabalu. Masa itu, Malaysia kelihatan lebih maju daripada Korea.Dari segi Aircond,banyak tempat dilengkapi aircond atau penghawa dingin. Setibanya di Subang, dan turun kapal terbang melalui Lebuhraya Persekutuan, saya melihat kereta buatan luar negeri seperti BMW dan Mercedez. Di Korea belum ada ketika itu.


UB: Apa bidang kajian yang pernah prof buat mengenai jawi?

PROF KANG: Saya pernah menjalankan beberapa kajian mengenai sistem tulisan jawi, transliterasi manuskrip jawi, seni khat Jawi, pengajaran bahasa Korea dengan tulisan jawi, pola ayat bahasa Melayu-Indonesia, dan Batu Bersurat Terengganu. Setakat ini, saya juga sudah menerbitkan beberapa buah buku yang bertajuk, Perkembangan Tulisan Jawi Dalam Masyarakat Melayu, Bahasa Melayu Dalam Empat Minggu, Bahasa Indonesia-Malaysia patternzip, dan Gaya Bahasa Sejarah Melayu.
UB: Apa pentingnya belajar Jawi?


PROF KANG: Seperti yang saya katakan tadi, rakyat di negara ini haruslah mempelajari tulisan jawi agar khazanah kebudayaan itu tidak hilang. Khazanah ini perlu diangkat semula kerana ia sebahagian daripada warisan sejarah Melayu. Saya fikir sistem ejaan jawi yang digunakan sekarang perlu diganti dengan sistem ejaan jawi zaaba kerana ia ringkas dan mudah dipelajari. Semua pihak perlu mengambil langkah supaya generasi baru tidak melupakan asal usul yang membentuk jati diri dan identiti merek. Tulisan jawi adalah milik rakyat Malaysia.Mereka adalah yang paling layak mempertahankan tulisan itu. Tulisan jawi yang wujud sejak kira-kirab 700 tahun lampau sudah diterima pakai oleh semua masyarakat Malaysia sebelum tulisan rumi diperkenalkan pada tahun 1965-an adalah identiti Malaysia. Sama seperti tulisan korea dan bahasa korea yang menjadi identiti warga Korea. Tulisan Jawi adalah suatu warisan universal bagi masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan tidak seharusnya
diletakkan eksklusif hanya perlu diwarisi generasi muda bangsa Melayu.
 

UB: Apa pendapat prof mengenai masa depan tulisan jawi di Malaysia. Apa saranan untuk memulihkan tulisan jawi?
PROF KANG: Saya fikir pihak universiti perlu memainkan peranan untuk memelihara dan mengajarkan tulisan jawi di Universiti atau mewujudkan pusat pembelajaran tulisan jawi. Ia mesti diwariskan kepada generasi baru sambung menyambung. Peranan media, ITBM dan DBP juga penting dalam memastikan tulisan jawi terus terpelihara. Sekiranya kita ikut jejak bahasa Indonesia,tulisan jawi akan terpupus habis.Usaha memulihkan tulisan jawi amat penting.Kini generasi muda kurang minat belajar tulisan jawi. Mereka tidak endahkan tulisan jawi.Jika keadaan ini berterusan, tulisan jawi akan terkubur.Lagipun ramai pakar jawi sudah bersara. Jika tidak ada usaha-usaha dilakukan untuk memulihkan tulisan jawi, kira-kira 20 atau 30 tahun akan datang, tulisan itu akan dihanyutkan jauh-jauh ke tengah lautan.

4 comments

email prof kang
profkang@hotmail.com

Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

Assalamualaikum

Bagaimana boleh saya dapatkan artikel atau journal oleh Prof Kang Kyoung Seok berkenaan tulisan jawi?

bagaimana boleh saya hubungi Prof Kang Kyoung Seok dan berurusan dengan beliau