HIDUP HARUS BERMANFAAT BAGI ORANG LAIN: H ISTIQLAL
APAPUN yang kita lakukan, ia harus bermanfaat bagi orang lain, kata Bapak H Istiqlal Makrip, Kepala Sekolah (Pengetua) Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK), yang terletak di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) Selatan 2 Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia. Baginya kehidupan ini harus mendatangkan manfaat bagi orang lain. “Mati ya mati, dikubur habis kisahnya tapi hidup yang tiada erti, sama ertinya dengan mati, “ kata Pak Istiqlal sambil mengutip puisi Chairil Anwar. Hidup ini harus bererti, kata guru yang berasal dari Lombok , sebuah pulau cantik yang juga dikenali pulau seribu masjid. Beliau sanggup meninggalkan tanah kelahirannya semata-mata untuk berbakti dan memberi erti bagi hidupnya.
Bapak H Istiqlal Makrip S.Pd. MM, dilahirkan di Babakan Lombok, Nusa Tenggara Barat (NTB) Indonesia pada tahun 1968. Anak pertama dari tujuh bersaudara ini mendapat pendidikan awal di SD Negeri 1 Turida, Lombok dan pendidikan menengah di SMP Negeri I Kediri Lombok Barat kemudian di SMA Negeri 1 Narmada Lombok. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran D3 di Universitas Mataram, Lombok NTB.
Sebaik memperolehi ijazah D3, beliau diterima menjadi guru honorer di SMA Mataram 2 (Kini SMEA Mataram). Kemudian beliau diserapkan dalam perkhidmatan PNS (Pegawai Negeri Sipil) . Pada tahun 2008, beliau berpindah ke Sekolah Menengah Kejuruan (SMK) Negeri 4 Mataram dan dilantik sebagai Kepala Sekolah (Pengetua) sehingga tahun 2014. Selepas itu, beliau dilantik sebagai Kepala Sekolah SIKK (Sekolah Indonesia Kota Kinabalu) hingga kini. Beliau pernah mengikuti kursus jangka pendek di Charles Darwin University di Northern Teritory Australia. Beliau mendirikan rumahtangga dengan Hilda Tresna Ayu dan dikurniakan tiga cahayamata.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN SHAIDDIN sempat mewawancara beliau di celah-celah kesibukannya sebagai Kepala Sekolah. Dalam sesi wawancara singkat itu, beliau menceritakan serba sedikit pengalamannya sejak bersekolah di kampungnya hingga menjadi kepala sekolah atau pengetua SIKK, iaitu sebuah Sekolah Indonesia terbesar di luar negara. Ikuti petikan wawancara bersama beliau:
UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana Pak Istiqlal sudi untuk diwawancara. Boleh ceritakan sedikit latar belakang bapak untuk pengetahuan pembaca?
H ISTIQLAL: Saya dilahirkan di Babakan Lombok, propinsi Nusa Tenggara Barat (NTB) pada tahun 1968. Pulau Lombok juga dikenali sebagai Pulau Seribu Masjid kerana banyaknya masjid. Saya anak pertama dari 7 bersaudara. Saya mendapat pendidikan awal di SD Negeri 1 Turida Lombok sebelum melanjutkan di SMP Negeri 1 Kediri Lombok Barat. Selepas itu, pendidikan SMA saya tempuh di SMA Negeri 1 Narmada Lombok. Kemudian saya mendapat pendidikan Diploma 3 di Universitas Negeri Mataram.
UB: Selepas tamat D3, pak Istiqlal kerja di mana?
H ISTIQLAL: Selepas tamat D3 saya menjadi guru honorer pada tahun 1991. Gaji saya masa itu kira-kira Rp6,000 sebulan atau sekutar RM2.00. Dulu nilai matawang masih tinggi. Cukuplah untuk ongkos beli celana. Kemudian saya dilantik sebagai Pegawai Negeri Sipil (PNS) di sekolah yang sama. Pada tahun 2008, saya dilantik sebagai Kepala Sekolah di SMKN Negeri 4 Mataram.
UB: Bagaimana Pak Istiqlal tertarik menjadi guru?
H ISTIQLAL: Boleh dikatakan banyak keluarga saya jadi guru. Paman saya, makcik saya semua jadi guru di Mataram.
UB: Boleh bapak ceritakan keadaan mataram ketika itu?
H ISTIQLAL: Mataram adalah sebuah kota kecil. Kerana kecil, semua orang saling kenal. Mahu ke manha saja, pasti dikenali. Jarak antara hujung ke hujung hanyalah sekitar 20 minit. Lombok terletak di sebelah timur Pulau Bali. Jika Bali dikenali sebagai pulau seribu pura, Lombok di kenali sebagai pulau seribu masjid. Boleh dikatakan setiap 500 meter ada sebuah masjid didirikan masyarakatnya. Kehidupan beragama di sana sangat kuat. Sehingga kalau kita tidak boleh mengaji, ia boleh memalukan keluarga.
UB: Siapa idola bapak sewaktu di sekolah?
H ISTIQLAL: Idola saya adalah guru saya sendiri. Sewaktu sekolah dasar, namanya Pak Azhar. Beliaulah yang mengajar saya menulis surat. Saya pernah membalas surat paman saya yang menjadi guru besar di kabupaten lain. Bagi saya ini pengalaman yang berkesan.Pak Azhar juga pernah memberikan hadiah Rp75 kerana saya menang Lomba Bercerita atau pertandingan bercerita. Saya rasa bangga. Kerana saya dihargai. Jika dihitung nilai 75 rupiah itu setara dengan 50 sen sekarang, tapi dengan hadiah itu saya rasa bahagia sekali. Beliau mengajarkan saya cara tulis tandatangan. Tandatangan itu saya gunakan sampai sekarang. Seorang lagi ialah guru Biologi saya, Pak Anuar. Beliau sering memotivasi dan menggalakkan kita untuk sentiasa belajar.Setiap hadir ke kelas, beliau sentiasa melontarkan soalan, Kita harus bersedia untuk menjawab soalan. Itu yang saya ingat.
UB: Mungkin Pak Istiqlal boleh ceritakan bagaimana mulanya timbul minat untuk bertugas di Sabah?
H ISTIQLAL: Sebenarnya tidak serta merta. Harus melalui pelbagai ujian. Saya datang ke Dinas Penddikan, kebetulan di situ diberitahu ada tawaran dari Jakarta, kalau mahu cuba. Ada kekosongan jawatan kepala sekolah di SIKK di luar negara.Waktu itu di Singapura, Riyadh dan Moscow. Banyak yang memohon dari seluruh Indonesia. Saya tidak begitu berharap. Tapi daripada semua pemohon, sebanyak 53 lulus ujian administrasi untuk mengisi tiga kekosongan. Dari 53 orang itu, 15 orang berjaya mengikuti ujian kedua yang diadakan di Jakarta, Jogja dan Ujung Pandang. Daripada 15 itu dicari empat. Alhamdulillah saya terpilih. Rakan-rakan saya, Pak Agus ditempakan di Singapura, Pak Ramli di Riyadh san Pak Sudirham di Moscow. Saya pula ditempatkan di Sekolah Indonesia Kota Kinabalu, iaitu Sekolah Indonesia terbesar di luar negara.
UB: Persaingan agak hebat ya?
H ISTIQLAL: Persaingan agak hebat. Mungkin saya ada sedikit kelebihan kerana pernah mengikuti kursus jangka pendek short course di Northern Teritory University , Charles Darwin University. Saya punya sijil banyak , Total quality management, master teacher dan sebagainya.
UB: Sebelum datang ke Sabah, apa yang bapak dapat bayangkan mengenai tugas baru ?
H ISTIQLAL: Fikiran pertama saya ialah saya akan ditempatkan ke Sekolah Indonesia di ladang. Saya sudah siap untuk menjalankan tugas. Tetapi ternyata SIKK itu letaknya tidak jauh dari bandar. Daripada 15 buah sekolah Indonesia di luar negeri, Sekolah Indonesia Kota Kinabalu adalah yang terbesar. Terdapat 71 sekolah dasar dan 48 SMP yang berada di bawah kontrol saya dengan murid sebanyak 23,700 jika termasuk Humana. Sebanyak 13,000 di CLC. Kita harap semua anak-anak warga Indonesia di negeri ini mendapat akses pendidikan.Sesuai dengan konsep Education For All. Pendidikan itu adalah hak asasi anak bangsa. Ini antara tugas saya. Baru-baru ini saya dilantik juga sebagai Home Staff KJRI yang bertanggungjawab di bawah arahan Konsul Jeneral Republik Indonesia Kota Kinabalu.
UB: Oh ya! Saya difahamkan bapak juga seorang penggemar puisi. Bagaimana mulanya timbul minat terhadap puisi?
H ISTIQLAL: Dulu sewaktu kecil, ayah saya sering menyuruh saya mendeklamasi puisi di depan tamu-tamunya. Dari situ mulanya timbul minat terhadap puisi. Berdeklamasi di depan teman-temannya, bikin saya suka puisi. Ayah saya pandai sekali mendongeng.
UB: Siapa penyair yang diminati?
H ISTIQLAL: Chairil Anwar. Ayah saya selalu suka mengutip puisi Chairil Anwar. “Mati ya mati, di kubur habis kisahnya. Tapi hidup yang tiada erti sama ertinya dengan mati,”. Jadi hidup ini harus bermanfaat bagi orang lain. Hidup ini harus bererti sebelum nafas jadi terhenti.
UB: Apa prinsip yang pak Istiqlal amalkan dalam hidup?
H ISTIQLAL: Prinnsip saya, apapun yang saya lakukan, harus bermanfaat bagi orang lain.
UB: Apa yang menarik di Lombok pak?
H ISTIQLAL: Lombok terkenal sebagai The Best Halal Destination di Asia. Seperti yang saya katakan tadi, Lombok terkenal sebagai Pulau Seribu Masjid kerana banyak masjid. Keindahan pantainya luar biasa biasa, sehingga ada jargon, bunyinya begini “Jangan Kamu Ke Lombok, nanti kamu tak mahu pulang”.