JOSEPH DAURAN, PERNAH MELALUI PELBAGAI DETIK MENCEMASKAN
SEPANJANG 28 tahun dalam perkhidmatan polis, Joseph Dauran pernah melalui pelbagai pengalaman pahit manis demi tugasnya untuk mengawal keamanan dan keselamatan negara. Beliau pernah ditugaskan untuk membersihkan saki baki pemberontakan Azahari di Sipitang, pernah mengawal kawasan sempadan ketika masa konfrontasi Malaysia-Indonesia, pernah bertugas mengawal keselamatan ketika Peristiwa 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur, dan berada di Lahad Datu ketika kes rompakan bank pada 1985. Walaupun melalui pelbagai detik mencabar dan mencemaskan, dedikasi dan komitmennya dalam tugas tidak pernah kendur atau surut.
Joseph Dauran lahir di Kampung Bantayan Tamparuli pada 28 Februari 1945. Beliau mendapat pendidikan awal di Government Primary School (GPS) Tamparuli dari tahun 1956 hingga tahun 1961. Beliau sempat bersekolah di Sabah College pada tahun 1962 sebelum pindah ke Sekolah Menenagh St John Tuaran hingga 1963. Beliau kemudian menerima tawaran kerja sebagai anggota polis pada tahun 1963 dan menjalani latihan di Pusat Latihan Polis, Jalan Gurney Kuala Lumpur dan kemudian menjalani kursus Field Force di Dusun Tua, Ulu Langat Selangor. Selepas tamat latihan, beliau pernah di tugaskan di Mobile Force, No4 Police Force, Unit Semboyan, Bahagian Pentadbiran Batalion 16, dan kemudian Cawangan Khas. Sepanjang 28 tahun dalam perkhodmatan polis, beliau pernah melalui pelbagai kisah pengalaman pahit manis demi memastikan keselamatan negara dan kestabilan sentiasa terjamin.. Jawatan terakhirnya sebelum bersara pada tahun 1990 ialah SI atau Sub Inspektor.
Wartawan UTUSAN BORNEO. ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual Ext SI Joseph Dauran di salah sebuah restoran di Pekan Manggatal. Ikuti petikan temubual bersama personaliti berpengalaman ini.
UTUSAN BORNEO (UB): Terima kasih kerana sudi bersama Ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo. Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan?
JOSEPH DAURAN (JD): Saya dilahirkan di Kampung Bantayan Tamparuli pada 28 Februari 1945 iaitu semasa Tentera Jepun `angkat tangan’. Jepun menyerah kala kepada Tentera Bersekutu pada tahun 1945. Saya bersekolah di GPS Tamparuli pada tahun 1956 hingga 1961. Guru besarnya masa itu ialah Cikgu Baba orang Marabahai yang kemudian diganti oleh Cikgu Mamat, orang Papar. Kedua-duanya sudah meninggal. Ketika berada dalam darjah empat, Cikgu Ajamain, orang Papar menaikkan saya terus ke darjah enam kerana sebelum itu, beliau berjanji mana-mana murid yang mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan penggal ketiga darjah empat boleh naik terus ke darjah enam tanpa mrelalui darjah llima. Saya bersekolah di GPS Tamparuli hingga tamat darjah enam pada tahun 1961.
UB: Selepas itu, di mana tuan menyambung pelajaran?
JD: Selepas lulus peperiksaan darjah enam, saya melanjutkan pelajaran ke Sabah College, kawan yang bawa. Di sana, walaupun ada asrama tetapi tidak mencukupi. Kami terpaksa menyewa di Penampang. Ayah saya orang miskin, tidak mampu membayar sewa. Akhirnya pada tahun 1962, saya pindah ke Sekolah St John Tuaran.
UB: Hingga tahun berapa sekolah di St John Tuaran?
JD: 1962. Pada hujung tahun itu ada pengambilan rekrut polis secara beramai-ramai kerana sudah ada ura-ura Sabah merdeka menerusi pembentukan Malaysia. Pengambilan pertama seramai 260 orang manakala pengambilan kedua rekrut polis ialah seramai 62 orang. Saya termasuk dalam pengambilan kedua ini, bersama Abdul Rahman orang Kota Belud. Nombor anggotanya 1274, kini sudah pun bersara denga pangkat sarjan.
UB:Dimana lapor diri?
JD: Kami mula-mula lapor diri di Kepayan. Kemudian kami di arah berbaris, , beratur dalam satu barisan.Masa itu, orang yang berkahwin masih boleh memohon menjadi anggota polis. Selepas kami di bahagi dua, Komandan Sekolah Latihan, Kapten Warne berkata orang yang sudah berkahwin dibenarkan berlatih di Kepayan manakala kami yang masih bujang, 32 orang semuanya di arah mengikuti latihan di Pusat Latihan Polis di Jalan Gurney, Kuala Lumpur.Di Jalan Gurney, kami dari Sabah bercampur dengan rekrut dari Brunei, Singapura,Sarawak dan Semenanjung, cuma dibahagikan mengikut platun.
UB: Ingat siapa rakan-rakan yang ikut berlatih di Pulapol itu?
JD: Antaranya Lakim, Allahyarham Jusrah, meninggal kerana kemalangan, orang Papar, Osman, Awang Besar orang Sipitang, Stephen Gusou, orang Inanam sekarang Ketua Kampung Kironggou, John Ambah, masih hidup orang Keningau .
UB: Berapa lama latihan di Pulapol?
JD: Kira-kira empat bulan latihan di Pulapol Jalan Gurney, latihan kawad dan undang-undang. Kemudian saya meneruskan latihan Field Force di Dusun Tua, Ulu Selangor selama dua bulan. Pada 31 Julai 1963, saya melapor di Kepayan.
UB: Di mana tuan ditugaskan?
JD: Sampai di Kepayan, kami diberi cuti minggu sebelum ditugaskan dalam platun bersama orang-orang lama. Saya masuk pasukan Mobile Force, walaupun kelengkapannya masih kurang tetapi disiplinnya cukup tinggi.
Kami mula-mula dihantar operasi di Sipitang.untuk memburu dan membersihkan saki baki pemberontakan AM Azahari. Ada maklumat mereka bersembunyi di Sipitang masa itu. Platun kami seramai 36 orang. Komandan platun namanya Mohd Salleh, meninggal di Tawau. Selepas satu bulan di Sipitang,
UB: Selepas Sipitang, dimana tuan ditugaskan?
JD: Ketika berlakunya Konfrontasi Malaysia-Indonesia, pasukan kami No4 Police Force ditempatkan di Keningau. Kami menempati bekas kem jurutera Australian Division Engineer yang membina jalan raya Keningau-Sook. Bekas kem itu terletak berdekatan Lapangan Terbang Keningau.Kami bertugas bergilir-gilir dengan pasukan B Company. Kami bertugas di Keningau selama lapan bulan, pada tahun 1965.
UB: Apa yang dilakukan sepanjang tugas lapan bulan itu?
JD: Kami mengadakan operasi bergerak hingga ke sempada. Satu platung 36 orang terdiri dari operator, platun komander, platun sarjan dan medical orderly.
UB: Setiap kali masuk hutan, berapa lama?
JD: Satu bulan. Tapi kami bawa bekalan hanya cukup satu minggu. Selepas satu minggu, bekalan makanan raisin dihantar oleh helikopter. Kami sediakan tempat landingnya dan selepas menurunkan barang, helikopter terus terbang. Barangan yang dihantar termasuk makanan kering, roti kering, sardin dan sebagainya. Setiap kali memasak atau mandi, kami pastikan kawasan sekeliling selamat,.Ada seorang berkawal. Malam kami tidak boleh pasang lampu .. Siang kami memasak. Api tidak boleh besar. Beras dimasak dalam satu pot kecil aluminium dengan menggunakan lilin kecil. Tiada asap. Masa tidur, mesti selalu pakai seluar, pakai kasut jungle boot, topi sentiasa di kepala, peluru dan air mesti sentiasa di badan. Cakap mesti berbisik.
UB:Tentu banyak pengalaman di hutan?
JD: Saya pernah menemankan askar dari British Squadron Artileri pergi meronda di sempadan Malaysia. Saya terpilih menemankan mereka kerana hanya saya boleh yang boleh bercakap Inggeris. Saya diminta jadi jurubahasa. Kami naik helikopter dari Keningau sampai ke Sepulut
Sepanjang masa di hutan itu, mereka kurang disiplin, selalu bising dalam hutan, mematahkan ranting-ranting kayu, malah suka menembak bekas tin minuman. Mujurlah tidak terjadi apa-apa yang tidak diingini.Kami meronda dalam hutan selama dua minggu di pensiangan. Kami sampai ke Ulu Sabinait.
Jauh ke dalam hutan.
UB: Ada lagi misi selepas itu?
JD:Selepas itu, sekali lagi saya diminta menemani komando dari Brunei Queen Own Gurkha. Ini pula saya sengsara . Tentera gurka itu seramai empat orang. Disiplin mereka tinggi. Kalau memijak kayu atau rumput, tidak boleh kedengaran. Selama dua minggu kami meronda hingga ulu Tabin ke arah sempadan Tawau. Satu ketika tanpa sedar kami `limpas’ sempadan sejauh kira-kira enam batu. Nasib baik tidak ada apa-apa. Dari penduduk yang kami jumpai, baru kami tahu kami sudah tersasar ke wilayah Indonesia. Walaupun terpisah oleh perbatasan, tetapi penduduk yang tinggal berdekatan punya kaitan keluarga.
UB: Selepas itu, dimana tuan bertugas?
JD: Saya diarah bertugas ke Ibu Pejabat, di bahagian disiplin, menjaga disiplin anggota. Pada tahun 1969, saya bertukar lagi ke bahagian Semboyan. Kemudian menduduki kursus selama enam bulan di Jalan Gurney.
UB: Ketika peristiwa 13 Mei itu, tuan di KL?
JD: Ya, Ketika berlakunya peristiwa 13 Mei itu saya saya masih kursus di Pulapol Jalan Gurnrey. Kira-kira jam 6.15 petang, berlaku perarakan di Jalan Ipoh oleh parti pembangkang yang diiringi teriakan dan sorakan yang boleh mencetuskan keadaan huru hara. Jika tak silap saya mereka menuju kalau tak silap saya ke rumah Menteri Besar, Dato Harun Haji Idris. Ketika itu kami sedang bersukan di padang. Apabila loceng amaran berbunyi, kami terus balik ke tempat masing-masing , memakai pakaian dan berlari lagi untuk berkumpul di padang. Bila semboyan itu berbunyi, kami tidak tahu apa yang berlaku. Kami terus ke bilik masing masing berpakaian dan keluar berbaris di padang kawat.
Saya diarah untuk menjaga kawasan Kepala Keretapu di Jalan Melaka. Di sana sini ada bangunan terbakar. Kami berkawal di sana hingga jam 12.00 malam. Banyak samseng berkeliaran, mencuri, merompak dan sebagainya. Menyusun kenderaan seperti motosikal, basikal dan kenderaan lalu membakarnya. Keadaan masa itu cukup genting sekali.
Kemudian selepas kekacauan itu dapat dipadamkan, Tunku Abdul Rahman berundur dan tempatnya diambil alih oleh Tun Dr Ismail, Timbalan Perdana Menteri masa itu. Selepas keadaan aman, kami meneruskan lagi kursus yang tertangguh. Pada hujung 1969, saya bertukar lagi dari unit Semboyan,kembali ke Field Force tapi kerja di bahagian pentadbiran.
Saya ditempatkan di Batalion 16 Bahagian Pentadbiran di bawah pimpinan Datuk Yassin Anik. Pada 1 Julai 1977, saya pindah ke cawangan Khas. Pada tahun 1988, saya ikuti temuduga sarjan dan kemudian ditukarkan ke Tawau. Di Tawau, saya banyak mendapat pengalaman juga. Di sana saya pernah sakit berbulan lamanya. Atas kebaikan hati keluarga Haji Jijurrahman, yang menjaga saya, saya sangat berterima kasih. Mereka saya anggap keluarga sendiri. Sampai sekarang, hubungan saya dengan anak-anaknya sangat baik. Kalau saya ke Tawau, saya pasti hubungi mereka.
UB: Sakit apa?
JD: Kena malaria, tetapi ia tidak dapat diubati, Ada sakit lain tak tahu apa puncanya.Atas saranan Dr Isaac Thomas, kes saya itu dirujuk ke hospital di KK. Itu sebabnya saya memohon bertukar di Kota Kinabalu.
Seleoas sihat saya dinaikkan pangkat sarjan mejar pada tahun 1981. Kemudian dipindahkan ke Sipitang jadi Ketua Cawangan Khas Daerah tetapi orang yang di Sipitang, tidak mahu tukar.Jadi saya terus berkhidmat di KK. Pada yahun 1984, saya dipindahkan lagi ke Kunak. Kes yang sama berlaku bilamana orang yang mahu digantikan itu enggan berpindah. Jadi saya ditempatkan di Lahad Datu, tapi jawatan yang saya pegang di Kunak.
UB: Apa kenangan sewaktu di Lahad Datu?
JD: Ketika di Lahad Datu berlaku kes rompakan Chartered Bank. Saya ingat tariknya iaitu 25 September 1985. Empat orang terkorban termasuk seorang kerani Jabatan Penerangan, Terkena peluru sesat.Tiga orang dalam bank. Itulah antara pengalaman yang pernah saya alami.
UB: Selepas Lahad Datu, tuan bertugas di mana?
JD: Saya bertukar balik ke Kota Kinabalu dan ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di Bahagian Kawalan Perjalanan.
UB: Lepas itu?
JD: Saya memohon untuk bersara awal pada awal 1989 ketika berusia 45 tahun setelah genap 28 tahun berkhidmat dalam pasukan polis. Sebelum bersara, saya pernah bertugas di Balai Polis Tuaran sebagai Sub Inspektor. Masa itu, Ketua Polis Daerah Tuaran ialah Datuk Seri Panglima Yahya Hussin, Timbalan Ketua Menteri Sabah sekarang. Saya bersara pada 1 Oktober 1990.
UB: Apa aktiviti selepas bersara?
JD: Saya pernah aktif dalam Persatuan Bekas Polis Malaysia PBPM Cawangan Sabah, dilantik sebagai Ketua Penerangan tetapi kemudian saya berundur untuk menumpukan perhatian dalam bidang perniagaan yang diceburi.
UB: Akhir sekali, apa motto tuan dalam hidup?
JD: Tiada yang mustahil dalam hidup ini, Semua boleh dibuat jika ada kemahuan,. Nothing is impossible.