MISTERI BATU NISAN JAWI DI REBUK
SEKEMBALINYA dari Rebuk, sebuah kawasan perkuburan lama yang terletak di Rampayan Ulu, saya semakin yakin bahawa syiar agama Islam di Kota Belud sudah bertapak lebih awal lagi di Sabah.
Penemuan dua batu nisan bertulisan jawi di Rebuk sebenarnya agak mengejutkan. Kami tidak menyangka ada batu nisan bertulisan jawi di kawasan perkuburan yang sudah lama ditinggalkan. Tujuan kami ke sana adalah semata-mata untuk melihat binaan `rabur’, hasil teknologi membuat simen dari batu karang, yang dihasilkan oleh masyarakat Iranun satu ketika dahulu.
Tanpa diduga kami menemui dua batu nisan bertulisan jawi. Buat masa ini, kami tidak dapat membaca sepenuhnya tulisan jawi itu, dan kami hanya mendapat maklumat yang samar samar mengenai siapakah yang empunya kuburan itu.
Dari tulisan yang dapat dibaca, ada perkataan sama ada wafat atau waktu kembali ...rahmatullah...ke negeri yang baqa...tiga puluh haribulan jamadil awal 132 kalau mengikut ejaan Jawi atau kalau diibaca ikut bahasa Arab 231. Kalau 231 ia bersamaan dengan 845 masihi. Kalau 132 mengikut bacaan jawi, bersamaan dengan 749 Hijrah. Akan tetapi, seorang rakan mengatakan mungkin sewaktu menuliskan itu tercicir satu titik hilang dan tahun sebenarnya ialah 1032H bersamaan dengan 1622 M.
Menurut Datu Pinjaman Hassin, kuburan itu sudah berjarak kira-kira enam generasi dari beliau. Saya fikir ini boleh diterima diperkirakan kuburan itu sudah berusia lebih 300 tahun.
Ada kemungkinan kuburan itu berkait dengan Raja Muda Pidtailan tetapi masih di peringkat kajian lagi. Yang pasti , kewujudan batu nisan itu membuktikan pengaruh Islam di kalangan penduduk tempatan,apatahlagi hubungan antara penguasa Iranun dan Kesultanan Brunei pada masa itu sangat erat sekali.
Kedatangan Islam di Kota Belud (ketika itu, dikenali sebagai Tempasuk) tidak dapat dipisahkan daripada seorang pendakwah dari Yaman, Syarif Alawi Bapaqih atau ada juga yang menyebutnya Syarif Alwi Papaki. Beliau menyebarkan Islam di kalangan masyarakat atau mengukuhkan pemahaman masyarakat Iranun terhadap Islam pada masa itu.
Ketika itu, Rampayan adalah satu pelabuhan entreport yang penting. Pedagang-pedagang dari China datang dengan wangkangnya membawa barangan seperti porselin, mesiu, meriam, peluru dan sebagainya. Mereka pulang dengan membawa barangan seperti damar, rotan, kulit penyu, kulit kayu bakau dan sebagainya manakala pedagang dari Cirebon membawa rempah-rempah dan sebagainya.
Malah ada yang menyatakan juga bahawa makna Rampayan itu bermaksud rempah. Satu lagi versi menyatakan bahawa rampayan bermakna minirampai atau sampai.
Satu lagi bukti yang menunjukkan bahawa masyarakat tempatan di Rebuk sudah mengenal Islam ialah kewujudan Quran bertulisan tangan pada abad ke-16, yang kini tersimpan di Muzium Tamadun Islam Sabah.
Banyak yang boleh diteliti hasil penemuan batu nisan tulisan jawi itu. Jika tarikhnya 231 H bersamaan 845 M, seperti yang tertulis di batu nisan itu, ia jelas menunjukkan bahawa Islam lebih dahulu sampai di Pantai Barat Sabah. Sehingga kini, bukti kedatangan Islam ke Sabah lebih banyak berpandukan manuskrip awal suku Idahan bertarikh 1408 di Lahad Datu. Selain itu, ia juga jadi pelengkap kepada sejarah mengenai tulisan Jawi yang mula digunakan dalam bahasa Melayu lama sejak abad ke-14 lagi seperti yang terdapat dalam Batu Bersurat Terengganu bertarikh 1303
Bagaimanapun, ia masih terserah kepada kajian dan ini satu cabaran kepada pengkaji sejarah seperti peneliti sejarah Iranun, Datu Jamaluddin Moksan yang cuba menjejaki mengenai susur galur sejarah Sabah sejak zaman bahari.
Huruf jawi dibawa masuk ke Alam Melayu sejak abad ke 3 hijrah bersamaan abad ke 10 M. Menurut Prof Dr Amat Johari Moain, pengunaan tulisan Arab ini berdasarkan beberapa prasasti yang pernah dijumpai di Nusantara.
Antaranya ialah penemuan batu nisan Syeikh Abdul Qadir ibn Husin Syah Alam bertarik 290 H/910. Kemudian batu nisan yang ditemui di Pekan Pahang pada 419H/1030, batu nisan di Phan Rang Vietnam bertarikh 431 H/1039M, Batu nisan di Brunei iaitu batu Puteri Sultan Abdul Majid ibn Mohamad Syah Al-Sultan bertarikh 440 H, Batu Nisan Fatimah binti Maimun binti Hibat Allah pada 475 H/1082 di Gresik Jawa Timur.
Penemuan batu nisan di Rebuk, Rampayan Ulu ini boleh menambah khazanah sejarah Islam dan menjadi tanggungjawab golongan sejarawan dan penyelidik untuk menentukan tarikh batu nisan ini.
Apakah mungkin tarikhnya 30 Jamadil Awal 231 seperti yang terpahat di batu nisan ? Atau sebenarnya 30 Jamadil Awal 132? Atau 1032 seperti yang saya andaikan tertinggal satu titik atau kosong? Kita serahkan kepada sejarawan.