PERTEMUAN DENGAN PROF MIDORI DAN PROF HIROKO
“SALAM, saya Hiroko dari UIA.Sekarang kami dalam perjalanan ke Kota Kinabalu. Boleh jumpa pukul 1.00 petang.InsyaAllah.”. Begitulah kira-kira bunyi pesanan singkat melalui aplikasi whatsApp.
“Boleh.Hiroko san”. Dengan jawapan itu saya bergegas dan tiba sepuluh minit lebih awal. Rupanya mereka sampai lebih awal lagi dan menunggu di Coffee Bean.
Saya agak terkejut melihat penampilan wanita Jepun itu. Bertudung. Saya tidak menyangka Prof Madya Dr Hiroko Shiozaki, seorang muslim dan bertugas sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
Bahasa Melayunya agak lancar.Sebelum ini beliau menjalankan kajian mengenai Pendidikan Islam Pondok untuk disertasi PhDnya. Hiroko pernah menjadi Pegawai Penyelidik di Tokyo University of Foriegn Studies.
Beliau memperkenalkan saya kepada Profesor Midori Kawashima dari Fakulti Pengajian Global di Universiti Sophia, Tokyo.
Prof Midori datang ke Sabah, salah satunya kerana sering mendengar nama Tempasuk ketika beliau menemuramah alim ulama di Mindanao. Mengikut sumber yang diperolehinya, masyarakat Islam yang menunaikan haji dari Mindanao pada awal abad ke-19, biasanya singgah terlebih dahulu ke Tempasuk sebelum meneruskan perjalanan ke Tanah Suci Mekah. Antaranya ialah Sayyidina, lebih dikenali sebagai Hadji Sa Binidayan. Beliau berangkat ke Malabang bersama saudagar dan pedagang sebelum berlayar ke Cotabato, Zamboanga, Tawi-Tawi, Balabac, Labuan, Lingga Johor dan Palembang yang menjadi antara pelabuhan penting pada masa itu.
Menurut Prof Midori ketika Hadji Sa Binidayan, (Hadji kadang-kadang disebut Kadi) menunaikan ibadah Haji pada abad ke-19, isternnya bernama Sisuya melahirkan anak di Tawaran (Tuaran). Anak itu bernama Mohd Tahir atau Surur dan sejak itu Mohd Tahir ini menetap di Borneo. Dalam wawancara yang sering dilakukannya, beliau sering mendengar nama Tempasuk.
Itulah sebabnya mengapa Prof Midori melakukan kajian di Sabah. Profesor Midori Kawashima adalah pakar sejarah Asia Tenggara, khususnya politik Filipina dan Sejarah Moden dan fokus penyelidikannya ialah mengenai Islam dan masyarakat Islam di Filipina dari segi sosial, intelektual dan politik. Beliau sudah menghasilkan banyak tulisan dan diterbitkan dalam bahasa Jepun dan Inggeris.
Kerana pernah tinggal lama di Mindanao, beliau boleh berbahasa Maranao-Iranun sedikit. “Maitu-maitu” atau sedikit saja, katanya.
Beliau ingin tahu serba sedikit mengenai sejarah kedatangan Islam khususnya di Kuala Tempasuk yang pernah masyhur pada abad ke-18. Malah pada tahun 1787, Sultan Mahmud III pernah meminta bantuan angkatan Tempasuk untuk mengusir Belanda dari Tanjung Pinang, Pulau Bintan,
Saya berusaha untuk memberikan gambaran mengenai sejarah kedatangan Islam di Tempasuk (kini Kota Belud). Saya memperlihatkan mengenai penemuan Batu Nisan beraksara Jawi di Rebuk Rampayan Ulu. Juga peranan mubaligh yang pernah datang sepergti Sheikh Ahmad, Syarif Alawi Bafaqih dan sebagainya.
Juga mengenai kewujudan Quran bertulis tangan yang ditemui di Kampung Rampayan dan kini tersimpan di Muzium Tamadun Islam Sabah.
Menurut Prof Midori, gambaran dan imej Islam di Filipina selatan sebelum ini banyak dibentuk oleh pengkaji-pengkaji barat khususnya dari Sepanyol dan Amerika. Padahal berdasarkan pengalamannya di Mindanao, Komuniti Islam disana mewariskan khazanah intelektual Islam yang sangat kuat dan mempunyai hubungan dan kaitan dengan tradisi intelektual Islam di Aceh, Palembang, Banten dan lain-lain.
Pertemuan dengan Prof Dr Midori Kawashima dan Prof Madya Dr Hiroko Shiozaki memperluaskan lagi pengalaman dan pengetahuan saya mengenai sejarah Islam di kawasan Asia Tenggara khususnya berkaitan perkembangan Islam di wilayah Borneo. Arigato gozaimasu, sambil membongkok badan sedikit saya mengucapkan terima kasih.