Khamis, 16 Ogos 2018

MENIKMATI IKAN WOKU DI KOTAMOBAGU

Tags

MENIKMATI IKAN WOKU DI KOTAMOBAGU


Saya lupa bertanya Pak Mario, apa nama daerah yang kami singgahi itu. Ada yang tak tahan lagi. Kami terpaksa berhenti bagi memberi peluang kepada mereka memenuhi panggilan alami. Pemilik warung memberitahu kamar kecil, sebutan bagi tandas di sana, berada di belakang.Tapi kerana tandas hanya satu, mereka terpaksalah berbaris. Penumpang lain mengambil peluang untuk merokok.

Saya juga turun dari bas. Ada jagung rebus yang dijual, Setelah mencicipinya, saya rasa jagung di sana tak ada bezanya dengan yang di Sabah. Tapi bila lagi peristiwa makan jagung di Boltim itu bisa terulang?

Hari sudah gelap. Cuaca agak dingin, mungkin satu jam lagi kami dijadual tiba di Kotamobagu.Di Kotamobagu, salah satu kota di Sulawesi Utara, kami check in di Hotel Sutan Raja, di Jalan Ahmad Yani Kobo Besar. Sebaik meletak barang, dan mandi, kami turun semula untuk makan malam.


Ibu Merry Karouwan membawa kami ke D’Talaga Resto di Jalan Bubak-Bungko Kotamobagu, menikmati suasana malam di restoran itu.Kami sengaja mencari tempat yang jauh dari tempat orang yang menyanyi.Kami memilih tepi danau.

Tidak lama kemudian makanan dihidangkan. Selain sayur, semua lauk dari jenis ikan dengan pelbagai cara masakan. Ikan tilapia yang besar, Entah mungkin kerana lapar atau kerana makanan yang enak, kelihatan semua orang makan dengan berselera.
Kami duduk berjejer menghadap meja panjang itu. Malam itu, kami, rombongan FAM Trip  dari Sabah, Malaysia dijamu oleh ASITA (Association of Indonesian Tours and Travel Agencies). Bagi anggota rombongan dari Sabah, inilah peluang mereka untuk menikmati makanan dan masakan Sulawesi Utara. Banyak jenis juadah yang dihidangkan. Di sebelah saya pak Herry Karouwan, sementara di depan saya Pak Sarip, Pak Andra dari Pelni dan Pak Daru.Saya rasa kagum terhadap diri sendiri kerana mampu menghabiskan tiga ekor ikan besar.






Paling enak sekali, bagi saya ialah sajian ikan pedas- ikan woku, makanan tradisi di Sulawesi Utara.Ikannya dicampur dengan aneka bumbu yang rasanya pedas.

Ada juga yang dimasak berkuah. Ada ikan rica-rica dan masakan yang saya tidak ingat lagi namanya. Masakan Manado dan daerah-daerah sekitarnya biasanya pedas. James , bilang kalau berlaku krisis beras di Jakarta itu tidak apa apa di Sulawesi, asal jangan berlaku krisis cabai. Jika kurang cabai, bekalan cabai terpaksa diterbangkan dari Jakarta. Jangan tak ada cabai, katanya sambil menghabiskan sisa ikan woku di depannya.

Mari torang makan ikan woku, katanya. Kalian tahu mana bahagian ikan yang paling sedap? Semua memberikan jawaban, tapi kata  James, bahagian yang paling sedap ialah di pelupuk mata ikan.


Kota Kotamobagu mempunyai penduduk kira-kira 114,980 orang adalah salah sebuah kota di Mongondow, sebuah wilayah di Sulawesi Utara.Mongondow sendiri terbahagi kepada empat kabupaten dan satu kota iaitu Bolmong,, Bolmut, Boltim, Bolsel dan Kota Kotamobagu sendiri.. Bolmong itu singkatan kepada Bolaang Mongondow, Bolmut singkatan kepada Bolaang Mongondow utara, Boltim (Bolaang Mongondow Timur), Bolsel )Bolaang Mongondow Selatan.

Selain terkenal sebagai Bumi Nyiur Melambai kerana banyaknya ladang kelapa di Sulawesi Utara, wilayah itu juga terkenal sebagai pengeluar buah pala. Sebahagian besar buah pala diesport ke Eropah. Ia salah satu komoditi yang menjadi kebanggaan Sulawesi Utara yang banyak dieksport ke Itali, Belanda, Jerman dan negeri lain di Eropah.Permintaan terhadap pala dan rempah rempah dari Indonesia  di Eropah sangat tinggi.

Begitu juga buah matoa, yang diperkenalkan kepada kami oleh James. Buah ini rasanya unik. Rasanya seperti longan,laici  tapi mirip rambutan juga. Isinya manis dan enak dimakan. Kaya vitamin C dan Vitamin E.Matoa memiliki khasiat kesihatan  yang banyak, meningkatkan daya tahan tubuh, mencegah kanser,jantung, menghilangkan stres dan mampu meningkatkan kesuburan. Hampir setiap rumah memiliki tanaman pokok matoa., nama latinnya Pometia Pinnata,  Kotamobago yang terkenal juga sebagai kota matoa.,buah bermusim antara  Julai dan Oktober.

Sebelum meninggalkan Kotamobagu, saya tertanya-tanya juga dan ingin merasa tinutuan atau bubur manado. Penasaran orang bilang. Rupanya bubur itu hanya mengandungi beras, halia, serai dan labu kuning. Tapi sedap juga.





Tidak lama kemudian kami berangkat meninggalkan Kota Kotamobagu. Banyak pemandangan yang mempesona di kiri kanan jalan. Selain itu, banyak juga buah-buahan tempatan yang dijual di sepanjang jalan.Di Desa Lobong, Kecamatan Passi Barat, kami singgah di sebuah warung penjual nenas. Selepas itu, kami naik bas semula untuk meneruskan perjalanan ke Bolmong atau Bolaang Mongondow.