Tahun baru 2019 tiba seperti hari hari lain di Telipok.. Tidak ada yang begitu istimewa, kecuali peluang mengemas buku-buku yang masih berselerak. Ada empat almari buku, mungkin terpaksa tambah dua lagi, mungkin baru mencukupi.
Proses memindahkan buku adalah salah satu cabaran pindah ke rumah baru. Masih menyewa. Rumah sewa di Taman Putera Jaya sebelum ini terpaksa dikosongkan pada hari hari terakhir bulan disember kerana tuan rumah perlu buat renovasi sebelum mereka menempatinya semula.
Mujurlah, kami dapat menyewa di kawasan perumahan Taman Perdana Perdana. Rumahnya lebih selesa kerana masih boleh dikatakan baru. Mungkin dibina sekitar 10 tahun lalu. Pemiliknya seorang jurutera solar, yang kini bertugas di Kulim. Kami hanya berurusan dengan bapa saudaranya yang menjaga rumah sewa ini.
Tiga hari menjelang krismas, kami sudah mendapat kunci rumah. Sebelum itu, kami meminta tuan rumah mengecat dan memperbaiki sedikit kerosakan seperti pintu dan sebagainya.Selepas segalanya lancar, kami mulai mengangkut barang. Mula-mula angkut buku. Saya teringat Bung Hatta, idola saya, yang terpaksa meninggalkan berkotak-kota bukunya di Banda Neira ketika tiba-tiba diminta pindah oleh Belanda sejurus sebelum Perang Dunia Kedua. Mungkin buku-buku saya tidak sebanyak itu. Buku-buku yang mula dikumpul sejak 1986, iaitu sejak selepas SPM lagi.
Ini adalah isu setiap kali pindah rumah. Salah satu pertimbangan ialah bagaimana mengatur buku. Mujurlah isteri saya, sukarela jadi pustakawan untuk membantu menyusun buku, dengan syarat selepas baca, buku jangan dibiarkan bersepah atau berselerak.
Itulah kesibukan kesibukan saya beberapa hari menjelang tahun baru. Apabila tahun baru tiba, saya tentulah berharap kehdupan bertambah baik lagi. Murah rezeki dan dipermudahkan segala urusan.
Kemudian saya menanam pokok kelor di belakang rumah. Ada sedikit ruang tempat menanam. Saya juga menanam pandan wangi, sekadar penanda tahun. Di ruang belakang rumah, sudah ada pokok pisang, tiga darinya sudah berbuah, ada pokok durian belanda yang sudah berputik, ada juga pokok tarap, yang saya minta jangan ditebang, ada kaktus., bunga melor dan bunga raya.
Selepas itu, kami bersiap siap menunggu Amai Amsyar datang. Petang itu, kami pulang kampung pertama kali untuk tahun ini.
Selamat Tahun Baru 2019.
Selasa, 1 Januari 2019
Catatan 1 Januari 2019
✔
abd naddin
Diterbitkan 11:56 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)