Khamis, 4 April 2019

Sekadar kenangan di Teluk Majelis

Tags

MEMANG berat rasa hati untuk melangkah pulang. Apatah lagi kami baru saja bersua muka. Sebelum ini kami hanya pernah mendengar nama Desa Teluk Majelis, sebagai sebuah kampung yang majoriti penduduknya dari kalangan suku Melayu Timur. Akhirnya kami dapat juga menjejakkan kaki di desa yang terletak di Kecamatan Kuala Jambi, Tanjung Jabung Timur, Propinsi Jambi.

Selain Teluk Majelis, orang Melayu Timur juga menetap di Kecamatan Mendahara, Nipah Panjang dan sebagainya. Namun kami tidak sempat berkunjung ke kampung-kampung yang lain seperti Majelis Hidayah,Nipah Panjang, Nibung Putih, Muara Sabak, ,Rane kerana keterbatasan waktu.

Meskipun begitu, layanan mesra dan ramah, masyarakat Kampung Teluk Majelis terutama  Lembaga Adat Melayu (Lam) Jambi yang menyambut kami dengan sambutan yang luar biasa dan menerima kami dengan rasa persaudaraan yang akrab, membuat kami terharu dan tak putus-putusnya mensyukuri rahmat Allah yang mempertemukan kami.

“Ini hanyalah sebuah jalan pembuka. Semoga selepas ini, ramai orang Iranun dari Sabah Malaysia dan juga dari Mindanao Filipina akan berkunjung pula ke Jambi. Kami berharap juga saudara saudara dari suku Melayu Timur dapat pula ke Sabah untuk silaturrahim,” kata saya kepada pak Said Abdullah. Beliau berkisah mengenai keberanian dan kehebatan nenek moyang suku Melayu Timur yang hingga kini sangat disegani.

Saya bercerita mengenai beberapa catatan sejarah yang menunjukkan adanya hubungan kekeluargaan dan kekerabatan antara Iranun dan Melayu Timur. Nenek moyang orang Melayu Timur tidak lain adalah pahlawan dan mujahidin Iranun dari Tempasuk yang pernah membantu Sultan Mahmud III hingga berjaya mengalahkan tentera Belanda di Tanjung Pinang sehingga mereka terusir  ke Singapura. Peristiwa itu berlaku oada Mei 1787. Kemudian kerana khuatir serangan balas, akhirnya Sultan Mahmud Riayat Shah memindahkan pusat kerajaannya ke Lingga. Sebahagian dari 30 hingga 40 kapal yang membawa angkatan Iranun itu tidak pulang sebaliknya ikut ke Lingga seterusnya ke Reteh. Di Reteh juga, lebih 60 tahun kemudian, berlaku perang Reteh yang dipimpin Panglima Besar Sulong, anak pemimpin Iranun bernama Tok Lukus dengan puteri Sultan Yahya Raja Siak bernama  Raja Maimunah. Setelah perang itu, menurut cerita lisan,, ada yang pindah ke tempat-tempat lain, antaranya ke Kuala Tungkal dan Muara Sabak.

Pak Said memberitahu mengenai beberapa perkataan nenek moyang yang masih tertinggal dalam bahasa Melayu Timur, yang kini menjadi sebuah dialek Melayu yang menunjukkan beberapa ciri khasnya.

Masih ramai lagi yang menyimpan kampilan atau sejenis senjata kebanggaan Iranun.Bahkan seorang lagi orang Melayu Timur, pakcik Jamaluddin sempat melukis gambar Kampilan itu ditunjukkan kepada kami.

Banyak juga kisah-kisah kepahlawanan MelayuTimur sejak berzaman dikisahkan oleh cucu cicit mereka. Jika diturutkan masa sehari dua hari itu tidaklah mencukupi. Tapi harus pulang kerana sudah membuat beberapa temujanji dengan toko Melayu Timur di Kota Jambi.

Sebelum pulang, warga Desa Teluk Majelis mengambil kesempatan untuk merakamkan gambar kenangan bersama Haji Masrin Haji Hassin, Yang Di Pertua Persatuan Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) Sabah, dan Cikgu Ismail Sidik, Setiausaha Agung BKI.

 Turut serta dalam majlis itu ialah Seketaris Umum Lembaga Adat Melayu Jambi (LAM) Tanjung Jabung Timur,Bapak Ahmad Suwandi, Camat Kuala Jambi, Bapak Taufik  Kurniawan, Pak Amiruddin Kaharudin, Kepala Kepala Dinas Pariwisata, Budaya, Kepemudaan dan Olahraga dan Kepala Desa Teluk Majelis, Bapak Sukardi, Hadir juga Ibu Ice Kurniaty yang banyak membantu melancarkan perjalanan kami.

Sungguh luar biasa sambutan yang diberikan kepada kami. Terima kasih banyak kepada semuanya.Di sepanjang perjalanan pulang itu, kami terkenangkan upacara yang dimulakan dengan tari sekapur sirih, dan kemudian terinai, sebuah tarian yang memadukan seni tari dan muzik kulintangan.

Majoriti penduduk di Desa Teluk Majelis atau umumnya di Kecamatan Kuala Jambi Tanjung Jabung Timur hidup dari hasil pertanian. Antara tanaman pertanian yang terdapat di sana termasuklah kopi, getah, kelapa hibrida (hybrid Coconut) Pinang (areca nut),Lada, Kelapa Dalam (Coconut) kelapa sawit, kemiri (candlenut) dan koko.
Kelapa mendominasi dengan keluasanan 7,287 hektar manakala di  tempat kedua ialah pinang seluas 777 hektar diiikuti kopi hanya 396 hektar.

Tanaman pinang yang luas itu juga amat menarik. Kami tidak pernah melihat tanaman pinang seluas itu selain di daerah Tanjung Jabung. Di seluruh Tanjung Jabung Timur terdapat seluas 8,952 hektar dengan produksi sebanyak 2,931 tan setahun.

Mengikut penuturan penduduk, pinang itu banyak dijual  sebagai bahan kosmetik dan dieksport keluar negeri.
Desa itu agak terpencil. Di kiri kanan jalan, kelihatan banyak tanaman seperti kelapa, pinang, kopi, kelapa sawit dan sebagainya. Keadaan jalan rayanya ada diantaranya  masih belum beraspal. Tetapi warga kampung hidup tenang dan tidak perlu terburu-buru seperti warga kota. Mujur saya sempat membeli kad telekomsel yang memudahkan komunikasi. Saya teringat betapa sukarnya mencari tempat yang ada wifi sepanjang perjalanan dari Kuala Tungkal ke Kota Jambi sehari sebelumnya. Dari petang hinggalah sampai malam di Kota Jambi, kami gagal menemui `wi fi’.
Tetapi saya agak terkejut juga, dalam perjalanan kami dari Teluk Majlis ke Muara Sabak, tiba-tiba saya melihat sebuah kedai wifi, yang terletak di pinggir jalan. Nama kedai itu `Toko Nadin’, hampir sama dengan nama saya.Seakan tak percaya.

Perjalanan pulang dari Muara Sabak ke Kota Jambi mengambil masa kira-kira tiga jam.

“Sekarang lagi di Jambi ye?” tiba tiba ada whatsapp masuk. Pengirimnya Pak Agus Rama,salah seorang tokoh Melayu Timur di Jambi berasal dari Sungai Lokan. Saya mengajaknya bertemu di Tempoa Inn, menikmati kopi di sana. Dari cerita Pak Agus ini, banyak lagi kisah mengenai orang Melayu Timur yang kami dapatkan sebagai ole ole untuk pembaca.