Jumaat, 11 Oktober 2019

KUNJUNGAN KE DE RANCH LEMBANG, MELANCONG ALA KOBOI

Tags

KUNJUNGAN KE DE RANCH LEMBANG, MELANCONG ALA KOBOI

PERJALANAN dari Kota Jakarta ke Bandung, biasanya mengambil masa tiga hingga empat jam. Tetapi hari itu kesesakan jalan raya amat parah. Bas jenis Urvan Toyota  yang kami tumpangi bergerak agak perlahan sepanjang laluan ke Bekasi. Sebaik berjaya keluar dari kesesakan itu, kami singgah sebentar di KM37 Cipularang untuk melepaskan lelah. Ada yang perlu ke `kamar kecil’ atau WC. Sempat juga membeli kacang dan keropok untuk dikunyah-kunyah oleh mulut yang mulai lapar.

Hampir lima jam kemudian, kami tiba di Jalan Maribaya No 17 Kayuambon Lembang, Kabupaten Bandung Barat, Jawa Barat. Lembang terletak di kawasan yang agak tinggi. Suhunya dingin seperti di Kundasang, atau Rundum di Tenom. Di sana kami diajak untuk berkunjung ke tempat Wisata Kuda Ala Cowboy, De Ranch Lembang,yang  sangat popular di Bandung.

Kunjungan ke  De Ranch Lembang itu dicadangkan oleh YB Jamawi Jaafar, Ahli Dewan Undangan Negeri Kemabong. Beliau mencadangkan kepada  rombongan peniaga dari Dewan Perniagaan Tiong Hua Tenom untuk berkunjung ke De Ranch itu agar mereka boleh mendapat idea untuk memajukan industri pelancongan di Tenom.

Itu sebabnya beliau mahukan rombongan seramai 37 orang yang turut disertai oleh Pegawai Daerah Tenom, Sungkim Rumangon dan ADO Kemabong, Djamiludin Kamarudin untuk berkunjung ke Bandung. YB Jamawi sendiri tidak dapat turut serta kerana pulang ke Kota Kinabalu selepas perasmian Inacraft. Turut mengiringi rombongan ialah Konsul Muda KJRI Kota Kinabalu, Sartono Hendrarso dan staff Bahagian Ekonomi KJRI KK.

Selepas perasmian Jakarta International Handicraft Trade Fair (Inacraft) 2019 yang diadakan di Jakarta Convention Centre (JCC) pada 24 April, pada hari berikutnya, rombongan bergerak ke Bandung.

“Banyak yang boleh dipelajari dari Bandung terutamanya dalam sektor pelancongan,” kata YB Jamawi. Beliau mahukan model serupa dibawa untuk memajukan pelancongan di Tenom khususnya di Kawasan Rundum yang keadaan cuaca dan muka buminya hampir sama dengan Bandung.

Beliau mahukan agar penyertaan masyarakat dalam pembangunan pelancongan diberikan keutamaan sementara ahli-ahli korporat, syarikat-syarikat boleh membina kemudahan fasiliti seperti hotel, inap desa dan pelbagai infrastruktur.

Mulanya saya hanya membayangkan pelbagai jenis kuda di De Ranch Lembang itu. Selepas  membayar tiket masuk, kira kira Rp15,000 (RM4.35), kami memasuki kawasan De Ranch.

Perut tiba-tiba rasa lapar sebaik melihat pelbagai jenis menu  makanan dan minuman yang dijual di medan selera. Saya memilih ikan nila, saya tidak dapat membezakan antara ikan nila, ikan tilapia dan ikan mujair. Saya cuma tahu enak rasanya selepas digoreng dengan pelbagai bumbu yang sedap.

De Ranch adalah destinasi pelancongan yang popular di Lembang. Ia terletak jauh dari pusat kota Lembang. Konsep De Ranch lebih kepada wisata keluarga ala koboi. Pengunjung-pengunjung boleh menunggang kuda, bergambar dengan pelbagai kostum koboi, menaiki delman atau kereta kuda, dan sebagainya.

Selain kuda besar, ada juga kuda poni yang boleh ditunggangi oleh kanak-kanak. Memamg pengalaman yang mengasyikkan, apatahlagi jika menaiki delman atau kereta kuda mengelilingi kawasan padang hijau.

Kawasan itu mula dibuka pada tahun 2007. Sebelumnya ia hanya kawasan penternakan kuda biasa tetapi kemudian ia dimajukan sebagai tempat pelancongan keluarga.

Kini terdapat banyak fasiliti yang disediakan seperti tempat permainan kanak-kanak, outbound, kawasan medan selera atau area kulinari, permainan air dan sebagainya.

Padang rumputnya juga agak luas. Tidak hairanlah sewaktu berkunjung ke sana, terdapat ramai pengunjung dari pelbagai kota di Jawa. Ia menjadi pilihan pengunjung dan pelancong kerana mereka boleh ke sana dengan pengangkutan awam, delman (kereta kuda), angkot (angkutan kota) ataupun ojek. Tidak jauh dari De Ranch ini ada Floating market atau pasar terapung.

Kunjungan ke De Ranch Lembang memberikan banyak pengalaman yang berguna. Rombongan  dari Tenom Sabah yang berkunjung ke Lembang amat berpuas hati dengan kunjungan itu. Mereka dapat mempelajari sesuatu untuk dibawa ke Tenom   untuk memajukan kawasan pelancongan di daerah Tenom yang amat berpotensi sekali.

Paling penting, dalam memajukan industri pelancongan di kawasan Rundum, seperti yang dikehendaki YB Jamawi dan sudahpun dibawa ke Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lepas, penyertaan rakyat dalam proses pembangunan harus diberikan prioriti dengan kerjasama pintar dengan agensi kerajaan, syarikat korporat, dan sebagainya.

Tidak lama kemudian, Kapitan Wong memanggil semua anggota rombongan untuk ke tengah padang hijau itu. Beliau mahu kunjungan ke De Ranch Lembang itu diabadikan dalam foto, sebagai tanda kenang-kenangan sebelum kami berangkat ke destinasi yang selanjutnya.