Jumaat, 11 Oktober 2019

MENCARI SILSILAH NENEK, SATU CATATAN PERIBADI

Tags

MENCARI SILSILAH NENEK, SATU CATATAN PERIBADI
Oleh ABD.NADDIN SHAIDDIN*

“TIDAK payah pigi jauh-jauh cari susur galur,.Bagus lagi  cari silsilah keturunan nenekmu di Limau-limauan,” kata ibu saya.

NENEK saya dari sebelah ibu bernama Rupiah, Bai Rupiah atau  biasanya dipanggil dengan nama  Piang saja. Beliau dilahirkan di Kampung Marimbau, sebuah kampung yang kini tidak lagi berpenghuni, berdekatan Kampung Indarasen (Indarason) Kudat. Tahun kelahirannya saya kurang pasti, tapi mungkin di penghujung abad 19. Sewaktu nenek  meninggal, ibu saya masih usia remaja. Beliau tidak sempat daftar kad pengenalan kerana sewaktu orang buat kad pengenalan  di tamu khamis, beliau sakit masa itu. Sebab itu, sampai sekarang kami tidak tahu tarikh kelahirannya.

Mengikut cerita, Bai Rupiah atau  Apo Piang ini adalah  anak Datu Tating berketurunan Suluk atau selalu disebut Sulug, dengan isterinya  apu Uki, anak kepada Datu Mariano. Uki ini adik beradik dengan apu linang, ibu kepada pakcik Antau di Kilapi tetapi berlainan ayah.

Datu Tating ini punya banyak nama. Beliau juga dikenali dengan nama Datu Ating, Datu Taing, atau Mohamad Tahir. Ia memiliki banyak nama samaran, mungkin kerana selalu diburu penjajah kolonial masa itu.

Siapakah Datu Tating? Sejarah mengenalnya sebagai salah seorang pejuang atau penentang penjajah Sepanyol. Seorang pemimpin masyarakatnya yang melawan kolonialisme Sepanyol di rantau ini. Kerana sering melawan Sepanyol, maka itulah terpaksa menggunakan banyak nama bagi mengelakkan ia dikesan oleh Sepanyol dan British yang memburunya.

“Datu Tating sebenarnya adalah pahlawan Sabah,” kata arwah pakcik Maning, iaitu abang kepada ibu saya Hajah Katiana atau setelah naik haji, digelar dengan nama Hajah Siti Shukra.

Nama pakcik Maning sendiri diambil sempena nama Imam Maning, iaitu sepupu kepada nenek saya yang berada di Kampung Telaga Pitas. “Supaya garis  keturunan tidak hilang,” konon begitulah kata nenek saya. Khabarnya, Imam Maning adalah seorang guru yang disegani di Telaga kerana kepandaiannya dalam pelbagai ilmu dan keahliannya dalam bidang persilatan.
Di kemudian hari, ketika saya berkesempatan ke Kampung Talaga dan bertanya mengenai Imam Maning, hampir separuh daripada dewan itu punya kaitan keluarga dengan imam maning.

Nenek saya masih mempunyai seorang kakak bernama Lamiah, yang ketika itu berkampung di Kampung Limauan Kudat. “Lamiah itu , ada anaknya bernama Imam Alias,” Ada sepupunya yang bernama Dayang Talu.Konon dulu kakinya kecil, dan Dayang Saluh di Kampung Limau-limuan.

Selain itu, masih terdapat sepupunya yang lain, seperti Haji Abdul Mutalib di Kampung Pinggan-Pinggan Pitas. Bahkan menurut pakcik saya, arwah Haji Rakunman, nenek saya masih memiliki kaitan keluarga dengan almarhum Tun Datu Mustapha.”Mereka masih pupu dua kali,” kata arwah  Haji Rakunman ,satu-satunya di kalangan keluarga yang boleh bertutur bahasa Sulug, Almarhum Tun sendiri yang fasih pelbagai bahasa itu, dulu sewaktu berkempen sebagai UMNO di Usukan, pernah mencari keluarganya di Kota Belud.

Kisah perjuangan Datu Tating melawan penjajahan Sepanyol itulah, yang berkembang dalam keluarga kami. Ia hampir-hampir menjadi semacam mitos jika saja namanya tidak tercatat dalam sejarah. Ternyata nama Datu Tating termaktub sebagai salah seorang tokoh pejuang yang pernah berjuang menentang Sepanyol satu ketika dahulu.

Melalui Datu Tating lah mengalir darah keturunan Sulug, yang meskipun sedikit, tetap menjadi satu kebanggaan kerana dulu mereka pernah berjuang menentang segalah bentuk keserakahan dan dominasi barat untuk menguasai perdagangan  di sebelah timur.

Kami sering pula diberi nasihat membuang segala rasa ego dan tinggi diri. Menyahkan segala bentuk ego dan pentingkan diri. Kami diperingatkan agar selalu mengamalkan toleransi dan persefahaman. Buang segala bentuk keegoan. Apabila berada dalam satu pelayaran, haruslah bekerjasama dalam menyelesaikan sesuatu.

Konon kerana menjaga harga diri dan martabat, seorang sulug dan Iranun lebih rela dan tega membiarkan perahu mereka tenggelam dimasuki air daripada menimbanya keluar apabila  ia tidak dilakukan bersama-sama.

Sikap sama-sama keras kepala itu darpada perspektif ibu saya bukanlah suatu yang baik. Hanya kerana mengaku keturunan datu atau pemimpin, tidak semestinya apa saja tindakannya benar belaka. Yang penting sekali ada sikap tolong menolong, kerjasama dan toleransi.

Janganlah kerana iri hati dan tidak puas akan sesuatu menyebabkan kita mengambil tindakan kurang waras. Melebihi batas kewajaran iaitu dengan membiarkan perahu  tenggelam hanya kerana orang lain tidak mahu bersama sama menimba airnya keluar.

Banyak lagi dongeng dan cerita rakyat yang sering didodoikan kepada kami sejak kecil. Kami diberitahu bahawa kami ada darah keturunan Sulug dan bahawa datuk kami Datu Tating seorang pahlawan.

Sebenarnya inilah juga satu cabaran kepada kami untuk menelusuri sejarah Datu Tating. Apakah tidak mungkin ada lagi nama Datu Tating di negeri ini? Segalanya mungkin, tapi kedudukan dan peranan Datu Tating dalam mempersatukan rakyat menentang Sepanyol tidak dinafikan lagi.

Angkatan Raja Tempasuk Raja Tebuk yang datang ke Tanjung Pinang untuk membantu Sultan Mahmud III Sultan Riau Johor mengusir Belanda pada Mei 1787 dari Tanjung Pinang, jika ditinjau dari sudut kerangka masanya, adalah tidak jauh berbeza dengan era penentangan Datu Tating ke atas penjajah Sepanyol.

Datu  Tating menjadi idola setiap orang pada masa itu, menjadi sumber kebanggaan keluarga kerana berani menentang Sepanyol, negara adi kuasa pada zaman itu. Datu Tating adalah simbol penentangan terhadap penjajah. Sungguhpun demikian,sejarah dan perjuangan Datu Tating itu jarang ditonjolkan.

Bagi kami, Datu Tating memiliki erti yang jauh lebih penting. Datu Tating bukan sekadar bukti bahawa kami mempunyai darah keturunan Sulug tetapi juga bahawa nenek moyang kami punya andil atau peranan besar dalam sejarah di negeri ini.

Memang masih banyak perkara perlu dibuat. Tetapi kerana diminta menulis artikel apa saja tajuknya asalkan berkaitan Sulug , saya teringat Datu Tating, nama salah seorang tokoh pejuang menentang penjajah Sepanyol dan British suatu ketika dahulu.

Kalau Datu Tating adalah moyang saya sebelah ibu, di sebelah ayah saya pula, saya adalah generasi ketujuh keturunan Embo Akil, seorang alim agama dari Tapol. Ibu dari ayah saya bernama Sablah. Ibu dari Sablah bernama Terelah. Terelah adalah anak Derias. Derias pula adalah anak kepada Akil yang tiba di  Kota Belud lebih dari satu abad yang lalu.

Kini walaupun sibuk sedikit tetapi hasrat untuk mencari susur galur keluarga tidak pernah pudar. Memang masih banyak teka silangkata yang belum terjawap tetapi sedikit demi sedikit, sejarah akan membuka dirinya sendiri.

Ternyata saya juga mempunyai Suluk, yang pemberani dan pahlawan yang menentang penjajah.

Isteri saya pula yang dari suku Melayu Arab dan Bulungan itu pun mempunyai darah Suluk juga. Moyangnya bernama Mohd Arif, Kadi Kesultanan Bulungan yang berasal dari Melayu Pontianak itu berkahwin dengan Ainun Jariyah, puteri bangsawan Suluk dari Ipil. Salah seorang adik Ainun Jariah itu kahwin pula dengan seorang keturunan tionghua. Sampai  sekarang ada keturunan tionghua  di Tanjung Selor masih mengamalkan kenduri doa selamat meskipun mereka non muslim.

Bahawa kami mempunyai darah keturunan Sulug, satu hakikat yang tidak dapat disangkal lagi. Namun demikian, sungguhpun ada rasa bangga mengaku ada darah Sulug, tetapi masih terlalu banyak kekurangan. Saya sendiri dan mungkin juga ramai di kalangan keluarga kami, yang tidak lagi mampu berbahasa Sulug. Mungkin ada sepatah dua kata yang boleh difahami tetapi jelas ia satu kekurangan kerana tidak mampu berbahasa Sulug lagi.

Pernah satu ketika, hanya beberapa minggu yang lalu, saya menumpang Grab ke Hotel Ibis di Inanam. Pemandunya seorang keturunan Cina. Ketika bercakap-cakap itu, beliau bertanya, apa bangsa saya.Saya memberitahu bahawa saya adalah orang dari kepulauan Melayu, maka itu bangsa saya adalah Melayu. Sukubangsa saya pula adalah campuran Iranun, Bajau, Brunei, Aceh dan Suluk, namun saya tidak lagi mampu bercakap suluk.
Di luar jangkaan saya, pemandu Grab itu memberitahu bahawa beliau mampu menguasai pelbagai bahasa. Antaranya Suluk, dan banyak lagi bahasa lain yang dikuasainya. Saya merasa teruja, juga merasa malu sendiri kerana saya  tidak mampu lagi berbahasa Sulug, apalagi Aceh. Kecuali bahasa Iranun dan Bajau yang mampu saya kuasai dengan baik, saya tidak mampu berbicara dalam bahasa Sulug.  Mengapa begitu, memang ada kewajarannya. Saya bukan apalogetik. Hakikatnya,Saya tidak hidup dalam milieu orang Suluk. Lingkungan saya berbeza. bahkan saya hanya mengenal Suluk atau Sulug itu apabila ibu saya memberitahu bahawa nenek saya memiliki darah Sulug dan moyang saya adalah salah seorang Pahlawan Sabah. Itupun sudah cukup memberikan suatu kebanggaan kepada saya. Ketika menghulurkaan duit tambang kepada pemandu grab itu, beliau mengucapkan `magsukul bagai’.
Ya, magsukul. Saya ada sedikit darah sulug dan bersyukur kerana mendapat kesempatan menulis artikel ini.

*ABD.NADDIN SHAIDDIN adalah seorang wartawan kanan di Utusan Borneo, Sabah. Seorang penulis, pencinta sejarah dan budaya, dilahirkan di Kota Belud Sabah, kira-kira 50 tahun yang lalu. Dalam artikel ini beliau menulis mengenai pertaliannya dengan Suluk atau dalam alam fikirnya, sering disebut Sulug.


3 comments

Menarik posting tuan, kita tersepit antara sejarah Brunei, Sulu dan Tanah Melayu...mungkin sekali sekala kita kena keluar dari naratif sejarah mainstrim mengenai nenek moyang kita,Tempasuk adalah "melting pot" kepada pelbagai suku, moyang kita bukan saja dicorak malah mereka juga mencorakkan percaturan politik masa silam. Sekadar pandangan.

7ktrunan shiekh yang kuburnya ada d pulau mapun

yang saya ingat 7adik bradik ni kuburnya di pulau mapun,di bukit skuati kudat,di pulau mengkabung,di kinarut yang lain di aceh indon last shiekh idrus dapat blik saudi arabia