Jumaat, 11 Oktober 2019

SINGGAH DI PASAR APUNG LEMBANG, FLOATING MARKET TERKENAL DI BANDUNG

Tags

SINGGAH DI PASAR APUNG LEMBANG, FLOATING MARKET TERKENAL DI BANDUNG


SEBELUM melanjutkan perjalanan ke Cirebon, kami singgah dulu di Pasar Apung, antara destinasi popular di Lembang, salah satu tempat yang menjadi kebanggaan Bandung.

Kali ini bersama peserta program Famtrip Wisata Halal Jawa Barat, kami diberi peluang untuk berkunjung ke Pasar Apung, yang juga dikenali sebagai floating market.

“Kira-kira satu jam nanti kita bertemu semula di sini,” kata Pak Daniel Nugraha, yang menjadi tuan rumah kami kali ini. Beliau memberi peluang kepada rombongan untuk mengitari kawasan Floating Market itu.

Saya sengaja duduk menghabiskan kopi terlebih dahulu. Sambil itu berkenalan dengan Pak Sutandi, pemandu pelancong kami. Sempat juga kami bercerita mengenai Ridwan Kamil, wali kota yang banyak merubah dan memajukan Bandung.  Mungkin itu sebabnya, beliau berjaya menang pemilihan Gubernur Jawa Barat.

Melalui Pak Ridwan Kamil, Bandung menjadi antara kota terbaik di Indonesia. Malah melalui kepimpinannya Bandung yang juga dikenali sebagai Paris van Java makin terkenal. Banyak kejayaan yang dicatatnya  dan banyak permasalahan kota Bandung yang berjaya ditangani dengan baik.

Dalam rombongan Famtrip kali ini, selain peserta dari Malaysia, Bang Hisham yang banyak pengalaman, Rezwan yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha akhbar, seorang peminat buku, Bibie dan Madona dari syarikat pelancongan di Sabah, Ansar Ahmed dari Kerala, India dan Roslina dari Singapura.

Ini kali kedua saya ke Pasar Apung.  Beberapa bulan lepas, saya sempat menyertai rombongan dari Tenom ke tempat ini. Tetapi ketika itu, hari sudah petang dan hujan. Kali ini cuaca lebih baik dan hari masih siang.

Pasar Apung Lembang ini memang sedikit berbeza dengan pasar terapung di Banjarmasin, Kalimantan Selatan atau Chao Phraya di Bangkok. Di Lembang, penjual-penjual makanan menjual dari atas perahu yang tertambat di tepian.

Konsepnya sangat menarik. Pengunjung bebas memilih apa saja jenis makanan yang mereka mahu. Hampr semua jenis makanan dan kuih muih Bandung terdapat di Pasar Apung ini. Malah bukan setakat Bandung, aneka jenis makanan yang popular di Jawa Barat dan Indonesia boleh didapati di Pasar Apung ini. Tetapi sebelum anda membeli, pengunjung perlu membeli koin atau syiling yang boleh digunakan sebagai matawang untuk melakukan transaksi. Belilah syiling yang kira-kira sesuai dengan nilai makanan yang ingin dibeli. Syiling yang dibeli itu perlu dihabiskan. Inilah satu cara untuk melakukan kegiatan jual beli di Pasar Apung.

Tiket masuk sekitar Rp15,000 seorang pada hari biasa tetapi meningkat Rp20,000 seorang setiap hujung minggu.

Setiap hari pengunjung ke Pasar Apung itu dianggarkan kira-kira 3,000 orang. Jumlah kunjungan yang ramai ini pastilah menguntungkan peniaga. Seorang penjual kuih, Sumarni, memberitahu beliau boleh memperoleh pendapatan sekitar Rp1 juta hingga Rp3 juta sehari (RM300 hingga RM1,000)

Kawasan Pasar Apung  ini sesuai untuk dikunjungi bersama keluarga, menghabiskan cuti hujung minggu, bersantai dan sebagainya.

Pasar Apung atau Floating Market ini dibuka kira-kira enam tahun yang lalu, dan sejak itu tidak pernah sepi dari pengunjung. Apalagi Kota Lembang memiliki keindahan alam dan udara yang segar dan menyejukkan. Pada mulanya ia hanya kawasan pelancongan yang biasa sebelum pemerintah Kota bandung memperbaiki kawasan Pasar Apung dan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk mushola atau surau yang besar, tempat wisata kulinari,tempat bermain kanak-kanak dan sebagainya.

Sebelum ini, kawasan pasar apung itu sebenarnya hanya kawasan tasik biasa. Tetapi seorang pengusaha, Perry Tristianto, melahirkan idea untuk membina floating market ini. Beliaulah yang mencipta pasar dan berjaya mengubah kawasan Geger Kalong hingga Lembang dengan pelbagai idea cemerlang. Beliau mendirikan Floatong Market, Farm House, Kampung Bakso, Rumah Sosis, Tahu Susu Lembang dan sebagainya. Beliau ingin menarik pelancong luar negeri untuk berkunjung ke Lembang.

Saya sempat mengunjungi hampir semua premis yang terdapat di Floating Market. Ada kedai cenderamata, ada miniatur keretapi, ada gondola, malah ada restoran, penginapan dan sebagainya. Rakan-rakan entah dimana. Mungkin mereka sudah berada di hadapan. Saya menikmati perjalanan seorang diri, mengambil gambar sana sini, menikmati beberapa jenis makanan Jawa Barat dan sebagainya.

Memang mengasyikkan hingga akhirnya saya mendapati semua orang sudah berada dalam bas.Rupanya saya sudah terlambat dan sedang ditunggu-tunggu.