CATATAN HARI PERTAMA DI BELITONG
KAMI baru saja melintasi Satam Square ketika hujan petang membasahi Tanjung Pandan. Sejak tiba di Pulau Belitong, Negeri Laskar Pelangi kira-kira jam 9.40 pagi, 3 Disember, rombongan penulis yang menyertai Kembara Sastera Ikatan Penulis Sabah (IPS) terus dibawa berkunjung ke tempat-tempat menarik seperti Danau Kaolin, kemudian Rumah Budaya Tradisional Melayu, singgah ke Desa Wisata Kreatif Terong, kemudian ke Tanjung Kelayang, terus ke Tanjung Tinggi sebelum check in di Hotel Havana Mutiara.
Kembara panjang yang bermula kira-kira jam 4.00 petang 2 Disember, dimana semua peserta berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sebelum menaiki Royal Brunei kira-kira jam 7.30 malam. Transit sebentar di Bandar Seri Begawan kemudian menaiki pesawat Royal Brunei ke Jakarta kira-kira jam 12.30 tengah malam dan tiba di Terminal 3 Bandara Soekarno Hatta kira-kira jam 1.50 pagi waktu Indonesia Barat (WIB).
Selepas itu menaiki skytrain atau karalayang ke Terminal 1 kira-kira jam 5.00 pagi WIB iaitu sebaik karalayang itu memulakan operasinya pada hari itu. Kami terus check in dengan pesawat Lion Air yang akan berlepas jam 8.50 pagi dari Jakarta dan tiba kira-kira satu jam kemudian di Tanjung Pandan.
Seperti yang dimaklumkan oleh Pak Agus Pahlevi, sahabat IPS di Tanjung Pandan, kunjungan kami ke Belitong pada 3 hingga 5 Disember itu, sudah disusun atur dengan baik. Alhamdulillah, program Kembara Sastera IPS kali ini mendapat bantuan dan dukungan dari Gubernur Bangka Belitong, Bupati Belitong, Komunitas Janggut dan banyak lagi.
Sebaik mendarat, kami sempat bergambar sebelum memasuki ruangan ketibaan sambil menunggu bagasi.Pak Mawel Biliton sudah menunggu ketibaan kami di Bandara Hanandjoeddin. Pak Mawel adalah pemandu wisata yang akan mengiringi perjalanan kami sepanjang berada di Belitong. Pengetahuannya luas kerana beliau juga sebelum ini pernah bekerja dalam bidang media.
Pemerintah Daerah Belitung menyediakan satu unit bas besar dan satu unit Hiace atas ihsan Bupati H Sahani Salleh. Beliau juga membantu menyediakan penginapan di Hotel Havana Mutiara.
Kemudian kami meluncur ke Danau Kaolin, sebuah tempat yang menjadi destinasi wisata yang terletak kira-kira 6 kilometer dari pusat kota. Kawasan itu adalah tempat melombong pasir kaolin yang bermutu tinggi. Airnya membiru menjadikan pemandangan amat cantik.
Rombongan kami sempat membeli cincin meteor, yang kewujudannya sampai sekarang masih belum dapat diijelaskan oleh kalangan saintis.
Dari bekas lombong itu, diperolehi batu satam, yang kemudian dijadikan batu cincin yang cantik. Tetapi penggemar cincinlah yang dapat menjelaskan keistimewaan batu satam ini, khususnya bagi mereka yang pernah ke Belitong, kerana batu satam ini hanya terdapat di Belitong.
Mungkin ada yang menyebut nama pulau ini dengan sebutan Belitong, ada pula yang menyebutnya Belitung. Pada zaman penjajahan pulau ini di sebut Billiton.
Ramai tokoh nasional Indonesia yang lahir di Belitong. Antaranya seorang tokoh terkenal Dr Yusril Ihza Mahendra, mantan Menteri Kehakiman, seorang peguam terkenal. Selain itu, Basuki Tjahya Purnama (BTP) atau lebih dikenal dengan nama Ahok, tokoh yang pernah menjadi Gubernur Jakarta.
Namun yang membuat Belitong dikenali sebagai Bumi Laskar Pelangi, adalah seorang penulis bernama Andrea Hirata, yang menghasilkan buku novel Laskar Pelangi. Karya ini kemudian difilemkan dan dijadikan sinetron, dan dianggap sebuah karya dari Indonesia yang paling banyak diterjemahkan ke banyak bahasa di dunia.
Melalui Laskar Pelangi, pelancong-pelancong dari berbagai negara di dunia berkunjung ke Belitong. Nama Belitong yang memang memiliki kekayaan alam semulajadi dengan pantai-pantai yang cantik , alam semulajadi yang indah dengan cepat menjadi terkenal.
Kecantikan Pantai Kelayang , yang terletak di daerah Sijuk sendiri, memiliki kecantikan yang luar biasa. Tanjung Tinggi yang menjadi lokasi syuting Laskar Pelangi tak kalah menarik.
Hari pertama kami di Belitong juga memberikan pengalaman berkunjung ke Desa Wisata Kreatif Terong dan disana kami sempat mendengar seorang tokoh gambus memetik gambusnya.
Banyak catatan yang ditulis sepanjang perjalanan ini. Tetapi ini hanyalah catatan pendahuluan kerana ketika tiba di Satam Square, hari sudah petang dan kami perlu check in sebelum memenuhi undangan makan malam oleh Pak Bupati, Bapak H Sahani Salleh yang lebih dikenali sebagai Pak Sanem pada malam harinya.
Mari ke Belitong, Let’s go to Belitung, kata Pak Hussein sambil mengarahkan kami meletakkan tangan di di dada, sebelum beliau menekan punat kameranya. Klik! Klik!