Selasa, 7 Januari 2020

SESUATU MENGENAI KATA

Tags

SESUATU MENGENAI KATA

HARI ini, saya ingin mengatakan sesuatu mengenai kata. Kata-kata, perkataan, dan sebagainya, walaupun mungkin bagi sebilangan orang tidak berapa penting tetapi bagi saya, perkataan seseorang itu adalah tanda  keutamaannya dan juru bahasa bagi akalnya.

Secara kebetulan saya sedang  membuat carian peribahasa atau simpulan bahasa, bidalan atau perumpamaan mengenai kata.

Banyak yang saya temukan. Kata Shakespeare, mungkin kebanyakan orang tahu siapa dia, pernah mengatakan bahawa  kata-kata tanpa fikiran tidak pernah sampai ke syurga.

Ertinya, kata-kata yang diucapkan itu, entah oleh siapa saja, hendaklah membawanya ke syurga.

Hirislah sepatah perkataan yang penting, maka ia mengeluarkan darah. Kerana jangan sembarang mengeluarkan kata-kata kerana kata kata yang menghiris pastilah mengeluarkan darah.

Bergurulah kepada kebijaksanaanmu sendiri, sesuaikanlah perbuatanmu dengan perkataanmu dan perkataanmu dengan perbuatanmu.

Demikian nasihat orang yang bijaksana.Fikirlah masak-masak apa-apa yang hendak anda katakan berkaitan orang lain, dan kepada siapa anda hendak mengatakannya, kata Horatius.

Sekiranya anda mengatakan apa yang anda fikirkan, jangan mengharap akan mendengar hanya apa yang anda inginkan

Kata-kata yang tepat di tempat yang tepat, adalah takrifan yang sebenarnya daripada gaya bahasa. Kata-kata tajam dan pahit menunjukkan kedudukan yang lemah,kata Victor Hugo.

Kata-kata bijaksana sering kali tidak didengar, walaupun ia benar, Ini harus kita akui. Lebih baik tidak berkata-kata daripada berkata tanpa tujuan. Perkataan itu sekali diucapkan, tidak akan kembali lagi. Kerana itu berkatalah dengan bijaksana.

Tiap tiap sesuatu mempunyai perhiasan, perhiasan kata-kata adalah kata-kata yang benar.

Orang yang berani berkata  berterus terang adalah orang yang mendidik jiwanya supaya merdeka, kata Hamka. Namun demikian apa apapun yang kita katakan, haruslah sudah difikir masak masak terlebih dahulu.

Tiap tiap perkataan ada tempatnya, dimana layak diucapkan dan tiap-tiap tempat, ada kata yang layak bagi mengucapkannya.

Semoga perbuatanku seperti kataku dan kata kataku seperti perbuatanku. Saya fikir itu menjadi tekad kita untuk mengatakan sesuatu yang sesuai dengan perbuatan kita dan perbuatan kita pula sesuai dengan apa yang kita katakan.

Berikanlah perkataan yang baik, maka anda menjadi orang baik dan menerima kata-kata yang baik. Siapa yang mengatakannya tidak penting lagi, tetapi apa yang dia katakan mungkin boleh kita renungkan dan fikirkan.