IBU HAJAH DAYANG SALMAH, SELAMAT JALAN
KALAU ada khabar yang membuat hati sayu dan terharu ialah apabila menerima berita Hajah Dayang Salmah Salam kembali ke rahmatullah di Sembulan pada 16 Januari lepas. Jenazahnya dimandi, dikapan dan disembahyangkan di Masjid Negeri sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sempelang.
Pemergian Hajah Dayang Salmah adalah kehilangan besar bagi dunia sastera di negeri ini. Dilahirkan pada 24 November 1930 di Kampung Air Jesselton (kini Kota Kota Kinabalu). Beliau adalah wartawan wanita pertama di negeri ini. Sebagai seorang wartawan, beliau banyak menulis mengenai soal-soal pendidikan dan nasib kaum wanita, Malah banyak kisah perjuangan wanita yang kemudian dituangkan dalam karya-karya kreatif yang dihasilkan khususnya dalam genre cerpen dan puisi.
Saya pernah menemuramah beliau. Hajah Dayang memberitahu beliau mendapat pendidikan sehingga darjah lima di Government Primary School (GPS) Sandakan. Beliau pernah bertugas sebagai guru sementara di Sandakan sebelum berkhidmat sebagai guru tadika dari tahun 1964 hingga 1974.
Beliau pernah bertugas sebagai jurugambar dan pemberita tetap Parti Berjaya ketika era pemerintahan parti itu. Beliau mula berkecimpung dalam bidang penulisann pada tahun 1959 hasil bimbingan Allahyarham K Bali. Hajah Dayang berkecimpung dalam genre penulisan puisi, cerpen dan esei. Karya-karyanya pernah tersiar dalam akhbar Utusan Borneo, Daily Ekspress, Sabah Times, Sinar USIA, Suara Sabah, Utusan Kinabalu, Dewan Masyarakat, Dewan Pelajar, Wadah, Jendela Sabah, Majalah Jelita dan lain-lain. Karya-karyanya juga termuat dalam antologi cerpen Bersemi Sebelum Musim (DBP), Hikmah (DBP), Bukan Mimpi Terakhir (DBP) Runtuh (DBP), Sejambak Bunga Emas (DBP) dan antologi Puisi Mimpi Helang (DBP).. Hajah Dayang Salmah Salam juga pernah memenangi beberapa buah anugerah seperti Tokoh Wanita Cemerlang daripada Majlis Hal Ehwal Wanita Sabah pada tahun 1997, Hadiah Sastera dari Ikanan Penulis Sabah dan DBP pada tahun 1997, Hadiah Sastera Sabah 1999, Hadiah Tinta Sastera sempena 25 Tahun DBP Sabah. Beliau juga pernah terpilih sebagai Karyawan Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah pada tahun 1997. Atas khidmat cemerlangnya, Hajah Dayang Salmah Salam menerima Anugerah Bintang Setia Kinabalu (BSK) sempena Hari Jadi Tuan Yang Terutama Yang di Pertua Negeri Sabah pada tahun 2002.
Beliau mula menulis pada tahun 1959. Waktu itu belum ada suratkhabar yang banyak seperti sekarang. Akhbar yang ada ialah North Borneo News & Sabah Times, yang menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya. Hanya ada sedikit ruangan bahasa Melayu setengah muka surat. Pengarangnya K.Bali.
Bagaimana kisahnya ibu menjadi seorang penulis? “ Satu hari saya bertanya K Bali,boleh aku jadi seorang penulis. Boleh Kak Dayang, katanya. Kalau ada kemahuan mesti ada jalan. “Saya katakan saya mahu menulis sajak, mahu menulis berita. Saya minta kepada K.Bali, ajarlah aku menulis puisi. Kata K.Bali, menulis puisi harus datang dari jiwa seseorang, dari perasaan dan pemikiran seseorang. Puisi lahir dari penglihatan, pengalaman. Jadi suasana hatinya marah, maka lahir puisi yang berbentuk marah.
Hajah Dayang Salmah menulis pertama kali untuk Daily Express bertajuk Herman Jadi Pilihan. “Karya itu dihentam. Kena kritik. Dikatakan tidak bermutu. Saya merasa bersyukur kerana dikritik.Lagi saya suka kerana dengan kritikan itu, saya jadi tahu dimana kelemahan dan kesilapan saya..Sejak itu saya terus menulis. Cinta saya hanya kepada sastera dan budaya.
Sejak dulu lagi yang memang suka menulis berita dan mengambil gambar. Kalau dulu saya selalu ambil gambar untuk masuk suratkhabar. Kadang-kadang majlis perkahwinan pun boleh masuk surat khabar, majlis hari jadi pun masuk suratkhabar. Sekarang majlis gotong royong jarang masuk suratkhabar kecuali kalau Menteri yang pegang cangkul.
Salah satu yang menjadi medan perjuangan Hajah Dayang Salmah ialah bidang pendidikan untuk anak-anak usia prasekolah. Waktu itu memang ada taman pendidikan kanak-kanak tapi biayanya mahal. Ibu bapa terpaksa membayar RM50 sebulan. Masa itu tiada tadika khas yang didirikan untuk bumiputera Melayu yang kurang mampu. Akhirnya beliau menulis mengenai masalah itu, menggunakan nama Kak Mah.
“K.Bali siarkan tulisan itu. Saya tulis bagaimana anak-anak dibiarkan telanjang di bawah kolong, tidak bersekolah kerana ibu bapa mereka tidak mampu beli pakaian, beli buku. Mereka kebanyakannya anak-anak nelayan yang berpendapatan kira-kira 6 ringgit atau 7 ringgit sehari . Mana cukup untuk menyekolahkan anak. Kemudian tulisan ini mendapat tanggapan dan ada yang bertanya siapa yang menyuruh saya menulis mengenai perkara itu dan berapa saya dibayar untuk menulis?
“Saya jawap tiada orang yang menyuruh saya menulis. Ia datangnya dari hati nurani saya, dari perasaan saya sendiri,” katanya.
Ketika hayatnya, kami sering ke rumahnya untuk berziarah atau kadang-kadang mengadakan aktiviti sastera. Beliau juga sering menelefon menyatakan rindu kerana lama tidak mengikuti program sastera.Kadang beliau menghubungi sekadar minta dituliskan puisi yang dibacakannya melalui telefon dan banyak lagi kenangan bersama beliau.
Kini beliau pergi buat selama-lamanya. Tidak kembali lagi. Yang tertinggal hanyalah karya-karyanya, komitmen terhadap dunia kewartawann dan sastera,kebaikannya dan keprihatinannya. Ibu Dayang, selamat jalan, kami pasti menyusul,