Syawal tiba di rumah kami dengan bersahaja.Kami terbangun sambil mendapati bahawa ada sesuatu yang hilang dan tak akan kembali lagi. Jangan berkeluh kesah, kata Jalaluddin Rumi, Apapun yang hilang darimu, kembali juga padamu dalam bentuk yang lain. Ya, memang ia akan kembali tahun depan, insya Allah jika kami masih ada, tetapi mungkin dalam suasana yang lain.
Kali ini, Aidil Fitri tiba dengan rahmat yang berbeza. Kami tidak menyambutnya di surau atau masjid, sebaliknya kami berada di rumah saja, tidak ke mana-mana kerana kami terhalang oleh PKP. Itulah sebabnya ada orang yang mengucapkan selamat hari raya PKP.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula 18 Mac ternyata terpaksa disambung dari satu fasa ke satu fasa yang lain, kini sudah masuk peringkat ke empat dan dijangka berakhir 9 Jun nanti. Jadi, tidaklah banyak yang dapat kami lakukan, melainkan mengadakan persiapan seadanya untuk merayakan hari raya aidil fitri di rumah saja.
Sehari sebelum Ramadan pergi, saya menemani isteri tercinta untuk membeli bahan-bahan apa yang perlu untuk juadah. Selain ayam, daging, dan segala ramuannya, beliau juga membeli bekas untuk tapau.Kami terfikir alangkah baiknya jika dapat kami agih-agihkan juadah hari raya kepada jiran-jiran sebelah rumah, supaya mereka dapat juga merasa suasana hari raya.
Pagi-pagi sekali, sudah terdengar salam dari halaman. Alif dan Titing , anak dari jiran tetangga datang menghantar makanan. Wah, mereka lebih duluan. Selepas itu, barulah anak-anak menghantar makanan lauk pauk mana yang ada ke rumah jiran-jiran termasuk jiran tionghua.
Ingatan saya terlontar jauh ke belakang, ketika masih kecil di kampung Tamau , kampung kelahiran saya. Selepas solat Subuh, hari perama di bulan Syawal itu, kami sudah menunggu di `pantaran' rumah.Pantaran atau beranda dalam bahasa sekarang. Biasanya mak cik atau kami panggil babu Inai Daiman awal datang menghantar juadah hari raya. Segala jenis makanan, kuih muih, lauk pauk dan sebagainya dihantar menggunakan `talam' yang ditutup dengan `dulang' dalam tradisi yang kami panggil `nduluga'. Selepas itu, giliran kami pula menghantar makanan ke rumah jiran. Ke rumah babu inai Budui, ke rumah babu inai Musram, ke rumah babu inai itu, ke rumah bau inai Ambah. Tradisi tukar menukar makanan ini kemudiannya terhenti mungkin kerana perubahan zaman. Kini biasanya orang mengadakan rumah terbuka. Kalau dahulu, sebaik pulang dari masjid kami akan bertandang dari rumah ke rumah untuk berhari raya. Tapi perkara pertama yang kami laukan selalunya berziarah ke kuburan dahulu. Sehari atau dua hari sebelumnya, rumput rumput lalang sudah kami bersihkan terlebih dahulu.
Kami solat aidil fitri di masjid kampung Tamau.Imam biasanya Tuan Haji Abdul Rahman manakala khatib biasanya Tuan Haji Mansur. Selepas solat aidil fitri itu, kami berhamburan pulang kerana tidak sabar sabar lagi menikmati juadah pagi raya.
Namun sekarang, pola kehidupan sudah berubah. Apatah lagi ketika PKP dilaksanakan bagi mencegah penularan wabah COVID-19 yang mengancam dan membahayakan kehidupan orang-orang di seluruh dunia.
Walau bagaimanapun, banyak juga yang perlu disyukuri. Kesempatan yang hadir ini mungkin sukar diulangi pada tahun akan datang. Untuk pertama kalinya, sejak mendirikan rumahtangga kira-kira 21 tahun lalu, kami dapat bersolat bersama, sejak Subuh hingga Isyak, dapat bertarawih hampir penuh dalam sebulan, dapat membaa Quran bersama, dapat membaca buku bersama, dapat menonton filem terbaik di you tube bersama, dapat menikmati makan bersama, menyiram bunga dan sebagainya.
Meski tidak dapat pulang, kami dapat berhubung dengan keluarga di Kota Belud dan Tawau melalui aplikasi telefon,WhatsApp, bertatap muka melalui panggilan video, hingga tidaklah terasa sunyi berjauhan.
Melalui facebook, kami dapat mengucapkan ucapan selamat hari raya kepada semua keluarga, sahabat handai, rakan taulan, kenalan dan sebagainya di seluruh dunia. Oleh sebab tidak ada gambar, saya menghantar ucapan menggunakan gambar hari raya kami beberapa tahun sebelumnya, ketika anak-anak masih kecil dan masih sekolah rendah. Saya rasa kurang afdal kerana menghantar gambar lama. Akhirnya kami mengambil gambar baru,Soalnya bagaimana. Siapa yang akan membantu merakamkannya?. Mujurlah kamera canon, masih boleh berfungsi dan masih boleh diset kepada self- timer.
Nah, inilah wajah -wajah kami di aidil fitri.
Cinta tak berdiri di atas apa pun,samudera tanpa batas, tiada awal tiada akhir, sekali lagi memetik Jalaluddin Rumi.