Jumaat, 1 Mei 2020

YANG KEKAL HANYALAH PERUBAHAN

Tags

YANG  KEKAL HANYALAH PERUBAHAN

YA, ada kalanya menerima jemputan kahwin seperti itu mampu membuat kita gusar. Inilah yang dialami oleh seorang rakan kami,, selepas dia menerima jemputan kahwin dari kenalannya yang jauh.

"Tidak lagi seperti dulu.Setiap kali kita membuka kad jemputan kahwin, ada rasa gembira yang datang bersamanya," katanya kepada saya pada suatu pagi yang jernih. Kini keterujaan seperti itu semakin hilang.

Jemputan kahwin boleh disampaikan dengan mudah dan cepat dengan hanya membuat `tagged' di facebook.Teknologikah yang lebih cepat atau waktu yang lebih pantas berguling lalu menggilas nilai-nilai kekeluargaan di kalangan kita?.

Kalau dahulu jemputan kahwin disampaikan menggunakan kad jemputan dengan pelbagai reka bentuk dan biasanya menggunakan kertas berbau wangi.Masyarakat kita sebelum itu menjadikan satu kemestian untuk datang bertandang ke rumah keluarga, jiran dan kenalan untuk menyampaikan undangan perkahwinan. Ketika itulah mereka saling ramah tamah,bertanya khabar, kenal mengenali satu sama lain dan menyambungkan silaturrahim kerana lama tidak bertemu.

Dahulu, semua kaum kerabat keluarga bergotong-royong memasak lauk pauk untuk dihidangkan kepada tetamu. Keluarga sanggup datang dari kampung atau daerah yang jauh semata-mata untuk membantu menjayakan majlis.

Sambil memasak, mereka bergurau senda dan kemesraan terjalin begitu indah kerana nilai-nilai kebersamaan dan nilai-nilai keluarga yang menjadi sebahagian daripada budaya kita.

"Tetapi kini, orang lebih suka menempah makanan melalui perkhidmatan `catering' kerana lebih mudah dan tidak menyusahkan keluarga," kata rakan kami itu.

Kadang-kadang mereka mengadakan majlis di dewan besar dan di hotel-hotel.Jemputan datang, makan dan kemudian pulang.Begitu saja. Hampir tak ada ikatan perasaan antara orang yang dijemput dengan orang yang menjemput.Namun perkara-perkara seperti itu memang tidak dapat dielakkan.

Apatahlagi kerana sebilangan masyarakat kita sekarang tinggal dalam satu komuniti yang saling tidak kenal mengenali. Mereka kebanyakannya tinggal dalam taman perumahan, flat, apartmen dan sebagainya yang kurang memungkinkan untuk menyelenggara pesta perkahwinan secara tradisi.Ya, saya tidak salahkan perubahan.

Cuma apabila menerima jemputan kahwin yang di`tagged'kan dalam facebook, walaupun saya menghargainya, membuat saya menyedari betapa banyak nilai-nilai kekeluargaan, juga persaudaraan, yang hilang akibat kecepatan teknologi.Tak mungkin kita dapat menghalang perubahan. Ia bukan satu penyataan putus asa sebaliknya itulah realiti yang terpaksa kita hadapi.

Menurut seorang senior, kalau dahulu kita sanggup berjalan kaki dua tiga kilometer jauhnya tetapi sekarang untuk menuju masjid di seberang jalanpun, kita menaiki kereta.Sekarang hampir tidak ada orang di bandar ini yang boleh hidup tanpa komputer, tanpa telefon genggam, dan sebagainya iaitu sesuatu yang dua puluh tahun dahulu belum begitu perlu.

Sekarang menggunakan handphone adalah  satu keperluan, tidak seperti dahulu ketika mula-mula telefon bimbit sebesar peti kecil mula diperkenalkan.Seiring dengan itu juga, perhubungan menjadi semakin pantas dan serba cepat. Ucapan selamat hari raya, ucapan tahun baru dan krismas pun dikirimkan cukup dengan hanya menggunakan sistem mesej singkat (SMS).

Ucapan pesanan ringkas yang hampir kehilangan erti dan kurang berkesan berbanding dengan kiriman kad dan sebagainya.Barangkali begitulah perubahan bergerak di celah-celah waktu. Walaupun sistem pesanan elektronik, emel, facebook, skype, twitter semakin digemari malah semakin perlu tetapi peranan pejabat pos masih relevan.

Meskipun semakin hari, masyarakat kita semakin menuju `paperless' tetapi kertas masih juga perlu, buku-buku masih juga merupakan satu kemestian.

Kalau dulu, panah digunakan untuk berperang, sekarang ia telah berganti fungsi menjadi hanya bahan pameran di muzium. . Kebudayaan berubah fungsi.Apa yang satu ketika dahulu menjadi senjata, kini berubah menjadi bahan pameran semata-mata

.Tetapi apakah nilai-nilai kebenaran, keadilan, kejujuran juga berubah? Saya cuba bercakap baik dan benar sebab baik belum tentu benar, saya teringat kata-kata seorang rakan saya. Kadang-kadang apa yang benar bagi kita, salah pula bagi orang lain. Apa yang adil bagi kita, tidak adil bagi orang lain.

Kegusaran terhadap pergeseran nilai yang akibat kemajuan teknologi yang telah merubah sistem kekeluargaan nampaknya beralasan. Saya tahu betapa terharunya dia kerana masih diingati kenalan yang jauh dengan menjemputnya datang melalui jemputan yang di`tagged'kan dalam facebook.

Saya fikir beliau berasa gusar dan khuatir nilai-nilai kekeluargaan, nilai-nilai persaudaraan, nilai-nilai kebersamaan akan menghilang bersama arus pemodenan. Barangkali yang paling membimbangkan dia dan kita juga ialah betapa semakin lunturnya sikap prihatin dan kepedulian di kalangan kita sebagai kesan daripada globalisasi.
Ya, itu zaman sekarang. Waktu dahulu kita sudah tahu.Masa depan belum pasti bagaimana agaknya orang-orang berhubung antara satu sama lain, sepuluh atau dua puluh tahun lagi.

Tapi yang kekal hanyalah perubahan.