Rabu, 14 Oktober 2020

DATUK JAAFAR ZAKARIA, AKTIVIS MASYARAKAT YANG SUKA MENDERMA

Tags

 DATUK JAAFAR ZAKARIA, AKTIVIS MASYARAKAT YANG SUKA MENDERMA



BUNGA yang tidak pernah layu di dunia ini hanyalah kebajikan yang baik. Sesiapa yang berbuat baik demi kebaikan dan tidak mengharapkan pujian dan balasan, akhirnya akan menerima kedua-duanya, kata pujangga. Mungkin itulah yang banyak mempengaruhi sikap Datuk Jaafar Zakaria, seorang pemimpin masyarakat, seorang aktivis hak asasi manusia,seorang kontraktor, juga seorang dermawan. Banyak kisah pengalaman hidup yang dimiliki personaliti sederhana yang menguasai banyak bahasa ini. Antaranya memperjuangkan hak anak-anak untuk mendapatkan pendidikan, memperjuangkan tanah adat dan sebagainya.

Datuk Jaafar Zakaria dilahirkan di kampung Lok Sambuang, Tungku Lahad Datu  pada 2 Februari 1965. Beliau adalah anak kelima dari 13 orang bersaudara. Mendapat pendidikan awal di SRK Tanjung Labian dari tahun 1973 hingga 1979 (darjah satu hingga enam). Kemudian beliau meneruskan pendidikan menengah dan pengajian tinggi di Mindanao State University Sulu sehingga peringkat sarjana dalam sains politik. Beliau kembali ke tanahair dan kemudian bergiat dalam bidang perniagaan. Beliau adalah penasihat NGO Sinar, Sabah berintegriti yang menumpuan perhatian terhadap pembangunan pendidikan untuk anak-anak tercicir.



Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau dalam salah satu kunjungannya ke pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Tingkat 8, Centre Point baru-baru ini. Ikuti petikan temubual singkat mengenai secebis pengalaman hidupnya.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang Datuk?

DATUK JAAFAR ZAKARIA: Saya dilahirkan di Lok Sambuang, dalam daerah kecil Tungku, pada 2 Februari 1965.Saya anak kelima dari 13 orang bersaudara.  Lok Sambuang adalah sebuah kampung pesisiran pantai. Pada masa itu memang agak terpencil. Sebenarnya keluarga kami berasal dari Tambisan.

UB: Dimana datuk mendapat pendidikan awal?

DJZ: Saya mendapat pendidikan awal di SRK Tanjung Labian dari tahun 1973 hingga 1979. Kemudian kerana berada agak tersorok di luar bandar, saya tidak dapat meneruskan pelajaran kerana sekolah agak jauh dari tempat kami.

UB: Boleh ceritakan keadaan masa itu?

DJZ: Masa itu berbeza dengan sekarang. Dulu tidak ada jalan raya. Orang sangat sukar untuk berkunjung ke Tungku atau Lahad Datu. Ada orang yang bepergian ke Lahad Datu, hanya tiga kali dalam setahun. Itupun jika  musim menjual kopra. Ada yang 12 tahun tidak pernah menjejakkan kaki ke bandar. Mereka hanya ke bandar untuk membuat kad pengenalan. Bayangkan betapa susahnya. Penghidupan masa itu bukan senang.

UB: Jadi apa yang Datuk buat selepas sekolah?

DJZ: Saya bekerja di kampung saja membantu keluarga. Sehinggalah suatu hari, ada seorang kerabat saya yang memberi galakan agar saya berusaha untuk menimba ilmu pengetahuan walau dimana saja. Yang penting mesti berusaha untuk menambahkan ilmu untuk dijadikan bekal di kemudian hari. Akhirnya saya berangkat ke Sulu, untuk belajar di peringkat menengah, seterusnya ke Mindanao State University (MSU) Sulu dan berjaya menghabiskan pendidikan dalam peringkat sarjana dalam bidang sains politik.

UB: Kemudian datuk kerja sebagai apa?

DJZ: Saya balik kampung dan kemudian menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.

UB: Mungkin boleh ceritakan pengalaman sewaktu di kampung?

DJZ: Saya kembali ke kampung di Lok Buani, menjadi pemimpin masyarakat dan bergiat dalam perniagaan.

UB: Boleh cerita sedikit mengenai Lok Buani?

DJZ: Lok ertinya teluk. Buani ertinya penyengat. Di tempat itu dulu memamg terkenal. Untuk berkunjung ke sana, agak susah kerana banyak penyengat. Tadi saya ada sebut, mengenai Sambuang. Sambuang adalah tempat untuk mengikat perahu.

Sekadar sebagai latar, keluarga kami memang berasal dari Tambisan. Menurut cerita orang tua saya, ketika itu hanya ada tiga buah rumah di Tambisan. Masa itu belum ada penduduk lain.Rumah rumah itu milik tiga bersaudara.  Sebenarnya mereka berasal dari Papar, masih ada keluarga dekat di sana tetapi sampai ke Tambisan untuk mencari kelapa dijadikan kopra dan selebihnya mencari ikan. Masa itu, Tambisan sekadar tempat persinggahan. Ketika sebahagian Sabah masih dibawa kuasa Sultan Sulu, Dayang dayang Piandao sering singgah di Tambisan kalau pergi berkunjung ke Sandakan. Pada masa itu, jika orang tidak dapat meneruskan pelayaran ke Sandakan, mereka singgah di Pulau Keramat, tempat berteduh. Mengikut cerita mitos, jika mereka melalui pulau keramat, selalu terdengar laungan azan.

UB: Apa makna Tambisan? Mungkin ada yang ingin tahu?

DJZ: Nama Tambisan mungkin berasal dari Tambis. Tambis adalah sejenis buah yang rasanya manis. Pokok itu banyak terdapat di pulau Tambisan.

UB: Siapa nama ayah tuan?

DJZ: Bapa saya, Zakaria bin Haji Hussin @ Bungsu dengan Datuk Haji Mahiruddin, pupu dua kali.

UB: Mungkin ada pengalaman menarik yang boleh dikongsikan bersama pembaca?

DJZ: Sebenarnya banyak pengalaman menarik sewaktu di kampung. Satu ketika ada penduduk kampung yang ditangkap kerana perbuatan menangkap ikan menggunakan bom ikan. Seluruh kampung riuh. Sebagai seorang yang ada pelajaran sedikit, penduduk kampung mengadu kepada saya. Perbuatan mengebom ikan adalah satu perbuatan yang jelas salah. Ia boleh merosakkan ekosistem dan memunahkan hidupan dan sumber marin. Kerana itu, ia memang satu perbuatan yang diharamkan dan pelakunya boleh dikenakan tindakan undang-undang dan dikenakan hukuman berat. Masalahnya penduduk kampung masa itu tidak menyedari bahawa mereka melakukan sesuatu yang salah dan membahayakan mereka. Akhirnya saya datang, dan setelah berbincang dengan pihak polis dan akhirnya penduduk kampung yang ditangkap itu akhirnya dilepaskan.

Selain itu, ada peristiwa besar melibatkan SK Lok Buani. Sekolah itu hampir ditutup kerana kekurangan  guru dan pelajar. Ibu bapa takut menghantar anak-anak mereka ke sekolah berikutan insiden serangan mundu. Masa itu saya Pengerusi PIBG. Kami  berusaha untuk mempertahankan sekolah itu agar jangan ditutup. Akhirnya saya menulis surat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu itu, Datuk Mohd Yusuf Amat Jamlee tetapi beliau berkata belum ada peruntukan membina sekolah.Saya dermakan tanah untuk tapak sekolah.  Saya katakan YB hanya perlu keluarkan sedikit belanja, mengenai tiang dan papan, jangan risau, kami boleh   tebang pokok dari kawasan kebun, Di kebun kami masih banyak kayu.. Akhirnya sekolah itu dapat dipertahankan. Selepas kami jumpa Pengarah Pelajaran Sabah ketika itu, Datuk Dr Hasbollah Haji Mohd Taha, yang akkhirnya membolehkan kami mempertahankan sekolah itu.

UB: Siapa guru guru SK Lok Buani pada masa itu? Berapa jumlah murid sekolah?

DJZ: Antara guru yang mengajar masa itu termasuklah Cikgu Mokry Abdul Hamid, guru besar, Cikgu Abd Rusdi Saruna,, Cikgu Adnan Haji Ali, Iranun dari Tungku, Cikgu Abu Bakar bin Pala. Jumlah pelajar adalah sekitar 84 orang.

Masa itu, SK Lok  Buani sukar dihubungi kerana tidak ada jalan raya.Kalau orang mahu ke Lok Buani, agak sukar. Dari Lok Buani ke Tanjung Labian mengambil masa tiga jam. Lumpur bukan alang-alang. Tetapi walau bagaimanapun, ramai juga pelajar dari SK Lok Buani yang berjaya. Ada yang menjadi guru, ada yang menjadi tentera, kakitangan kerajaan, polis dan sebagainya.



UB: Sekarang bagaimana?

DJZ: Sekarang sudah ada jalanraya dan kita boleh berkunjung ke Lok Buani dengan mudah. Jalan raya  dibina ketika  zaman arwah Datuk Mohd Suhaili Said.

UB: Tuan juga terkenal sebagai seorang aktivis hak asasi manusia? Bagaimana tuan boleh terlibat dalam soal hak asasi?

DJZ: Saya terlibat dalam soal hak asasi manusia ini sejak lama. Sejak tahun 1999 lagi. Antara yang kami pernah perjuangkan ialah hak penduduk kampung yang terjejas apabila tanah seluas 17,562 ekar d Lok Buani yang sepatutnya menjadi milik mereka ditanami sawit oleh pihak lain. Ini kami perjuangkan dan akhirnya penduduk menang. Selain itu, kami juga perjuangkan hak anak-anak untuk mendapatkan pendidikan melalui NGO Sinar dan sebagainya.

UB: Khabarnya tuan juga seorang yang banyak menderma?

DJZ: Kebaikan bukan sesuatu yang diceritakan. Dulu memang saya pernah menyumbang sejadah dan alat keperluan untuk keperluan penghuni penjara di Tawau. Saya memang sembunyikan identiti saya sebagai penderma tetapi akhirnya mereka tahu juga. Selain itu, memang ramai juga yang memerlukan bantuan, saya bantu mereka mana yang boleh. Saya fikir itu tidak perlu diceritakan. Saya ingin dikenali sebagai hanya sebagai aktivis masyarakat, pejuang hak asasi dan berjuang untuk memberi kesedaran pentingnya pendidilkan melalui NGO.

Apabila kamu tidak dapat memberikan kepada orang lain dengan kekayaanmu, berikanlah mereka kebaikan dengan wajahmu yang berseri-seri, disertai akhlak yang baik, saya petik Sabda Nabi Muhammad sebagai pedoman kita bersama.