Jumaat, 15 Januari 2021

dari tidak tahu kepada tahu kembali kepada tidak tahu, dari tiada kepada ada kepada tiada-catatan awal 2021

Tags

Hujan sedang turun lebat ketika saya memutuskan untuk menulis lagi lebih banyak di blog kerana makin banyak hal yang berlalu begitu saja tanpa dicatat, dirakam dan didokumentasi dalam bentuk tulisan. Mungkin satu masa nanti, catatan-catatan ini akan berguna untuk menjadi bahan rujukan, kalau tidakpun untuk pembaca yang lebih luas, sekadar untuk rujukan diri sendiri pun, bagi saya memadai.

Permulaan tahun 2021 ditandai banyak hal. Kerajaan Persekutuan baru saja memutuskan untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)) di Sabah selama dua minggu bermula 13 hingga 26 Januari.

Selain Sabah, lima negeri lain dikenakan PKP ialah Pulau Pinang, Selangor,Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka dan Johor.

Negeri yang dikenakan PKP Bersyarat (PKP-B) pula ialah Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan manakala Perlis dan Sarawak dikenakan PKP-Pemulihan (PKP-P).

Hari ini ada dua peristiwa yang membuat sedih. Awal pagi menerima berita bahawa gempa bumi berukuran 6.2 skala richter melanda Sulawesi Barat yang turut menghancurkan Kantor Gubernur Sulawesi Barat, Hotel Maleo dan Rumah sakit. Sementara itu, kabupaten Banjar, BanjarBaru, Hulu Sungai Tengah di Kalimantan Selatan juga dilanda Banjir. Beberapa hari lalu berlaku banjir besar di Pitas, di Beaufort Sabah, juga di beberapa negeri di Semenanjung dan timur Sumatera termasuk yang agak teruk di Tanjung Pinang dan Bintan.

Kelmarin,umat Islam di Nusantara dirundung duka apabila Syeikh Ali Jaber meninggal dunia.Syeikh Ali Saleh Mohammed Ali Jaber, adalah seorang ulama warga Indonesia  kelahiran Madinah tetapi moyangnya berasal dari Lombok. Beliau sangat terkenal sebagai juri hafiz dan sikapnya yang sentiasa pemaaf. Hari ini berpulang Al Habib Sayidul Walid Ali bin Abdul Rahman bin Ahmad Assegap, pimpinan Majlis Taklim Al Afaf yang juga guru Habib RidzieqShihab. Seorang lagi yang pergi ialah  ulama Madura, KH Abdul Hamid bin KH Ahmad Mahfud Zayyadi, pengasuh pondok pesantren Mambaul Ulum, Bata-Bata Pamekasan.

Sejak terkurung di rumah, sebenarnya ada juga ke Klinik di bandar Sierra-menemani isteri yang ada temujanji di Klinik Gigi, dan Stesen Minyak Petronas, untuk mengeluarkan duit di ATM, pam tayar dan isi minyak, atau ke Putrajaya membeli juadah untuk sarapan, tidak banyak hal dapat dilakukan. Semenjak dua menjak ini, kami disibukkan dengan menghadiri pelbagai program melalui webinar.

Kadang-kadang saya hadir program di Kuala Lumpur, di Kedah, Kota Kinabalu atau ke luar negara seperti  Tanjung Pinang Kepulauan Rau, kadang-kadang ke Pekanbaru, Riau, pernah juga ke Gorontalo,Sulawesi Utara, ke Yogyakarta, Jawa Tengah, malah ke Baubau, Sulawesi Tenggara, ke Makassar Sulawesi Selatan,ke Padang Sumatera Barat ,,beberapa kali ke Jakarta, semuanya secara virtual.

Pengalaman menyertai webinar, zoom meeting, siaran langsung di faceboook dan youtube ini sangat bermanfaat sekali buat saya. Banyak ilmu dan informasi yang diperolehi. Setiap Jumaat saya juga hadir dalam program Ngariksa, Ngaji Kitab Kuno Nusantara yang dibimbing oleh Prof Oman Fathurrahman, seorang filologis dan ilmuan, yang lebih dikenali sebagai Kang Oman.

Puncak ilmu adalah kebingungan, katanya mengutip Syeikh Abdul Rauf Al Sinkili dalam kitabnya  Tanbih Al Masih yang dikarang sekembalinya ke Aceh kira-kira tahun 1660 selepas 19 tahun berada di Haramain. Dalam sudut pandang tasauf, Kitab Tanbih Al Masih, beliau menyimpulkan bahawa puncak kepada ilmu adalah kebingungan. Kenapa begitu, sebab orang yang mencari ilmu akan merasa makin banyak yang ia tidak tahu.  Smakin manusia itu tahu, semakin ia galau atau attahayur.Semakin banyak mencari pengetahuan untuk memenuhi ketidahtahuan.

Kita, dari tiada kepada ada kemudian kepada tiada. Kita dari tidak tahu kepada tahu kemudian kembali kepada tidak tahu.