Ahad, 14 Februari 2021

Menikmati Makanan Tradisi Iranun di Sakabakauan

Tags

"Kalau kebetulan limpas di  Kampung Warisan, hari ini menu tilapia pialapaan, lauk makan tengahari di gerai kami Sakabakauan."

Di mana lokasinya? Di kawasan bakau, di belakang rumah kami, kata Saudara Ahmad Jaidi.

Jam berapa buka?

"Buka jam 9.00 pagi hingga jam 5.00 petang." 

Selain tilapia, apa lagi menu yang ada?

"Ikan liking. Tapi liking baru mahu beli.Sudah habis. Harap-harap ada ini hari. Lepas PKP, baru mahu buat semua jenis makanan Iranun," katanya yang lebih dikenali dengan nama Maarof di kampungnya.

"Kalau bukan hari ini, mungkin hari lain boleh datang", saya memberitahunya.

"Ok pagari. Esok lauk tengahari, kami sediakan tubpuk dan siager".

Lama tidak mencicipi tubpuk dan siager,  saya mengajak sahabat baik, sahabat sekampung, Aningan atau nama sebenarnya Zakaria untuk mencari gerai Sakabakauan itu. 

Lorong 24, Lot No 4.

Selepas tersasar, kami akhirnya menemui lokasi yang dimaksudkan.

Ikut jalan depan rumah saya, katanya. Gerai Sakabakauan itu terletak di kawasan di belakang rumah.

Sesampainya di sana, sudah banyak meja yang terisi. Tapi kerana penjarakan sosial, di mana hanya dua orang dibenarkan duduk di satu meja dengan jarak satu meter, kami duduk di satu meja yang masih kosong.


Serta merta saya merasai suasanna seperti di kampung. Kebetulan hampir semua pelanggan di gerai itu, kami kenal. Kalau tidak satu kampung, satu sekolah.

Gerai itu memang didirikan di tepi sungai, dikelilingi pohonan bakau. Suasananya sangat menarik. Apatah lagi angin sepoi bertiup, segar rasanya.

Selepas bertanya khabar dan bertukar sapa, sambil mengingat serpihan kenangan sewaktu kecil di kampung, kami bertiga akhirnya larut dalam diskusi mengenai apa yang sepatutnya dilakukan untuk memajukan lagi tempat itu sebagai tempat kunjungan pelancong.


Banyak idea yang diberikan oleh Zakaria, saya lebih suka menyapanya Dr, kerana kebetulan beliau sedang menyiapkan Phd dalam bidang taksonomi semut di UMS. Hasil pengalaman kunjungannya ke Vietnam, bagaimana masyarakat di sana memulihara alam semula jadi dan menjadikan tumpuan pelancong. Saya pula teringat beberapa kunjungan ke Indonesia, betapa kreatif mereka mengolah alam sebagai destinasi wisata.'

Tak lama kemudian, pelayan datang membawa dua piring nasi, dua piring siager, dua mangkuk tubpuk, kacang bendi dan sambal dan kopi susu.


Oh ya, mungkin ada yang bertanya apa yang dikatakan siager? Siager dibuat daripada ikan yu, yang direbus terlebih dahulu kemudian ditumbuk hingga lumat, dicampur dengan bahan-bahan seperti kelapa, kunyit, lada biar pedas, sakurab (daun bawang) dan pelbagai rempah lain.Siager hampir sama, walaupun sebenarnya cara membuatnya berbeza, dengan siagul, sinagul dan sebagainya.

Tubpuk pula ialah sejenis siput yang hanya hidup di kawasan paya bakau. Memang sedap rasanya jika dimasak dengan kuah santan.



Gerai Sakabakauan itu memiliki potensi untuk dimajukan. Lokasinya yang terletak di pinggir bandar, tidak berapa jauh dari bandaraya Kota Kinabalu, boleh menjadi pilihan bagi mereka yang rindukan makanan tradisi Iranun khususnya mereka yang berada di sekitar ibu negeri, dan kekurangan masa untuk masak. Bahkan lokasi itu boleh dijadikan sebagai tarikan pelancong dengan mengadakan satu dua acara kesenian, atau lakonan dari mitos dan dongengan Iranun, yang pasti menarik pengunjung.

Selain itu, boleh juga ditunjukkan cara menangkap ketam, cara menjala ikan kepada pengunjung dan sebagainya.. Mungkin juga boleh diadakan permainan-permainan, acara berkayak dan lain-lain.

Apa yang menjadi kerisauan Ahmad Jaidi ialah isu kebersihan. Bagaimana mendidik masyarakat untuk tidak membuang sampah mereka di sungai. Bagaimana mengurangkan pencemaran alam sekitar dan sebagainya.




Tempat itu memang agak cantik kalau sentiasa dijaga kebersihannya. Cuma perlu difikirkan cara-cara yang lebih kreatif untuk mengajak masyarakat agar menjadikan kebersihan satu keutamaan dan tidak membuang sampah mereka sewenang-wenangnya.

Ahmad Jaidi sudah lama menceburi bidang perniagaan makanan. Sama ada sebagai peniaga makanan  di bazaar ramadan, pemborong makanan, kantin dan kini gerai makanan.

Idea untuk membuka gerai itu timbul ketika melayan kebosanan di rumah kerana PKP. Kebetulan di  belakang rumah, ada kawasan kosong yang kemudian dibersihkan dan dijadikan gerai.

"Saya belum berani mewarwarkan dengan lebih meluas. Saya khuatir tak dapat memenuhi permintaan," katanya sambil menambah, setakat ini, beliau memilih hari Sabtu dan hari Minggu untuk menjual makanan tradisi Iranun," katanya.

Kalau ramai yang tahu, pasti ramai yang datang. Sekarangpun, sebaik kerajaan membenarkan orang ramai makan di restoran, dengan syarat dua orang satu meja dengan penjarakan satu meter, sudah ramai yang berkunjung ke Sakabakauan. 

Bayangkan betapa nikmatnya makan , (Terima kasih juga kepada pagari yang membayarkan makanan kami) dengan pelbagai lauk resipi tradisional, di kelilingi pohonan bakau,sungai yang mengalir  perlahan, dan angin yang bertiup nyaman, saya segera teringat  ayat 13,surah Ar Rahman.

" Maka Nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan? yang diulang sebanyak 31 kali dalam surah yang mengandungi 78 ayat itu.

Nikmat Tuhan, jangan kita dustakan.