Isnin, 2 Mei 2022

Solat Aidil Fitri di Masjid Babul Khair

Tags

Masih banyak tempat kosong dalam masjid. Jemaah yang masih berdiri di luar, dipersilakan masuk. Penuhkan masjid terlebih dahulu. Jika masjid sudah penuh, boleh masuk ke tempat yang disediakan di halaman masjid. Tidak perlu solat di atas jalan raya. Jemaah wanita boleh solat di Balai Raya jika ruang wanita sudah penuh. Begitulah kira-kira pengumuman khatib Masjid Babul Khair Kampung Titingan.




Sudah lama tidak bersolat di masjid ini. Mungkin sudah 12 tahun iaitu sejak mama pindah ke flat Sri Titingan.Mama pindah ke flat tidak lama selepas sam melangsungkan perkahwinan dengan isterinya, Nely. Kini mereka dikurnia tiga cahaya mata, Haziq, ashraf dan Firas.Haziq anaknya yang sulung sudah Tahun 6.



Selepas lama ditnggalkan, rumah ini sempat disewakan kepada sepupu, Taai atau Mutahar, saya memanggilnya Aa, memilih untuk merenovasi rumah lama yang terletak di Blok 7 Kampung Titingan Hujung.



Kalau dahulu, di depan rumah , ada jambatan panjang selebar lima kaki, tempat orang lalu lalang. Kini kereta sudah boleh parkir depan rumah. Jambatan sudah dirobohkan dan diganti jalan kecil hingga ke hujung.

Blok 8 kini sudah tidak ada lagi. Selepas ranap dimakan api, tempat itu kini jadi lokasi tebatan banjir. Sungai dikorek dan diperbesar. Sungai yang dulunya sempit, dan di sana sini dipenuhi rumah, kini sudah berubah.




Hanya Blok 6, jalan  ke rumah pakcik Majid, masih ada jambatan kecil yang jadi laluan Selebihnya Ice Box banyak berubah.



Ketika pengurus masjid meminta pengutip duit selawat kembali ke markas, semakin ramai jemaah  datang. Solat Hari Raya Aidil Fitri ditetapkan serentak jam 7.45 di seluruh Sabah.

Matahari memancar hangat. Sesekali ada angin semilir. "Abah, bila kita boleh pulang?" tanya Farhan. Selepas khutbah, baru boleh pulang, saya memberitahunya. Sekarang Farhan sudah tingkatan 3. Sewaku kecilnya saya selalu mengajak Fawzan dan Farhan solat di sini. Kali ini Fawzan tak dapat ikut kerana tidak tidur semalaman kerana membantu neneknya masak ketupat dan burasak.



Selepas rakaat pertama dengan tujuh kali takbir dan rakaat kedua dengan lima kali takbir, ada jemaah yang bergegas pulang. Ada pula yang merokok. Ada pula yang main handphone. Menurut khatib, dikhuatiri solat aidilfitri mereka tidak sempurna kerana tidak mendengar khutbah selepas solat.

Panas mulai menggigit ketika khatib menyampaikan khutbah. Sebahagian jemaah menjadikan sejadah mereka sebagai pelindung.

Khatib mengajak umat Islam supaya kembali mengukuhkan ukhuwah dan silaturrahim selepas dua tahun tidak dapat menunaikan solat aidilfitri kerana Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Selepas solat kami terus pulang, tanpa sempat bersalaman dengan ramai orang.