Isnin, 27 Mac 2023

Catatan singkat 26 Mac di Tawau

Tags

 Saya sengaja naik teksi dari Flat Sri Titingan ke Fajar. Sudah lama tidak naik teksi ke bandar Tawau yang dikenali Tanjung saja di kalangan penduduk asalnya. Pakcik driver teksi itu sedang menonton youtube yang menunjukkan seorang dukun dari kalimantan yang pandai mengubat orang yang patah tulang dan sebagainya.  Beliau menjadi terkenal kerana kepandaiannya mengubat orang malah menurut pakcik itu, orang pandai dari Kalimantan itu pernah menjelajah seluruh Indonesia malah pernah dipanggil ke Istana Negara untuk bertemu presiden. Sejauh mana keabsahan berita itu, saya kurang pasti.

Selepas berurusan di Affin Bank, saya berjalan kaki ke kedai buku,  yang terletak tidak jauh dari bangunan Maybank. Suratkhabar lain sudah habis. Hanya ada akhbar Harakah, itupun bukan edisi terbaru. Di Tawau, hanya ada dua kedai setahu saya yang menjual Harakah. satu kedai lagi di Sri Gemilang? berdekatan terminal bas Sabindo.



Kemudian saya bergerak lagi. Tujuan ke Terminal Feri Tawau. Di pertengahan jalan, saya terserempak dengan Tuan Haji Ismail Lamo, orang lama, dulu stringer Bernama di Tawau. Alhamdulillah, beliau sihat. Sudah lama kami tidak berjumpa.  Gembira dapat bersua walaupun sekejap. Beliau masih aktif. Katanya masih jadi Amil di Masjid Jamik, jika saya tak silap dengar.

Saya tidak merasa banyak perubahan walaupun sudah lama tidak meronda bandar Tawau, Saya meneruskan langkah kaki ke Terminal Tawau untuk bertanya jadual feri ke Tarakan.  Rupanya terminal hanya beroperasi pada hari Isnin. Hari Ahad tutup, kata seseorang petugas yang saya lihat memasuki terminal.

Dari terminal itu, saya menuju ke gerai buku Pakcik Abdullah. Sesampainya di sana, beliau baru saja ke Masjid, kata anaknya. Saya menunggu sekejap sambil membelek belek buku. Belum ada buku baru.Pakcik Abdullah seorang pencinta buku, selalu ke Indonesia, khususnya Surabaya untuk mencari buku-buku baru.

Setiap kali ke Tawau, saya menyempatkan diri untuk berjumpa pakcik Abdullah. Sejak 1999, ketika kedai bukunya masih di Bangunan Mara, saya sering membeli buku-bukunya.

Pakcik Abdullah, adalah mantan Presiden Kesatuan Pekerja Pos Sabah. Ketika menjadi presiden kesatuan itu, beliau sering berulang alik ke Kuala Lumpur untuk urusan kesatuan sekerja.



Banyak perkara yang sempat beliau katakan dalam pertemuan kami itu.Mengenai masyarakat yang semakin kurang membaca, mengenai ilmuan yang kurang menulis, mengenai ahli-ahli politik yang hanya pentingkan kuasa dan lupa kemaslahatan rakyat dan sebagainya.

Beliau sempat beritahu bung Hussain ada datang mencari buku . Kami ada berjumpa sebelum puasa, saya beritahu. Saya beritahu ada terjumpa Eko  secara kebetulan di Arkib Negeri . Beliau sedang melakukan penyelidikan mengenai politik untuk bukunya yang baru. Eko adalah seorang pensyarah yang rajin menyelidik dan banyak menghasilkan buku, kata saya kepada pakcik Abdullah.

Saya tidak lama di sana kerana harus sampai di rumah jam 4.00 petang. Selepas itu, jam 4.30 petang bergerak pula ke Terminal Batu 10, berbuka puasa di sana, sebelum menaiki bas Tung Ma balik ke KK.