Ahad, 23 April 2023

sekadar cerita balik Tawau

Tags

Semua tiket bas habis untuk pulang berhari raya ke Tawau. Kami terpaksa membeli tiket bas tambahan walaupun harganya lebih mahal. Harga tiket ke Tawau biasanya hanya RM71 sahaja. Tetapi pada musim perayaan ia melonjak hingga RM120.00. 

Kami berangkat balik pada malam 19 April. Oleh sebab itu, kami bertolak dari rumah selepas Asar. Namun Grab hanya ada sekitar jam 5.00 petang. Kami pesan dua grab. Grab pertama bergerak lebih dahulu. Kami yang naik grab kedua bertolak kira-kira 30 minit kemudian.

Pemandu ikut jalan lama. Katanya, jalan baru agak sesak. Mungkin ada kemalangan. Meskipun bergerak agak lewat, kami sampai dulu di Sinar Mustika, restoran tempat kami merancang untuk berbuka puasa. 

Walaupun baru jam 6.00 petang tetapi restoran itu sudah dipenuhi pelanggan. Kami terpaksa membeli minuman terlebih dahulu, meletakkan beg di bas Optis Jaya dan kemudian balik ke restoran semula.Kali ini kami bernasib baik kerana sudah ada kerusi kosong yang ditinggalkan oleh pelanggan yang baru selesai berbuka.

Selepas semua menaiki bas persiaran yang diparkir di jalan besar, kami bergerak kira-kira jam 8.22. Jam 9.00 bas baru sampai di Telipok.

Jalan agak sesak juga. Kami singgah untuk bersahur dengan maggi rebus di sebuah restoran di Telupid kira-kira jam 1.00 pagi. Tak tahu apa mahu dimakan kerana kebetulan lauk yang tinggal tidak menyelerakan,

Ketika terbangun itulah saya menerima khabar dari Sabat menyatakna makcik bu Yangsaip kembali ke rahmatullah kerana sakit tua.

Walaupun rasa sedih kerana tidak dapat hadir,  kami meneruskan perjalanan balik. Saya cuba tidur sepanjang perjalanan itu. Sempat meneguk air sebelum imsak.

Kami tiba kira-kira jam 7.00 pagi 20 April. Alhamdulillah. 



Bagi mengisi masa, kami mencari western union untuk mengwangkan kiriman dari seorang sahabat jauh yang bertugas di Pretoria yang bersetuju menyumbang untuk dana  penerbitan buku. 

Mulanya kami ke Publick Bank. Ternyata hanya orang yang ada akaun dengan bank itu boleh mengwangkan kiriman western union, menurut seorang staf bank.

Kemudian kami bergerak ke Fajar  di tempat orang biasa mengirimkan wang tetapi di sana talian untuk sistem western union tidak begitu baik.  Kami diminta ke maradano kerana ada TML di sana. Sesampainya di sana, staf meminta kami untuk ke kedai di seberang jalan. Akhirnya di sana kami dapat menunaikan wang berkenaan.

Selepas itu kami ke Terminal Feri Tawau. Petugas di sana memberitahu bahawa kalau hari raya jatuh hari Jumaat, hari Isnin sudah buka kaunter jualan tiket. Tapi kalau aidil fitri jatuh hari Sabtu, kaunter buka hari Selasa.





Insya Allah, hari selasa, kami bercadang untuk ke Tanjung Selor melalui Nunukan. Dari Nunukan kami berangkat ke Tarakan, dari Tarakan naik speed lagi ke Tanjung Selor. Moga dipermudahkan.