Seandainya Abu Bakar bin Zainuddin masih hidup, mungkin mereka akan teruja dengan pertemuan keluarga ini. Tetapi beliau sudah tiada. Mungkin tiada seorang pun dari generasi ketiga, keempat dan kelima Abu Bakar yang sempat melihatnya kerana beliau sudah kembali ke rahmatullah kira-kira 100 tahun yang lalu.
Idea untuk mengadakan Pertemuan Keluarga Abu Bakar Zainuddin di Taman Putera Perdana pada 23 Julai lalu sebenarnya lahir begitu saja selepas puan Fauziyah terfikir alangkah baik kiranya generasi keturunan Abu Bakar Zainuddin yang kebetulan ada di Kota Kinabalu dan sekitarnya dapat bertemu beramah mesra. Apatah lagi ada diantara mereka belum pernah bertemu anak-anak pakcik Jaafar Hamid yang sudah bermastautin di Sipitang sejak 1967 lagi. Kebanyakan generasi Abu Bakar Zainuddin berada di Tawau, Sabah dan ada pula yang bermastautin di Nunukan, Tarakan dan Tanjung Selor.
Abu Bakar bin Haji Zainuddin berasal dari Pontianak Kalimantan Barat. Menurut cerita, Muhamad Arif Syafie membawa anak saudaranya Abu Bakar berdagang di Tanjung Selor selepas beliau dilantik sebagai salah seorang kadi kesultanan Bulungan pada zaman Sultan Maulana Jalaludin. Semasa berdagang itu, Muhamad Arif meninggalkan isterinya yang sarat mengandung bernama Nor'ain di Pontianak dan berpesan bahawa sekiranya anaknya itu lahir, carilah dia dengan membawa cincin sebagai tanda dia adalah anaknya. Anak itu kemudian lahir dan diberi nama Idris. Selepas anak itu membesar, ia kemudian dibawa orang berdagang ke Tanjung Selor.
Sementara itu, Di Tanjung Selor, Muhamad Arif Syafie mendirikan rumah tangga dengan Ainun Jariyah keturunan bangsawan Suluk dari Ipil. Mereka dikurniakan anak bernama Mai Selamah, Radiah, Mastura, Abd Majid, M Noor Mohd Salleh.
Abu Bakar bin Zainudin pula berkahwin dengan Fadilah dan antara anak-anaknya ialah Osman, Abd Hamid, Salim, Aminah, Abdullah, Jamal dan Zubaidah. Untuk rekod, Ayah Abu Bakar bernama Haji Zainudin yang berkahwin dengan Hajah Fatimah binti Syafie Al Qadrie. Ini bermakna Muhamad Arif Syafie adik beradik dengan Fatimah Syafie. Itulah sebabnya, Abu Bakar adalah anak saudara kepada Muhamad Arif. Seiring dengan perkembangan zaman, keturunan Abu Bakar bin Haji Zainudin tersebar di seluruh Borneo. Menurut catatan, seorang daripada keluarga Abu Bakar bernama Ahmad Haji Zainudin meninggal di Berau dan khabarnya menjadi salah seorang tokoh yang dihormati di sana.
Namun disebabkan oleh sempadan geopolitik yang terbentuk selepas Indonesia merdeka pada 17 Ogos 1945 dan Malaysia terbentuk pada 16 September 1963, keluarga besar ini terpisah antara dua negara.
Sebahagian di antara mereka tidak pernah bertemu satu sama lain. Bukan saja kerana jaraknya agak jauh dan tidak ada sarana transportasi tetapi kesukaran untuk berhubung sebelum era internet, facebook dan sebagainya.
Itu sebabnya sebaik ada peluang dan ruang untuk pertemuan itu, puan Fauziyah mengundang semua keluarga dari generasi keempat dan kelima untuk hadir bersama pertemuan keluarga itu. Kebetulan generasi ketiga, Hajah Jamilah Jamal berada di Kota Kinabalu. Cuma Pakcik Jaafar, juga dari generasi ketiga tidak dapat bergerak jauh dari Sipitang kerana sudah sepuh.
Sejak malam mereka memasak menyediakan pelbagai juadah. Sekadar yang ada untuk menyambut kehadiran sanak saudara dari jauh dan dekat.
Pertemuan keluarga itu dijadualkan bermula jam 11.00 pagi hingga 5.00 petang. Yang pertama hadir ialah Naimah , anak si Jang dan Nurul anak Noni. Alhamdulillah, kehadiran keluarga dari generasi keempat dan kelima menunjukkan keprihatinan mereka akan pentingnya silaturrahim.
Pertemuan itu sangat meriah terutama antara Ita Merlinda dan Jaleha yang mesra dipanggil Leha. Bahkan mereka berjanji akan kupi-kupi sebelum Ita melawat pakcik Jaafar di Sipitang. Fauziyah yang mengetahuinya dari grup whatsApp keluarga Abu Bakar Zainuddin tergerak hatinya untuk mengadakan pertemuan pada 23 Julai itu. Padahal sebelum itu mereka belum pernah bersua muka. Begitu juga bila Leha berjumpa Yanti. Leha, Ita dan Yanti begitu seronok berbual. Khabar mengenai pertemuan itu cepat tersebar. Bahkan bagi mereka yang tidak dapat hadir, sempat melakukan video call .
Kintin dan Latat dari Tawau, Noni di Perak, Idah di Perak dan Ijah di KL juga tidak melepaskan melakukan video call bagi merasakan suasana yang jarang berlaku itu.
Dalam pertemuan itu, Leha membawa dua anaknya, menantu beserta cucu. Naimah dan Nurul datang mewakili emak masing-masing. Naimah mewakili Ijah, Nurul mewakili Noni.
Mereka yang jauh memang teruja untuk hadir tetapi mungkin pertemuan yang lebih besar daripada itu boleh dirancang untuk menghimpunkan generasi keluarga Abu Bakar Zainuddin yang tersebar dan bertebaran sekian lama.
Pertemuan generasi ketiga, keempat dan kelima keluarga Abu Bakar Zainuddin
Fauziyah dan Zaleha
Fauziyah, Zaleha dan Hajah Jamilah
Nurul Marzuki, Hajah Jamilah, Fauziyah dan Naimah Ahmad
Fauziyah, Hajah Jamilah dan Zaleha Jaafar
Fauziyah dan Zaleha
Keluarga Jamal dan Zubaidah Abu Bakar
Dari generasi keluarga Zubaidah Abu Bakar, Abd Hamid Abu Bakar dan Jamal Abu Bakar