ADA hikmahnya kami
turun di Gensan. Kalau tidak, tentu sekali kami terlepas melihat pemandangan beberapa kota dan barangay yang dilalui
sepanjang kira-kira 186 kilometer perjalanan dari Lapangan Terbang General Santos
ke Cotabato City. Mujur perjalanan hampir empat jam itu tidak membosankan.
Lebuhraya Pan Philippines Highway yang kami lalui itu terbentang lurus dan lebar. Antara
yang kami lalui ialah Polomolok,Tupi,Koronadal City, Tacurong City, Isulan,
Ampatuan,Datu Abdullah Sangki, Sharif
Aguak, Datu Unsay, Datu Udin Sinsuat sebelum tiba di Alnor Hotel Cotabato
tempat kami menginap.
Pesawat Cebu Pasific
5J993 mendarat di Tambler Airport kira-kira 1.40 petang. Dari sana, kami akan
menaiki bas untuk ke Cotabato City. Perjalanan mungkin lebih singkat jika kami
mendarat di Awang Airport tetapi lapangan terbang sedang diperbaiki. Itu
sebabnya pilihan jatuh ke General Santos City kerana ia lapangan terbang
terdekat berbanding Davao yang jaraknya mungkin jauh sedikit.
Di Airport, kami
disambut oleh Grup Iranun 28 Nusantara. Mereka menggelar diri mereka Iranun 28 Nusantara
kerana mereka adalah rombongan 28 orang Iranun dari UBIPD dan ISLP yang menyertai Pertemuan Iranun Nusantara yang
diadakan di Kampung Rampayan Laut Kota Belud pada Disember 2022.
Terdapat beberapa
kenderaan disediakan untuk. Kami menaiki Bas No9. Rakan-rakan rombongan menaiki
bas yang sudah dinomborkan.
Dalam bas kami
yang dipandu oleh Farhan, Sultan Kim Ampuan bertindak sebagai juruiring. Duduk
di sebelah saya ialah Sdr Laliman, di belakang kami ada babu Dayang Sari, satu-satu
primadona dalam dalam delegasi kami. Ada Haji Sharif Perais Sharip Baba, Sharif
Aiman Sh Razis, Ahmad Jaidi Haji Osman, sdr Rosmin Haji Kassan dan kemudian Cikgu Haji Mohd
Isha Jutor. Sultan sa Patot atau sdr Apan juga dalam bas kami.
Agenda pertama yang
kami harap sebaik rombongan memulakan perjalanan ialah mencari tempat makan
atau Restoran Halal. Sebabnya ada di antara kelaparan kerana sejak malam
sebelumnya hanya sempat minum air mineral. Bayangkan jam 10.00 malam sudah
berada di Airport KK untuk berkumpul dan urusan check in. Pesawat hanya
berlepas kira-kira jam 2.35 pagi. Setibanya di Ninoy Aquino Airport, ramai yang
tidak dapat makan kerana tidak ada restoran halal. Kemudian berehat dan tertidur sebelum
terbang lagi jam 11.00 pagi ke Gensan. Tiba kira-kira jam 1.40 petang dan
hasrat hati memamg mencari tempat makan.
Di mana kita boleh
singgah makan? Saya bertanya Kim.
Beliau tidak dapat
menjawab dengan pasti kerana katanya kami tidak boleh berhenti sesuka hati
sebab kami dalam konvoi mengiringi VVIP. Sepanjang perjalanan itu kami diiringi
oleh pihak tentera dan polis. Mereka mahu memastikan kami benar-benar dalam keadaan
selamat. Apatah lagi,VVIP Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, selain tugasnya
sebagai Special Envoy BIMP EAGA Sabah, beliau seorang pemimpin yang sangat dihormati.
Kami bergerak secara konvoi 16 kenderaan. Kerana bas kami No 9, kami berada di
belakang sedikit. Oleh sebab itu, tidak banyak yang dapat harapkan melainkan
menunggu kira-kira empat jam sebelum sampai di Cotabato.
Terpaksa bersabar
dan berlapar. Saya cuma bimbangkan orang-orang senior dalam rombongan kami itu..
Mujurlah TSPA
mengajak berhenti berhenti di gerai buah Tacurong City. Tidak ada pilihan,
pasukan keselamatan terpaksa akur juga. Di sana kami menikmati durian,
rambutan dan buah madang atau tarap. Kami tidak berani makan banyak kerana
kebetulan perut kosong.
Sepanjang perjalanan
itu, saya bercerita kepada sdr Laliman mengenai Gensan berdasarkan buku yang saya pernah baca. Dan
itu kemudian dibenarkan oleh Kim, juru iring kami.
General Santos
dulunya di bawah kekuasaan Kesultanan Buayan.
Sebelumnya ia pernah juga berada di bawah kekuasaan Sultan Maguindanao. Selepas
kejatuhannya, Datu Utto memperluaskan wilayahnya hingga ke Teluk Sarangani, yang
terkenal kerana produksi ikan tuna.
Gensan juga terkenal
kerana juara tinju dunia, Manny Pacquiao. Seorang peninju yang mengagihkan
hadiah kemenangan kepada orang-orang miskin di Gensan. Kemudian beliau terpilih
sebagai salah seorang senator hinggalah sekarang.
Tidak banyak yang
saya kenali di sini. Saya teringat Ustaz Hassan Sarip yang dulu pernah ke Kota
Belud, khabarnya di Gensan.
Seorang sahabat
penulis Gandhi Kinjiyo juga di Gensan. Ayahnya anak seorang Jepun yang pernah
jadi spy sebelum perang dunia kedua, berkahwin dengan neneknya orang Maguindanao
Isterinya orang Maranao dari Balabagan. Gandhi lulusan Master in Public
Administration di Ateneo de Davao. Beliau menulis tesis mengenai kewangan Islam
yang dilaksanakan di Malaysia dan Indonesia.
Gandhi pernah
memberitahu mengenai keberadaan Iranun di Parang, Barira, Buldon, Matanog,
Kapatagan dan merupakan sahabat dekat wartawan senior Ali Macabalang dan
wartawan penyiaran di Upi, Alih S Anso.
Ada juga rakan
lain, Sukarno Pendaliday dan Moner Bajunaid, tapi sudah sangat lama tidak
bertemu. Wartawan seperti Nash Mauana, Amir Mawalil, Samira Gutoc, dan aktivis
mekmek Amirah Lidasan, dan ramai lagi yang sengaja tidak dihubungi kerana jadual
yang ketat.
Canselor Mindanao
State University di Gensan, Usman Aragasi, saya belum pernah bertemu.
Selain itu, saya
agak terharu juga bila melintasi Sharif Aguak. Disinilah dulu Mufti Besar
Mindanao, Ustaz Abuhuraira Abdurrahman Udasan pernah bersekolah dan kemudian
menjadi Pengarah Maahad Al Rahmaniah. Beliau dilahirkan di Dulawan, sekarang
dikenali sebagai Datu Piang pada Mac 3,
1942, seorang ulama terkenal di Nusantara. Beliau rakan sekelas dengan Tan Sri Tuan
Guru Haji Hadi Awang, Ustaz Harun Taib, arwah Datuk Ismail Abbas, Mufti Sabah,
mantan Menteri Prof Abdullah Mohd Zin. Sering menjadi wakil Bangsamoro dalam
perundingan dan pernah bertemu Presiden Necmettin Erbakan dan Abdurrahman Wahid.
Lulusan Universiti
Madinah ini pernah bertugas di Sabah sejak 1974, sebelum Kembali ke Mindanao
dan dilantik sebagai Mufti Besar Bangsamoro pada 2012.
Beliau Kembali ke
rahmatullah di Cotabato City pada 3 Julai lepas ketika berusia 81 tahun.
Ketika melihat
masjid Pink atau Masjid Dimaukom di Datu Saudi Ampuan, saya memberitahu Babu Dayang
Sari. Penduduk berdekatan masjid ini
kebanyakan keluarga isteri kepada sdr Aningan .
Banyak juga cerita
mengenai Sejarah perjuangan Bangsamoro. Asal mula perjuangan dan bagaimana dulu
Ilaga membunuh Masyarakat Islam dengan kejam. Kemudian Kumpulan blackshirt
bangkit di Cotabato dan Barracuda di wilayah kira-kira tahun 1971 untuk
mempertahankan diri.Selain bagaimana peperangan menyebabkan keterbelakangan di
Mindanao. Bagaimana sukarnya mencari perdamaian dan mengenai perselisihan Rido
yang menghambat keharmonian demi semata mata untuk memperjuang martabat
keluarga.
Sebenarnya
cerita-cerita ini sekadar untuk menghilangkan rasa lapar sebelum sampai di Hotel
Alnor Cotabato City.
Sedang menunggu penyusunan kenderaaan
Asalkan gembira dan bahagia