Jumaat, 29 September 2023

Sipa sa lama, persembahan tarian dan betapa indahnya Buldon

Tags


Antara persembahan yang  menarik di Buldon ialah Sipa sa Lama.  Kami diberitahu ia salah satu permainan yang popular di kalangan masyarakat Iranun, dan popular juga di kalangan orang Maranao dan Maguindanao, yang pada hakikatnya mempunyai nenek moyang dan tradisi yang sama.

 

Sekumpulan pemain, biasanya empat hingga ke enam orang, bermain sepak dalam bulatan. Setiap pemain bergilir-gilir menyepak bola untuk memastikan ia berada di udara selama mungkin dan tidak terjatuh ke tanah.  Permainan itu memperlihatkan ketangkasan seseorang pemain. Mereka memakai pakaian tradisi Iranun yang berwarna warni, kaki mereka dilengkapi dengan dalapi atau pelindung tulang agar mereka menyepak bola takraw dengan lebih lama.

 

Setiap orang memegang selempang atau disebut khandat, yang mereka sebat setiap kali mereka dapat menyepak bola, Setiap ahli pasukan cuba menahan bola takraw daripada jatuh ke tanah . Ia menajdi satu tontotan yang menarik.

 

Permainan Sipa sa Lama ini mempunyai persamaan dengan permainan sepak raga bulatan, permainan tradisi Masyarakat Melayu. Cuma dalam sepak raga bulatan, pemainnya tidak terhad dan mereka bermain dalam satu bulatan besar. Sepak raga bulatan juga amat menarik kerana pemainnya menunjukkan kehandalan menimbang bola, menanduk, melibas serta mengawal bola dihujung kaki. Ia boleh dimainkan secara individu, berkumpulan atau berpasukan dengan menggunakan semua anggita badan kecuali tangan atau lengan. Setiap

 

Selain Sipa Sa lama, di Buldon dan kawasan Iranun yang lain juga terkenal dengan Sipa sa manggis. Ustaz Montasir Karim memberitahu Sipa Sa manggis adalah satu permainan yang popular di kalangan Masyarakat Iranun. Ustaz Montasir  masih pupu dua kali dengan Mayor Honourable Pahmia dan Abolais memberitahu `sipa’ maksudnya sepak manaka manggis bermaksud sweet victory atau kemenangan manis. Lama  pula bermaksud halaman. Sipa sa Manggis adalah salah satu sukan Bangsamoro yang melambangkan kemasyhuran, kuasa, kehormatan dan kebanggaan. Permainan ini dimainkan dengan menendang bola kecil dibuat daripada rotan ke atas hingga terkena manggis yang digantung setinggi kira-kira 10 meter. Setiap kotak manggis biasanya mengandungi ganjaran berupa wang tunai dan sebagainya.

 

Sayang sekali ia tidak sempat dipertontonkan dalam kunjungan kami ke Buldon itu. Waktunya amat terbatas. Memang terdapat keperluan untuk mempromosi dan memperkenalkan sukan rakyat ini memandangkan permainan ini tidak lagi mampu dimainkan oleh generasi kini.

 

Sementara itu, selain persembahan kulintangan Buldon,  tarian tradisi seperti kap malong-malong, saya kurang pasti nama tarian itu, kerana terpesona dengan gerak tarinya, juga dipersembahkan persembahan kalalakaw sa darangen. Darangen adalah epic Iranun yang banyak mengisahkan mengenai bantugen dan lain-lain.

 

Dengan hidangan makanan tradisi, saya sempat menikmati dodol, pais a kamais (pais jagung), tapai, turut dihidangkan juga tiadtag dan amik atau penjaram. Orang Maguindanao menyebutnya penyalam, tapi Iranun menyebutnya dengan nama Amik.

 

Persamaan tradisi, pelbagai ragam budaya, permainan rakyat menunjukkan bahawa Iranun, pada mulanya hanya terdapat satu Iranun. Salah satu hastag di Buldon ialah #OneIranun. Ada persamaan dari segi kulinari, makanan, permainan dan sebagainya. Benar bahawa terdapat perbezaan juga, tetapi ia kerana pengaruh setempat. Apatah lagi Iranun di Mindanao dan Iranun di Borneo terpisah atas factor geografi, juga faktor sosiopolitik sejak beratus ratus tahun dahulu sebelum terbentuknya sempadan politik negara Malaysia dan Filipina.

 

Kesimpulan yang boleh diperolehi ialah bahawa Iranun itu bersaudara. #OneIranun. Lambaian pohon kelapa dan pemandangan yang dilatari oleh Bukit Kamanaan di Buldon menunjukkan keindahan negeri itu, yang jika pintunya terbuka, ia mampu menjadi permata yang bersinar di kawasan BIMP-EAGA.


Sipa sa Lama di Buldon









Persembahan tarian Iranun dari Buldon

Penari dari Buldon



Antara penari yang mempersembahkan tarian tradusi Iranun

Tapai dan pais a kamais


Amik dari Buldon
Tiadtag, kuih tradisi Iranun

Dodol, kuih kebanggaan masyarakat Iranun di Mindanao